Oleh pada 16 Jul 2018 kategori

Sekiranya anda rasa anda paling sasa, fikir semula. Lembu Belgian Blue ini sudah pasti lebih sasa daripada anda. Lembu ini tidak pernah ke gim untuk mengangkat berat demi mengekalkan ototnya, sebaliknya ia berlaku kerana mutasi gen di dalam badannya. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang baka Belgian Blue. 

Sejarah dan Latar Belakang Lembu Belgian Blue

lembu baka charolais 594

lembu baka shorthorn

Kewujudan Belgian Blue pertama kali didokumenkan pada tahun 1808 oleh pakar pemerhati ternakan, George Culley. Baka lembu ini adalah hasil daripada pembiakan silang (cross breeding) antara baka Charolais daripada Belgium dengan baka lembu Shorthorn daripada United Kingdom. Pembiakan silang ini menghasilkan lembu yang sangat besar dan berotot. 

Belgian Blue turut dikenali sebagai Race de la Moyenne et Haute Belgique, Belgian Blue-White, Belgian White and Blue Pied, Belgian White Blue, Blue dan Blue Belgian. Lembu daripada baka ini mempunyai fizikal yang sangat kurang lemak, dan tubuh badannya dipenuhi dengan otot semata-mata. Terma yang digunakan untuk merujuk kepada perubahan fizikal lembu seperti ini adalah 'double muscling', atau otot berganda. 

Lembu normal mempunyai bilangan serat otot yang normal, dan serat otot ini akan membesar bersama tumbesaran lembu (hypertrophy). Berbanding lembu biasa, Belgian Blue melalui proses double muscling, yakni jumlah serat otot yang semakin berganda (hyperplasia), di samping semakin membesar. Akibatnya, tubuh Belgian Blue menjadi sasa, dipenuhi otot padat. 

Mengapa Lembu Baka Belgian Blue Menjadi Terlalu Besar?

lembu belgian blue

Punca berlakunya double muscling adalah disebabkan mutasi semulajadi gen yang bertanggungjawab menghasilkan myostatin, iaitu sejenis protein yang mengawal tumbesaran otot. Mutasi ini mengganggu proses pemendapan lemak, akibatnya tubuh hos padat dengan otot. Menghidapi mutasi ini, Belgian Blue menghasilkan myostatin yang sedikit, jadi serat dan tisu ototnya lebih banyak berbanding lembu biasa. Lembu baka ini tidak dilahirkan berotot, namun ototnya semakin berkembang bermula daripada usia 4 hingga 6 minggu. 

Pembiakan silang secara semulajadi menghasilkan baka Belgian Blue yang berotot. Namun, saiz Belgian Blue pada awalnya tidaklah sebesar seperti yang dilihat hari ini. Baka Belgian Blue moden telah dihasilkan pada tahun 1950an oleh Professor Hanset melalui persenyawaan tiruan, atau bahasa mudahnya, pengubahsuaian genetik secara terpilih. Mutasi dan campur tangan manusia dalam pembiakan lembu menghasilkan baka Belgian Blue gergasi. 

Masalah Kelahiran dan Zuriat Yang Cacat

anak lembu belgian blue cacat

Kerana saiznya yang terlalu besar dan tidak normal, Belgian Blue mempunyai banyak masalah kesihatan. Lembu betina yang bunting Belgian Blue kerap kali menghadapi masalah dystocia, iaitu masalah untuk melahirkan anak, kerana isu saluran kelahiran yang sempit. Ibu lembu selalunya terpaksa melalui Caesarean section (C-section iaitu pembedahan) untuk melahirkan anak. 

Setelah dilahirkan, anaknya pula selalunya akan mempunyai banyak isu kecacatan, antaranya termasuklah lidah yang besar, menyebabkan mereka susah untuk mengunyah makanan. Anak lembu Belgian Blue juga berisiko tinggi untuk menghidapi masalah pernafasan (cardio-respiratory), masalah tulang dan sendi, dan beberapa penyakit lain. Ada di antara anak lembu yang mati awal disebabkan kecacatan kelahiran. 

Menarik Tentang Lembu Baka Belgian Blue

lembu belgian blue yang sasa

  • Lembu jantan baka Belgian Blue berupaya membesar sehingga mencapai berat 1250 kilogram, berbanding lembu biasa pada berat 900 kilogram. Lembu betina Belgian Blue dewasa pula mempunyai berat sekitar 700 kilogram.
  • Dengan otot yang bersaiz besar, Belgian Blue tampak garang. Namun, baka ini sebenarnya agak jinak seperti lembu biasa.
  • Masa untuk Belgian Blue matang dari segi seksual adalah lebih lama berbanding baka biasa.
  • Belgian Blue menghasilkan susu yang lebih sedikit berbanding lembu biasa.
  • Secara relatif, Belgian Blue mempunyai kepala yang kecil.
  • Harga purata lembu jantan muda berbaka Belgian Blue adalah sekitar RM8,500 hingga RM9,500 seekor. 

Mengapa Penternak Mahu Biakkan Belgian Blue?

mengapa ternak belgian blue

Jawapannya amat mudah. Belgian Blue mempunyai isi daging yang banyak, serta mempunyai kadar makanan kepada tumbesaran yang rendah, yakni makan sedikit, tumbesaran berganda (isi banyak). Jadi boleh dikatakan membela Belgian Blue sangat mudah dan menguntungkan berbanding lembu biasa. Penulis sendiri tidak pernah merasainya, namun begitu, penulis berpendapat bahawa rasa dan kelembutan daging Belgian Blue mungkin berbeza, sedikit keras kerana terlalu padat dengan otot. 

Kesimpulan

Pada pendapat penulis, pembiakan silang secara semula jadi masih okay. Namun, pengubahsuaian genetik secara terpilih dilihat tidak bermoral dan kurang etikanya. Malah, hasilnya menyebabkan haiwan itu sendiri mengalami masalah kesihatan, termasuklah kecacatan. Dari segi kelansungan spesis, ia seharusnya berlaku secara semulajadi tanpa campur tangan manusia. Ketamakan dan tiada sifat keperimanusiaan dilihat punca mengapa manusia sanggup berbuat sedemikian terhadap haiwan. 

Dari segi fizikal, lembu ini nampak sangat gagah! Rasa macam nak bela pula!

Sumber:

  1. peta.org
  2. en.wikipedia.org
  3. thatsfarming.com
  4. wideopenpets.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)