Baru-baru ini, dunia bola sepak Eropah tiba-tiba dikejutkan dengan berita pengumuman sebuah pertandingan baru yang akan dikenali sebagai European Super League atau Liga Super Eropah. Maka timbul pelbagai persepsi dan persoalan seperti apakah yang akan terjadi pada liga domestik sedia ada, apakah European Champions League dan EUFA Cup tidak lagi relevan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi yang tidak tahu, Liga Super Eropah bakal dianggotai oleh 12 kelab besar dari liga utama Eropah seperti EPL, La Liga dan Serie A. 12 kelab yang sudah menyatakan penyertaan mereka adalah Atlético Madrid, Real Madrid, Barcelona, AC Milan, Inter Milan, Juventus, Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur. Beberapa kelab lain dijangka akan turut menyertainya sekiranya pertandingan ini benar-benar direalisasikan. 

Jika dilihat, 12 buah kelab ini adalah kelab-kelab gergasi daripada beberapa liga besar di Eropah dan mempunyai jumlah pengikut yang sangat ramai. Dengan jumlah pengikut yang ramai, FIFA dan UEFA telahpun mengeluarkan amaran bahawa kelab dan pemain yang terlibat bakal diharamkan daripada menyertai pertandinga anjuran mereka termasuklah Piala Dunia.

Sejarah dan Idea Penubuhan Liga Super Eropah 

the super league

Jika diteliti, idea penubuhan Liga Super Eropah ini bukanlah baru malah sudah diutarakan seawal tahun 1980-an lagi. Ya, ini bermakna idea ini sudahpun dibincangkan lebih daripada 30 tahun! Penganjurannya telah diusulkan untuk musim 2021-2022. FIFA dan keenam-enam konfederasi bola sepak benua termasuk UEFA, telah menolak pembentukan liga ini.

Pada tahun 1998, syarikat Itali Media Partners meneliti idea tersebut dengan serius. Rancangan itu bagaimana senyap setelah UEFA bertindak untuk memperluas pertandingan Liga Juara-Juara (Champions League) dan membatalkan Piala Pemenang Piala (Cup Winners' Cup) untuk mengelakkan kelab-kelab yang sedang mempertimbangkan untuk keluar daripada saingan untuk membentuk Liga Super Eropah yang diusulkan. Nampaknya tindakan tersebut boleh dianggap berjaya.

Pada bulan Julai 2009, Florentino Pérez dari Real Madrid kembali memperjuangkan idea tersebut. Florentino Pérez mengkritik UEFA dan Liga Juara-Juara dengan mengatakan "kita harus menyetujui Liga Super Eropah baru yang menjamin bahawa pasukan yang terbaik selalu bermain dengan pasukan yang terbaik - sesuatu yang tidak berlaku di Liga Juara-Juara."

Perez menyatakan bahawa beliau akan mendesak pertandingan yang menampilkan pasukan-pasukan gergasi Eropah sekiranya UEFA tidak melakukan lebih banyak perkara untuk memastikan pasukan-pasukan ini saling bermain setiap tahun. Di bawah rancanganya, pasukan terbaik di benua Eropah akan tetap menjadi sebahagian daripada liga domestik masing-masing, tetapi akan dijamin peluang untuk bermain satu sama lain pada akhir musim liga domestik.

Kemudian pada bulan Ogos 2009, pengurus Arsenal, Arsène Wenger meramalkan liga super akan menjadi kenyataan dalam masa 10 tahun kerana tekanan pendapatan terhadap pasukan elit benua itu. Ya, inilah penyebab utama mengapa pembentukan Liga Super Eropah dianggap perlu oleh kelab-kelab besar ini.

