Oleh pada 16 Jul 2020 kategori

tembakan ke udara

Semua yang dilontar ke atas, pasti akan kembali ke bawah semula disebabkan oleh tarikan graviti. Termasuklah peluru yang ditembak.

Bagaimanapun disebabkan oleh momentum dan kelajuan peluru yang tinggi, sekiranya sebutir peluru ditembak ke udara - jarak yang mampu dicapainya sudah pastilah sukar untuk dilihat di mata kasar. Ini menyebabkan kita endah tak endah saja ke mana 'hilangnya' peluru itu.

kesan tembakan pada cermin

Harus kita ingat - semua benda akan jatuh semula, apabila kehilangan momentumnya. Persoalannya, ke mana hilangnya peluru yang ditembak tegak ke angkasa? Sampai ke atmosfera atau adakah akan terkena kapal terbang yang sedang lalu di atas sana?

Mampukah peluru yang ditembak mengenai kapal terbang?

latihan menembak peluru ke mana hilang

Salah satu persoalan yang selalu bermain dalam fikiran penulis - mampukah sebutir peluru mengenai kapal terbang yang sedang berlegar di udara?

Soalan ini sukar untuk dijawab melainkan kita mengetahui berapakah ketinggian maksima yang mampu dicapai oleh sebutir peluru. Untuk ini, kita boleh merujuk kepada eksperimen-eksperimen yang telah dijalankan.

Seorang anggota tentera bernama Mejar Julian Hatcher mengeluarkan laporan dalam buku tahun 1947 berjudul Hatcher's Notebook, bahawa sebuah peluru bersaiz .30 kaliber (0.3 inci) jika ditembak terus ke atas - mampu mencapai ketinggian 9,000 kaki (2,743 meter) dalam tempoh 18 saat sebelum jatuh pada kelajuan 91.4 meter per saat selama 31 saat.

Kajian lebih baru memberikan gambaran bahawa peluru mengikut saiznya, mampu mencecah ketinggian 10,000 kaki atau 3 km sebelum jatuh kembali ke bumi.

Sebuah kapal terbang komersial biasanya terbang pada ketinggian 31,000 ke 38,000 kaki atau 9.5 ke 11.5 kilometer dari permukaan. Ini bermakna, agak mustahil untuk sebutir peluru yang ditembak mampu mengenai sebuah kapal terbang yang sudah mencapai altitud optimumnya - melainkan kapal terbang itu baru berlepas.

Kita dah jawab soalan itu! Mari kita lihat wujudkah risiko peluru yang jatuh mampu menyebabkan kecederaan atau lebih teruk, kematian pada seseorang.

Apa berlaku pada peluru yang jatuh?

lelaki libya tembak rambang

Seperti yang kami sudah nyatakan di atas, peluru yang ditembak akan jatuh semula ke bumi selepas kehilangan momentumnya akibat ketiadaan tenaga.

Kejatuhan peluru juga berbeza-beza mengikut kalibernya. Mejar Hatcher menyenaraikan peluru berkaliber .30 akan jatuh pada kelajuan 91.4 meter setiap saat selama 31 saat. Laju juga kan?

Walaupun bunyinya seakan laju tetapi kelajuan peluru yang jatuh sebenarnya lebih perlahan berbanding peluru yang ditembak. Ini berlaku kerana tarikan graviti yang menarik peluru jatuh, jauh lebih lemah berbanding tenaga yang dikenakan kepada peluru untuk menolak dan memacunya keluar.

Melalui penyelidikan yang telah dijalankan, selamat untuk kita menganggarkan secara purata setiap biji peluru yang ditembak, akan jatuh hanya pada kelajuan 10% daripada kelajuan yang dicapainya selepas tembakan dibuat.

Kehilangan tenaga yang banyak juga telah berlaku menyebabkan jumlah tenaga yang memacu peluru itu jatuh, hanya bersamaan dengan 1% daripada tenaga yang terhasil semasa tembakan.

Kita dah tahu peluru jatuh jauh lebih lemah berbanding peluru yang ditembak ke udara. Persoalan utamanya di sini - adakah peluru yang jatuh mampu mencederakan kita?

Peluru sesat dari udara mengenai kepala

kepala armando martinez peluru sesat

Tahukah anda, kes-kes individu yang terkena peluru jatuh entah dari mana sebenarnya kerap berlaku? Masalahnya, tiada siapa boleh mengagak di mana peluru akan jatuh disebabkan oleh faktor angin dan tekanan udara.

Salah satu kes yang baru berlaku pada 1 Januari 2020 melibatkan seorang jururawat berusia 61 tahun, yang ketika berlakunya insiden - sedang meraikan sambutan tahun baru di kawasan perkarangan rumahnya dengan membakar mercun.

Entah dari mana datangnya peluru mengenainya dipercayai ditembak individu tidak diketahui yang turut sama meraikan sambutan tersebut, membunuh beliau. Siasatan pihak polis gagal menemui sebarang petunjuk dan satu-satunya kenyataan polis yang mampu dibuat adalah penembak berada terlalu jauh untuk dikenalpasti.

kesan cedera kepala

Dalam insiden serupa melibatkan sambutan tahun baru, seorang wakil rakyat di Texas, Amerika Syarikat bernama Armando Martinez terselamat selepas peluru sesat jatuh mengenai kepalanya, mengakibatkan serpihan terlekat di antara tengkorak dan otaknya.

Dia dipercayai terkena serpihan peluru bersaiz .223 kaliber, menyifatkan rasa sakit semasa peluru itu terkena tengkoraknya ibarat penukul yang dihayunkan tepat ke atas kepalanya. Martinez sehingga kini berusaha menggesa kerajaan Amerika Syarikat mengharamkan aksi tembakan ke udara, walaupun belum berhasil.

Warga Iraq dan budaya tembakan ke udara

tembakan ke udara

Warga Iraq memiliki rekod sejarah tembakan ke udara yang agak buruk. Dalam insiden tahun 2003, tembakan ke udara di lepaskan oleh penyokong anti Saddam Hussein demi meraikan kematian dua waris utama pemimpin itu iaitu Uday dan Qusay. 20 orang meninggal dunia akibat peluru sesat.

Selepas kemenangan pasukan Iraq sebagai johan kejohanan Piala Asia tahun 2007, tembakan rambang ke udara yang dilakukan warga negara itu menyebabkan kematian empat orang warga mereka.

Insiden itu tetap berlaku walaupun fatwa pengharamannya, disebabkan risiko sudah dikeluarkan pemimpin masyarakat mereka.

Kejadian sama berulang lagi pada tahun 2013 selepas kemenangan Iraq ke atas Korea Selatan, melayakkan pasukan kebangsaan mereka ke peringkat separuh akhir. Dalam insiden kali ini, 4 orang meninggal sementara 21 lagi cedera dalam kes-kes berasingan.

penyokong iraq rai kemenangan

Salah seorang mangsa, adalah seorang remaja berusia 13 tahun bernama Muqtada yang cedera selepas peluru sesat menusuk bahagian belakang tubuhnya. Disebabkan insiden itu waris keluarga beliau mendoakan pasukan Iraq tewas perlawanan berikutnya.

Doa beliau dimakbulkan. Iraq tewas dalam perlawanan separuh akhir dan tewas teruk dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat.

Pengajarannya di sini? Sekiranya anda tahu ada berlaku tembakan ke udara berdekatan dengan anda, cari bumbung dan berlindunglah dulu dalam seminit dua selepas tembakan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)