Zaman persekolahan adalah zaman yang sangat menyoronokkan. Kita hanya perlu memikirkan mengenai pembelajaran di sekolah dan tidak perlu memikirkan masalah lain seperti tanggungjawab kepada keluarga, kerjaya dan sebagainya. Ketika fasa ini jugalah kita biasanya mudah terpengaruh dengan perkara-perkara baru daripada rakan sebaya.

Beberapa bulan lepas, ramai guru melaporkan mengenai permainan fidget spinner yang dijual dalam kalangan pelajar di sekolah. Kini, antara permainan popular dalam kalangan pelajar sekolah rendah adalah pistol mainan yang diisi air minuman pelbagai perisa. Pistol ini sangat banyak dijual di luar pagar sekolah terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerisauan mengenai perkara ini disuarakan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh, seorang guru yang kini mengajar di SK (1) Gombak.. Pihak iluminasi.com telah diberi kebenaran untuk mengulangsiarkan artikel beliau agar ibu bapa lebih cakna dan memandang serius akan perkara ini.

Ini SERIUS.

Gambar ini gambar mainan. Tapi artikel ini bukan main-main. Kau baca elok-elok dan ambil pengajaran. Ini sejumlah hasil rampasan 'perang' hari ini. Ini baru rampas dari 3 kelas. Sesi petang sekolah aku ada 12 kelas semuanya. Memang berguni-guni aku rampas tadi.

Bahaya Isi Kandungan Air Minuman Yang Diragui

isi kandungan air minuman dalam pistol

Ini bukan pistol air yang biasa. Yang ini sangat bahaya. Apa yang bahayanya?

  1. Isi kandungan air dalam pistol itu. Pistol ini bila dibeli ada air manis, masin, dan masam. Bergantung pada warna pistol dibeli.
  2. Bahan kandungan air tersebut. Pertama sekali banyak sangat bahan kimia. Lupa aku nak snap dekat-dekat apa 'ingredients' air tu.
  3. Lepas itu logo halal dia memang cap ayam lah. Halal betul atau haram entahlah. Tapi aku syak logo tipu.
  4. Tiada tarikh luput. Barang makanan mesti ada tarikh luput kan? Yang ni yilekk. Beli hari ni, 7 tahun lagi kau hendak minum pun boleh. Pembetulan: Tarikh luput produk ini ada ditampal pada produk. Walau bagaimanapun, kandungan air minumannya di dalamnya mengandungi bahan-bahan yang sangat meragukan.
  5. Tiada tercatat alamat dan pengilang pistol air ini. Misteri sungguh pengilang ini. Kau tidak sangsi? Kalau disebabkan air ini ada murid keracunan, bahkan membawa maut, siapa kita nak persalahkan? Nak saman siapa?

Kes Keracunan Murid

Baik. Kau dengar sini. Dua atau tiga tahun lepas, murid aku umur lapan tahun tidak sedarkan diri berhari-hari. Senang kata, koma. Puas doktor cari punca, setelah kajian dibuat, mereka percaya punca utama adalah dari air minuman jenis 'spray' dalam mulut.

Hal ini aku pernah berkongsi dua atau tiga tahun lepas di wall aku. Dapat beribu share jugalah sebab benda itu tengah viral dan budak-budak suka. Lagipun harganya murah. Sekitar 50 sen hingga seringgit sahaja.

Kandungan air yang tidak tahu bila lagi dibuat, bahan kimia di dalam air, bahan kimia pada bekas plastik yang rendah kualiti, spring untuk sembur air yang berkarat dan bakteria-bakteria jahat yang banyak dalam minuman air jenis 'spray' itu dipercayai meracuni sistem badan murid aku dulu.

Aku hendak ulas lanjut pasal keracunan pun, bukan bidang aku. Karang nampak sangat aku buat-buat bijak padahal jahil dalam bab ini. Jadi aku cuma tulis apa yang disampaikan kat aku dulu dan tulis semula.

Murah dan mudah dibeli di luar pagar sekolah

Hari ini aku kesan pistol air pula dijual diluar pagar sekolah. Harganya cukup murah, RM1 untuk dua pistol air ini. Memang murid mampu belilah. Pistol itu tiada masalah kalau diisi air dan buat main tembak-tembak. Yang jadi masalah ialah 'air minuman' dalam pistol tu.

Murid beli dan tembak dalam mulut untuk merasai air tu. Itu yang bahaya. Itu yang boleh mengundang maut jika silap gaya. Peniaga di luar pagar ni, sekolah tidak boleh halau. Luar pagar sekolah, bukan bidang kuasa guru lah.

Borong semua stok dan larang peniaga jual

Aku cuma boleh pesan kat murid supaya tidak membeli diluar pagar sekolah. Itu sahaja. Mereka peniaga pun tidak tahu juga benda ini bahaya. Esok aku akan jumpa peniaga di luar sekolah aku dan slow talk suruh dia jangan jual lagi benda ini.

Stok yang ada aku akan borong semua dengan dia. Ya lah, takkan hendak suruh dia buang gitu begitu sahaja kan? Kena fikir periuk nasi orang juga. Peniaga luar pagar pun bukan orang senang juga. Harap mereka bagi harga modal sudah lah kat aku esok.

Kau kalau jumpa pistol macam ni, tolong pesan kat peniaga jangan jual lagi. Kalau kau ada duit, kau borong semua. Lepas tu kau isi air paip, kau jual la semula. Dapat la modal kau balik. Silap-silap untung lagi.

Buat main tembak-tembak cukuplah. Jangan bagi budak-budak minum. Tambah-tambah anak-anak kita. Dan aku tidak kata kandungan air itu boleh membawa maut. Karang tak pasal-pasal aku kena saman.

Tapi aku sangsi dan sangat meragui. Lagipun kes beberapa tahun lalu masih terbayang di mata aku. Mujur murid aku akhirnya stabil setelah beberapa hari. 3-4 minggu jugalah dia cuti sebab kes ni. Sebelum benda sama berulang, baik kita beringat. Sebelum ada kejadian yang bakal kita kesali datang lagi, baik kita hati-hati. Sama-sama kita berpesan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)