Pada 2016, wakil daripasa beberapa kelab Liga Perdana Inggeris - Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, dan Manchester United dilihat mengadakan pertemuan dengan wakil Stephen M. Ross yang membincangkan cadangan penubuhan Liga Super Eropah. Pada bulan November 2018, laman Football Leaks mendakwa bahawa telah ada perbincangan tersembunyi mengenai penciptaan pertandingan kelab benua baru dikenali sebagai Liga Super Eropah, yang akan dianjurkan pada tahun 2021.

Faktor kewangan sebagai penyebab utama

kewangan kelab epl

Akibat pandemik COVID-19 banyak industri terjejas teruk termasuklah kelab-kelab bola sepak. Akibatnya, banyak kelab bola sepak mengalami masalah kewangan. Bagi kelab besar, mereka turut menghadapi kesukaran kerana masih terikat dengan kontrak untuk membayar gaji pemain-pemain bintang yang sangat tinggi. Maka penubuhan Liga Super Eropah ini dilihat sebagai satu solusi kepada masalah kewangan yang membelenggu pasukan-pasukan besar ini.

Walaupun idea penubuhannya dikritik ramai pihak, cadangan ini tetap dibincangkan dan terdapat dokumen cadangan ini yang didedahkan menunjukkan bahawa liga seperti ini akan dimulakan pada musim 2022-23, dengan 15 anggota tetap termasuk enam kelab Liga Perdana dan setiap kelab akan dibayar hingga £310 juta untuk menyertainya diikuti oleh hingga £213 juta untuk setiap musim berikutnya.

Penganjuran pertandingan baru ini merupakan ancaman terhadap persatuan bola sepak di seluruh benua dan serangan langsung terhadap UEFA, yang memperoleh 51% dari pendapatannya berjumlah $2.37 bilion dari hak media bagi penganjuran Liga Juara-Juara pada 2018-19. Kumpulan yang ingin menubuhkan Liga Super Eropah ini pada mulanya akan dibiayai oleh JPMorgan, yang dilaporkan telah membuat komitmen untuk Liga Super ini sekurang-kurangnya berjumlah $4 bilion.

UEFA memperoleh hampir $4 bilion setiap tahun dari hak media untuk semua pertandingannya, tiga kali ganda daripada jumlah yang dikumpulkannya pada tahun 2011-12, menurut laporan kewangan terbaru persatuan itu. Pakej penyiaran Liga Super Eropah itu sendiri kelak boleh berjumlah ratusan juta setiap tahun, dan ia mempunyai peluang besar untuk menggabungkan hak siaran televisyen tradisional dengan penstriman, langganan, perjudian dan media sosial secara global yang belum pernah terjadi sebelumnya.

european super league

UEFA, badan pentadbiran yang mengawasi bola sepak Eropah dan salah satu daripada enam subsidiari FIFA, mengadakan pertandingan di antara pasukan kebangsaan seperti Kejuaraan Eropah dan juga Liga Juara-Juara yang terkenal di dunia. Mereka menguruskan wang hadiah, mengawal hak media dan menetapkan peraturan untuk 55 persatuan anggotanya.

Kehilangan pasukan-pasukan besar ini jelas satu ancaman buat UEFA kerana mereka turut akan kehilangan peminat nama-nama besar bola sepak seperti Messi dan Ronaldo, seterusnya mempengaruhi jumlah pendapatan mereka daripada hak penyiaran.

Langkah ini, walaupun berani, tidak menghairankan, kata perunding sukan Marc Ganis. Peningkatan kos pembelian pemain dan gaji yang semakin tidak masuk akal menyebabkan kelab-kelab besar melihat penglibatan mereka dalam Liga Super Eropah ini sebagai satu jalan keluar daripada masalah ini.

Yuran hak media yang makin lumayan dan pemilik pasukan baru yang membanjiri sukan ini dengan wang telah memberi peluang kepada kelab untuk memperoleh lebih banyak pendapatan untuk kelab. Pengumuman mengenai Liga Super Eropah merupakan satu lagi langkah untuk kelab memperoleh lebih banyak wang.

