Liga Perdana Inggeris atau dikenali juga sebagai Premier League merupakan liga bola sepak paling popular dan liga sukan paling ramai penonton di dunia. Ia adalah tahap tertinggi dalam sistem Liga Bola Sepak Inggeris di mana 20 pasukan paling hebat bersaing sebanyak 38 perlawanan di rumah dan tempat lawan.

Tiga pasukan tercorot akan disingkirkan ke liga lebih bawah manakala tiga pasukan terbaik dari liga bawah pula akan dinaikkan ke Liga Perdana. Musim Liga Perdana Inggeris berlangsung antara Ogos hingga Mei.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Liga ini mempunyai banyak kelab bola sepak terbaik dan paling bernilai di dunia seperti Manchester City, Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool yang memberikan cabaran sengit setiap musim.

Liga bolasepak yang lumayan

Premier League bermula pada 20 Februari 1992 setelah kelab-kelab peringkat pertama (first division) mengambil keputusan untuk keluar dari Liga Bola Sepak Inggeris yang ditubuhkan sejak tahun 1888 lagi.

Liga Perdana kemudian ditawarkan perjanjian hak televisyen yang amat lumayan. Bagi musim 2013-14, Sky Sport dan BT Group telah membayar sebanyak RM 5.7 bilion untuk hak penyiaran semua perlawanan. Pada 2018 pula, Liga Perdana berjaya mendapatkan perjanjian bernilai RM 34 bilion untuk tempoh tiga tahun. 

liga perdana inggeris

Maka, tidak hairanlah jika hadiah dan peruntukan lumayan ditawarkan kepada kelab-kelab yang bersaing dalam Premier League ini. Selain itu, kelab juga menerima keuntungan daripada perlawanan setiap kali bermain di rumah (stadium) sendiri.

Namun, kehadiran wabak Covid-19 di seluruh dunia telah memberi kesan kepada semua termasuklah bidang sukan. Walaupun diberi kebenaran bersambung, Liga Perdana berlangsung tanpa kehadiran penonton. Dengan kehadiran puluhan ribu penonton setiap perlawanan, berapakah kerugian yang dialami kelab-kelab ini?

Jumlah keuntungan hari perlawanan

Kelab-kelab 'Big Six' di Liga Perdana iaitu Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham memperoleh keuntungan sebanyak RM 2.83 bilion pada musim 2018-19 yang merangkumi 73% kutipan semua kelab pada hari perlawanan sepanjang musim.

Namun, jualan tiket hanyalah sekitar 15% sahaja daripada jumlah keuntungan itu. Keuntungan lain diperolehi melalui penjualan cendera hati, makanan dan minuman, penyediaan kemudahan tambahan dan lain-lain lagi.

penonton epl

Stadium Manchester United iaitu Old Trafford mempunyai kapasiti dan kehadiran penonton paling tinggi di Liga Perdana dan menjana sekitar RM 22.9 juta bagi setiap perlawanan pada 2018-19.

Kelab Arsenal pula memperolehi keuntungan paling tinggi melalui jualan tiket iaitu sebanyak 25% daripada jumlah keseluruhan keuntungan mereka. Ini bermakna, setiap kelab mengalami kerugian berbeza tanpa kehadiran penonton atas pelbagai faktor.

Pihak pengurusan Liga Perdana memberi amaran kepada kelab-kelab yang bertanding bahawa mereka akan mengalami kerugian sehingga RM 500 juta setiap bulan pada musim 2020-21 jika larangan ini masih diteruskan.

Kelab dengan kerugian terbesar

Berikut adalah 10 kelab yang dianggarkan mengalami kerugian paling banyak apabila beraksi tanpa kehadiran penonton pada musim 2020-21:

  • Southamton - RM 97.45 juta
  • Brighton - RM 108.9 juta
  • Newcastle - RM 143.3 juta
  • West Ham - RM 154.7 juta
  • Manchester City - RM 315.2 juta
  • Chelsea - RM 384 juta
  • Tottenham - RM RM 470 juta
  • Liverpool - RM 481.5 juta
  • Arsenal - RM 550 juta
  • Manchester United - RM 630.5 juta

Kerugian besar ini memaksa kelab menggunakan wang simpanan mereka bagi membayar gaji pemain dan pekerja yang besar. Pada musim 2018-19, kelab-kelab Liga Perdana membelanjakan lebih daripada RM 17 bilion untuk membayar gaji pemain dan pekerja.

penyokong alam maya

Ketiadaan penonton bermakna kelab tidak memerlukan kakitangan yang ramai seperti di bahagian katering, kawalan keselamatan, gerai dan sebagainya. Namun, kos ini merupakan sebahagian yang kecil sahaja jika dibandingkan dengan kos keseluruhan.

Sebagai contoh, Manchester United menggaji seramai 3,340 kakitangan pada hari perlawanan di Old Trafford. Jika dianggarkan mereka bekerja selama enam jam, jumlah gaji yang perlu dibayar hanyalah RM 28.6 juta setahun. Pembayaran ini adalah kecil berbanding kos keseluruhan Manchester United pada musim 2018-19 berjumlah RM 1.9 bilion. 

Kerugian lain akibat Covid-19

Selain hasil kutipan hari perlawanan, kelab-kelab Premier League juga bakal mengalami kerugian lain. Sebagai contoh, pihak penaja mungkin mengurangkan jumlah tajaan kepada kelab-kelab bola sepak. 

Pasaran perpindahan pemain juga turut mengalami kesan. Kelab tidak akan berbelanja besar untuk membeli pemain baharu dan pemain yang ingin dijual juga tidak begitu menguntungkan. 

sanitasi bola

Walaupun kelab bola sepak dimiliki oleh individu yang kaya-raya, mereka juga sebenarnya terkesan akibat Covid-19 apabila perniagaan lain mereka turut terjejas.

Sekiranya Liga Perdana tidak dapat mencari jalan bagi menampung kerugian bernilai RM 3.88 bilion akibat ketiadaan penonton sepanjang musim, mungkin kelab terpaksa mengurangkan gaji pemain atau lebih teruk lagi jatuh muflis. 

Rujukan:

1. Liga Perdana Inggeris semasa wabak Covid-19

2. Impak Covid-19 terhadap EPL

3. Kerugian EPL tanpa penonton




Hakcipta iluminasi.com (2017)