Oleh pada 15 Mar 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Joy Revfa

    

Usahawan kosmetik, Joy Revfa selamat melangsungkan pertunangan dengan rakan kongsi perniagaannya di Shah Alam, semalam.

Begitupun, pemilik nama Siti Arifah Mohd Amin, 32, ini memilih untuk merahsiakan identiti lelaki terbabit, meskipun dalam masa sama meletakkan tag akaun @zurev_ahmax pada kiriman foto pertunangan di Instagramnya.

“Majlis pertunangan dibuat sederhana dan tertutup. Saya bersyukur majlis dihadiri teman rapat seperti Heliza Helmi, Mawar Karim dan Lufya.

“Insya-Allah, majlis perkahwinan dirancang, tidak lama lagi... Insya-Allah tahun ini juga,” katanya kepada portal BH Online.

    

tunang joy revfa

Kredit foto: Instagram Joy Revfa

     

Menerusi entri Instagram semalam, Joy memuat naik gambar momen pertunangan tersebut, namun bertindak menutup wajah jejaka yang dimaksudkan.

Dalam pada itu, bekas isteri penyanyi Hafiz Hamidun ini meluahkan rasa syukur kerana ibunya, Sofia Abbas merestui pertunangan yang dilangsungkan, selain memegang peranan utama dalam menyiapkan hiasan bagi setiap sudut rumahnya.

“Dulang hantaran pun ibu saya sediakan,” tambahnya.

Difahamkan, Joy mula berkenalan dengan rakan kongsinya sejak akhir tahun lalu.

“Kami bertemu pada mesyuarat di mana saya mahu melebarkan skop perniagaan dalam bidang kecergasan diri.

“Tunang saya adalah jurulatih kecergasan dan memiliki perniagaan sendiri. Akhirnya, kami jadi rakan kongsi di bawah Merve Fitness.

“Sejak itu, kami mula kenal hati budi masing-masing. Dia memiliki ciri-ciri lelaki idaman saya,” katanya.

Selebihnya, Joy mendedahkan tentang keperibadian tunangnya yang cukup menjaga solat termasuk berwaspada dalam hubungan bersama bukan muhrim, selain mendalami ilmu agama.

Terdahulu, Joy melalui perkongsian hidup dengan Hafiz Hamidun sebelum bercerai pada 2017. Ia merupakan perkahwinan keduanya selepas rumah tangga pertama juga gagal.

Menerusi perkahwinan sulung, beliau melahirkan Arryan Firdaus yang kini berusia enam tahun.

    

Sumber berita: Joy Revfa bertunang dengan rakan kongsi

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)