Kritikan daripada pelbagai pihak

bola untuk peminat bola

Idea penganjuran Liga Super Eropah ini telah dikritik oleh peminat dan pengkritik kerana kesannya yang berpotensi menghancurkan liga domestik, Liga Juara-Juara dan kelab-kelab yang lebih kecil.

Ia dilihat oleh beberapa pihak hanya sebagai "rampasan kuasa" oleh kelab-kelab besar untuk lebih banyak wang dan kawalan ke atas bola sepak. Pemain tengah Jerman dan Real Madrid Toni Kroos mengkritik rancangan itu pada tahun 2020, dengan mengatakan "jurang antara kelab besar dan kecil akan semakin bertambah".

Walaupun faktor kewangan menjadi sebab utama penganjuran Liga Super Eropah ini, segelintir pihak berpendapat bahawa ia tidak semestinya menjanjikan pertandingan yang lebih menarik walaupun disertai oleh kelab-kelab besar. Benar, perlawanan antara kelab-kelab besar tidak sentiasa menarik, ada kalanya lebih bosan jika dibandingkan dengan perlawanan antara kelab besar dan kelab bawahan yang penuh dengan kejutan.

Seperkara lagi yang perlu dilihat adalah status dan prestasi semasa kelab-kelab besar yang terlibat. Tidak kira sebagus mana pun sesebuah kelab itu, pasti ada pasang-surutnya. Ini berlawanan dengan format Liga Juara-Juara Eropah dimana kelayakannya ditentukan berdasarkan ranking kelab dalam sesebuah liga domestik tahun sebelumnya.

Format Pertandingan

Walaupun beberapa badan pentadbiran liga domestik "mengugut" untuk menggantung penyertaan kelab-kelab yang terlibat dalam Liga Super Eropah ini, namun bukanlah atas faktor terdapat pertembungan antara perlawanan Liga Super Eropah dan liga domestik (EPL, La Liga dll).

Penganjuran Liga Super Eropah ini sama sekali tidak berniat untuk menggantikan liga domestik di negara asal kelab-kelab yang terlibat. Sebaliknya, ia hanya dilihat sebagai alternatif kepada pertandingan Liga Juara-Juara Eropah yang sedia ada.

Berikut adalah format pertandingan Liga Super Eropah yang dinyatakan dalam laman rasmi mereka:

  1. Penyertaan daripada 20 kelab yang terdiri daripada 15 Kelab Pengasas Bersama dan mekanisme kelayakan untuk lima pasukan lagi untuk layak setiap tahun berdasarkan pencapaian pada musim sebelumnya.
  2. Perlawanan pada pertengahan minggu dengan semua kelab yang mengambil bahagian terus bersaing dalam liga kebangsaan masing-masing, mengekalkan kalendar perlawanan domestik tradisional yang tetap menjadi teras permainan kelab.
  3. Permulaan pertandingan bermula bulan Ogos dengan kelab yang mengambil bahagian diletakkan dalam 2 kumpulan yang terdiri daripada 10 pasukan bagi setiap kumpulan, bermain perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan, dengan tiga pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak secara automatik ke suku akhir.
  4. Pasukan yang menduduki tempat keempat dan kelima kemudian akan bersaing dalam play-off 2 kali untuk baki kedudukan suku akhir. Format kalah mati dua perlawanan timbal balik akan digunakan untuk mara ke final pada akhir Mei, yang akan diadakan sebagai perlawanan tunggal di tempat yang neutral.

Apa kata anda?

Adakah ini langkah yang bijak daripada kelab-kelab besar ini untuk memastikan kantung keuntungan mereka sentiasa deras ketika pandemik COVID-19 sedang melanda ketika ini dan pada masa yang sama menghancurkan monopoli UEFA dan FIFA? Adakah ia  dianggap sebagai satu pengkhinatan kepada penyokong kepada pasukan?

Kredit:

  1. SkySports
  2. Forbes



Hakcipta iluminasi.com (2017)