duit koyak ringgit malaysia

Pernah tak berlaku kepada anda, bila nak membayar barangan yang dibeli, pekedai menolak wang kertas diberikan kerana ada koyak sikit?

Mungkin juga kejadian sama pernah berlaku sebaliknya. Anda yang menolak baki diberikan pekedai kerana ada koyak pada wang yang dihulur.

Situasi sebegitu pasti kerap berlaku kerana kita melakukan transaksi dengan wang kertas setiap hari, melainkan anda adalah pengguna 100% matawang digital.

Tahukah anda, sebenarnya Bank Negara Malaysia mempunyai garis panduan khas menjelaskan kepada kita tentang nilai wang kertas yang ada berdasarkan tahap kecacatan dan kerosakan yang berlaku pada not tersebut?

Berapakah jangkahayat matawang kertas?

duit kertas lusuh

Sebagai info tambahan, sangat berfaedah sebenarnya untuk kita tahu berapa jangka hayat matawang kertas. Untuk itu, kita perlu melihat apakah bahan yang digunakan dalam menghasilkannya.

Duit kertas kita dibuat dengan dua bahan berbeza; duit RM1 dan RM5 dibentuk dengan polimer sementara wang kertas lebih besar pula dibuat menggunakan kertas.

Wang polimer mempunyai jangka hayat yang cukup tinggi sekitar 10 tahun ke 20 tahun sementara matawang kertas pula berbeza-beza jangka hayatnya, mengikut nilainya.

Lebih besar amaun, lebih tinggi anggaran hayatnya berkemungkinan besar disebabkan kadar transaksi yang lebih rendah.

Kami tidak menemui anggaran jangka hayat matawang kertas negara kita untuk amaun RM10, 20, 50 dan 100.

Sekiranya kita menggunakan anggaran wang kertas Dollar milik Amerika Syarikat, diramalkan wang kertas mampu bertahan di antara 6.6 tahun ke 22.9 tahun bergantung kepada kekerapan penggunaannya.

Apakah kerosakan yang tidak menjejaskan nilai matawang?

wang kertas berlubang

Bukan semua kerosakan yang berlaku akan merendahkan nilai wang ringgit anda. Sebenarnya Bank Negara memang sudah menerangkan tentang perkara ini.

Semua wang kertas yang koyak tetapi tetap mempunyai 2/3 atau lebih saiz asalnya, masih mempunyai nilai penuh wang kertas tersebut. Wang kertas yang diconteng bukan pada bahagian wajah YDP Agong pertama kita dan dalam skala kecil juga masih menyimpan amaun asalnya.

Sekiranya anda bimbang dan ingin menukarkan wang kertas yang koyak atau diconteng, lokasi terbaik untuk melakukannya adalah dengan terus ke cawangan Bank Negara sendiri kerana memang ada kaunter dibuka khas untuk tujuan itu.

Masalahnya cuma satu - bukan semua negeri ada cawangan Bank Negara! Ada juga yang menyebut pihak bank tempatan turut menerima pertukaran, tetapi syarat-syaratnya berbeza untuk setiap bank.

Wang kertas saya hilang separuh!

duit rm5 koyak

Bahagian atas menjelaskan tahap kerosakan yang tidak menjejaskan nilai. Apakah pula kerosakan yang menjejaskan nilai matawang?

Untuk mengetahui berapakah nilai yang masih ada, formulanya mudah.

Menurut Bank Negara Malaysia sendiri, sekiranya wang kertas anda koyak tetapi masih mempunyai lebih daripada separuh saiz asalnya namun kurang 2/3 - nilainya jatuh separuh nilai asalnya.

Sebagai contoh; RM10 yang terkoyak masih mempunyai 1/2 saiz asalnya akan mempunyai nilai RM5 apabila ditukarkan. Namun sekiranya wang kertas anda hanya tinggal kurang separuh daripada saiz asalnya, harap maaf wang anda sudah tiada nilai dan pertukaran tidak akan diterima.

Semuanya bergantung kepada saiz wang yang tinggal

wang kertas terbakar

Tidak dapat dinafikan bermacam jenis situasi berbeza mampu menyebabkan wang kertas yang ada rosak.

Wang kertas yang terbakar, dimakan serangga, tergunting, berlubang, lusuh, keronyok, kotor dan hilang struktur asalnya kesemuanya boleh ditukar. Pertukarannya perlu diingat, masih bergantung kepada syarat berapakah saiz asal wang yang masih tinggal seperti kami sebutkan di atas.

Tidak ramai tahu sebarang bentuk contengan ke atas wajah YDP Agong secara automatik menghilangkan nilai wang itu, namun anda masih berhak menukarkannya.

Selain itu, seandainya anda ada menerima wang kertas yang telah dilakarkan tulisan atau simbol berkait dengan elemen politik, agama dan perkauman walaupun tidak terkena wajah YDP Agong, wang kertas itu dikira tidak lagi bernilai dan patut digantikan.

Boleh ke kita 'selotep' duit?

wang kertas diselotep ditampal koyak

Dalam garis panduan Bank Negara Malaysia, memang ada dinyatakan bahawa duit yang telah digamkan (di selotepkan!) tidak lagi layak untuk kegunaan dan haruslah diganti.

Apabila melibatkan hal seperti ini, sebenarnya prosedurnya tidak memerlukan anda melekatkan kembali wang yang terkoyak tersebut - kerana selotep tidak membantu mengekalkan nilainya.

Apa yang patut anda buat adalah simpan cebisan wang tersebut sebaik mungkin di tempat yang selamat, agar anda dapat mengekalkan nilai asal wang tersebut tanpa perlu hilang saiz asalnya.

Bawa wang itu dalam versi koyak ke Bank Negara untuk pertukaran. Asalkan saiznya masih melebihi 2/3 saiz asalnya, kemungkinan anda dapat kembali amaun penuh adalah cerah.

Ada juga individu yang gemar menasihatkan kita agar cuba 'selotep' dulu wang tersebut,  gunakan di mesin seperti mesin bayaran parkir atau mesin jualan runcit.

Boleh saja anda cuba.

Jika nasib anda baik, bayaran anda akan diterima dan wang kertas itu jadi masalah pihak lain pula untuk urusan pertukaran. 

Harus diperjelaskan - kami tak nasihatkan anda buat perkara di atas.

Pada kami, lebih baik anda hantarkan kepada kami mana-mana not ringgit Malaysia milik anda yang terkoyak tetapi masih melebihi 2/3 saiz asalnya, tak kiralah berapa pun nilai asal wang itu.

Biar kami 'tolong' tukarkan.

Rujukan

The Exchange Value for Unfit Banknotes



Hakcipta iluminasi.com (2017)