Pernah tak anda disakiti atau dikhianati seseorang? Pernahkah apa-apa insiden atau individu membuatkan anda terlalu sedih dan kecewa sehinggakan anda berasa tidak mahu memaafkan mereka?

Penulis pasti setiap daripada kita pernah merasai pengalaman sebegini dan peristiwa tersebut bermain di minda kita. Semakin anda berfikir tentangnya, anda semakin sedih dan marah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malang sekali, perasaan ini mempunyai kesan yang lebih teruk terhadap kesihatan anda tanpa disedari.

Setiap kali anda mengalami peristiwa-peristiwa negatif dalam hidup, tubuh badan anda juga turut mengalami apa yang dirasakan oleh minda.

tidak memaafkan memberikan kesan buruk kepada kesihatan 976

Itulah sebabnya mengekalkan emosi negatif dalam fikiran anda boleh membawa kepada penyakit jangka panjang yang sangat dahsyat.

Apa yang menjadi masalah adalah dunia hari ini melihatkan bahawa memaafkan sebagai tanda kelemahan, menyerah kalah atau kedua-duanya.

Hal ini membuatkan ramai orang lebih sukar untuk memaafkan orang yang menyakiti mereka.

Kuasa memaafkan yang sangat hebat

kesan memaafkan kepada kesihatan

Secara klinikal, memaafkan adalah apabila anda sampai ke tahap di mana anda boleh "membebaskan" rasa permusuhan dan perasaan marah terhadap orang yang telah menyakiti anda, tanpa mengira sama ada mereka benar-benar layak menerima kemaafan atau tidak.

Perlu diingat bahawa pengampunan adalah proses dan bukannya peristiwa. Itulah sebabnya terdapat perbezaan besar antara decisional forgiveness dan emotional forgiveness.

Decisional forgiveness adalah "niat tingkah laku dalam menentang pendirian untuk tidak memaafkan dan untuk bertindak secara berbeza terhadap pelaku".

Emotional forgiveness atau kemaafan emosi pula adalah "penggantian emosi negatif yang tidak dapat diterima dengan emosi berorientasikan positif yang lain.

memaafkan membebaskan anda daripada kemelut dalaman

Kemaafan emosi melibatkan perubahan psikofisiologikal dan mempunyai lebih banyak kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan secara langsung berbanding decisional forgiveness.

Kajian mendapati bahawa jenis keperibadian yang suka memaafkan dikaitkan dengan kesejahteraan subjektif dan psikologi yang lebih baik.

Kajian-kajian lain mendapati bahawa tindakan memaafkan dikaitkan dengan tubuh badan yang lebih baik, pengurangan penggunaan ubat-ubatan, kualiti tidur yang lebih baik, kurang letih dan aduan somatik yang lebih rendah.

Malah, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Cardiology, memaafkan juga dikaitkan dengan kesihatan kardiovaskular yang lebih baik.

Para penyelidik mendapati bahawa kemarahan dan emosi negatif yang lain mempunyai kesan toksik terhadap kardio, sementara memaafkan mempunyai peranan yang lebih baik terhadap kardio.

Kesan memaafkan terhadap kesihatan

berdendam boleh menyebabkan kemungkinan berlaku penyakit kanser

Jika anda terus marah, keliru dan bermusuhan tentang sesuatu yang berlaku pada masa lalu, tubuh badan anda juga akan mula mengalami kesannya.

Dr Steven Standiford, Ketua Bedah di Kemudahan Rawatan Kanser di Amerika Syarikat, menyatakan bahawa mengingati perkara-perkara sedih ini membuatkan seseorang itu gugup dan menyebabkan kegelisahan dalaman.

Secara semulajadi, ini menyebabkan lonjakan kortison dan adrenalin dalam badan pada tahap yang tidak normal.

Hasilnya, ia akan mengurangkan jumlah sel yang berfungsi untuk menghapuskan ancaman dalam badan.

