Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekiranya terpaksa menghabiskan sebahagian besar usia dalam penjara di Kazakhstan, terutamanya dalam penjara yang digambarkan mengamalkan "rejim ketat".

Akan tetapi bagi penghuni di sini, hukuman mereka terasa sedikit ringan apabila dipenjarakan bersama-sama penghuni unik yang menjadi penghibur dan tarikan penjara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut Daily Mail, jajahan di Kostanay menempatkan 730 orang "penjenayah berbahaya" dan seekor beruang betina coklat bernama Ekaterina atau Katya yang dipenjarakan dan dihukum mati atas jenayah yang dilakukannya pada tahun 2004.

kostanay kazakhstan

Kostanay, Kazakhstan. Credit : dailymail

Haiwan liar itu didapati bersalah kerana menyerang dua orang mangsa di tapak perkhemahan 15 tahun yang lalu dan dijatuhkan hukuman penjara sejak daripada itu.

Ekaterina adalah satu-satunya tahanan "betina" dan juga tahanan yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di penjara itu. Akan tetapi, Ekaterina mempunyai keistimewaan kerana mempunyai kolam renang dalam sel tahanannya.

Pada tahun 2004, Ekaterina dikurung dalam satu sangkar sebagai tarikan di tapak perkhemahan setelah diabaikan oleh sarkas. Di sana dia telah menarik kaki seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang cuba menghampiri sangkarnya.

ekaterina aka katya 135

Budak lelaki itu telah mengalami kecederaan yang serius dan juga kejutan trauma. Dia berkata segalanya berlaku dengan begitu pantas. Ketika itu dia cuba untuk memberi makan Ekaterina tetapi kakinya disambar dan dia tidak mengingati apa-apa lagi selepas itu.

Pada tahun yang sama juga, Ekaterina telah mencakar seorang lelaki berusia 28 tahun bernama Viktor ketika lelaki itu cuba menghulurkan tangan ke arah beruang itu. Walaupun sudah diberikan amaran dan langkah keselamatan seperti sangkar untuk beruang itu, kejadian itu tetap dipersalahkan ke atas haiwan malang itu.

Viktor terselamat tetapi mengalami kecederaan yang teruk. Ketika itu pihak berkuasa sedang giat untuk mencari tempat perlindungan atau zoo untuk menempatkan beruang yang agak agresif itu tetapi tiada satu pun yang mahukannya.

katya

Ekaterina akhirnya dipenjarakan di Penjara Kostanay kerana kesalahan yang dilakukannya itu. Penjara itu terletak 435 batu di barat laut Nur-sultan, ibu negeri Kazakhstan. Sepanjang 15 tahun dipenjarakan di situ, Ekaterina dikatakan sangat jinak. Malah banduan lain di penjara itu kerap menghabiskan masa dengan beruang betina ini.

Menurut Aslan Medybayev yang merupakan penjaga Ekaterina, beruang itu peramah dan tidak agresif sama sekali. Apabila banduan lain datang melawatnya, Ekaterina akan berlari dan melompat kegembiraan.

Ekaterina bahkan telah menjadi simbol bagi penjara itu dan sebuah patung beruang telah dibina di luar dinding penjara sebagai penghormatan kepada haiwan itu. 

patung ekaterina

Patung Ekaterina aka Katya di luar penjara. Credit : dailystar

Pihak berkuasa penjara itu tidak sabar-sabar untuk membolehkan Ekaterina menerima kunjungan "pasangan" sendiri seperti banduan lain  tetapi perkara itu dilarang. 

Menurut Timbalan Ketua Pendidikan penjara, Azamat Gapbasov, mereka tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan untuk membawa masuk beruang jantan ke dalam penjara untuk bertemu dengan Ekaterina. Dia berharap agar persenyawaan buatan dapat dilakukan.

Bagi banduan pula, mereka sering membawakan makanan seperti biskut, epal dan pelbagai lagi untuk Ekaterina kerana menghargai haiwan itu yang menjadi peneman dan penghibur mereka semasa menjalani hukuman.

Walaupun telah lama dipenjarakan di situ, kos untuk menjaga beruang itu tidaklah mahal kerana Ekaterina hanya perlu diberi makan selama tujuh bulan sahaja setahun kerana ia akan tidur (hibernasi) pada waktu selebihnya. Sebahagian besar makanannya diambil daripada sisa lebihan makanan banduan lain.

banduan di penjara kostanay

Banduan di Kostanay

Pihak penjara setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk memindahkan beruang itu kerana sudah menjadi simbol dan mereka tidak akan memberikannya kepada sesiapapun.

Seorang banduan berusia 43 tahun, Igor Tarakanov, adalah salah seorang peminat terbesar Ekaterina dan sering melawat haiwan itu hampir setiap hari. Igor berkata beruang itu membuatkannya lupa akan kesukaran hidup dalam penjara.

Ekaterina dilihat sedang berada dalam sebuah zoo berbanding penjara. Hakikat mengapa ia menjadi lebih jinak ialah kerana dia bukan berada dalam persekitaran semula jadinya.

beruang dan borat kazakhstan

Filem Borat (dari Kazakhstan ke Amerika) bersama beruang

Mudah-mudahan, nasib beruang betina coklat itu lebih terjamin pada masa hadapan dan diberi peluang untuk dibebaskan semula ke habitat semula jadinya.

Rujukan :

1. Daily Star

2. Mirror

3. The Sun




Hakcipta iluminasi.com (2017)