Dengan ini, sel-sel yang melindungi tubuh anda daripada penyakit akan terhalang apabila anda berada dalam keadaan marah, bermusuhan dan tidak memaafkan.

saling memaafkan amalan mulia

Ini bermakna anda lebih cenderung untuk mendapat penyakit berbahaya seperti kanser.

Memilih untuk tidak memaafkan hanya membuatkan anda lebih sakit dan menghindarkan anda daripada pulih.

"Adalah penting untuk merawat kecederaan atau gangguan emosi, kerana ia benar-benar boleh menghalang tindak balas seseorang terhadap rawatan, malah kesediaan seseorang untuk menjalani rawatan" - Dr. Steven Standiford.

Dr. Michael Barry, pengarang buku The Forgiveness Project, menganggarkan bahawa 61% daripada pesakit kanser mempunyai masalah tidak mahu memaafkan.

"Menyimpan emosi-emosfi negatif seperti kemarahan dan kebencian ini akan mewujudkan situasi kebimbangan yang kronik. Kebimbangan kronik diramal sangat mampu menghasilkan adrenalin dan kortisol berlebihan, yang menghilangkan pengeluaran sel-sel pembunuh semulajadi, yang merupakan 'askar' dalam memerangi kanser" - Dr. Michael Barry.

Bagaimana untuk memaafkan?

memaafkan boleh meningkatkan kesihatan

Belajar cara untuk memaafkan sememangnya mengambil masa, tetapi ia bergantung kepada "pendawaian semula" otak anda dan berusaha untuk menukarkan rangkaian saraf anda.

Ia boleh dilakukan dengan cara mudah seperti melupakan kenangan yang menyakitkan dan mengingati bahawa orang yang menyakiti anda juga manusia biasa.

Anda juga perlu belajar cara untuk memaafkan diri sendiri kerana terus menyimpan rasa benci selama ini. Belajar cara untuk melupakan masa lalu sangat berbaloi dan membuatkan diri anda berasa bebas.

Cubalah untuk memaafkan dan anda akan berasa sangat tenang.

Contohi sikap pemaaf Rasulullah S.A.W

contohi sikap pemaaf rasulullah saw

Jika ada individu di atas muka Bumi ini yang paling pemaaf, ia tak lain tak bukan adalah baginda Rasulullah S.A.W.

Peribadi yang sangat baik dan hebat baginda membuatkan Rasulullah S.A.W sukar untuk sakit hati jauh sekali untuk berdendam.

Dan kehidupan yang dilalui baginda bukanlah seperti kita di mana Rasulullah S.A.W dilayan dan diperlakukan dengan begitu teruk oleh kaum musyrikin.

Malah, beliau sentiasa berhadapan dengan ancaman bunuh.

Antara kisah tentang kemaafan yang melibatkan baginda adalah Rasulullah S.A.W pernah diludah kaum kafir Quraisy ketika pulang dari masjid.

Walaupun diperlakukan begitu, baginda sabar dan tidak pernah membalasnya.

Pada satu ketika di mana penduduk Mekah menolak dakwah Rasulullah S.A.W, baginda kemudiannya mengajak penduduk Taif kepada Islam.

Penduduk Taif bukan sahaja enggan mengikuti baginda malah menentang serta membaling batu sehingga membuatkan kaki Rasulullah S.A.W berdarah.

Melihat perkara itu, Malaikat Jibrail menawarkan kepada baginda untuk membinasakan kaum tersebut kerana bertindak sedemikian terhadap kekasih Allah S.W.T..

Namun, baginda menolak tawaran tersebut malah berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan pengampunan dan hidayah kepada mereka.

Antara firman Allah S.W.T tentang memaafkan adalah:

1. “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal yang diutamakan.” (Surah as-Syuraa, ayat 43).

2. “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)

3. “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Surah asy-Syura, ayat 40)

Rujukan:

  1. LiveLoveFruit
  2. NCBI
  3. CBN
  4. Berkeley
  5. Hmetro



Hakcipta iluminasi.com (2017)