jurucakap tentera

Perang Dunia Kedua bukan sahaja menyaksikan kemajuan dalam bidang penghasilan senjata dan teknologi ketenteraan, tetapi juga bidang  kriptografi. Bagi tujuan penyampaian mesej, setiap negara akan membangunkan kod rahsia bagi tujuan komunikasi antara mereka terutamanya untuk menyampai mesej-mesej yang kritikal di medan perang.

Pada masa yang sama juga, setiap negara yang terlibat berusaha keras memintas mesej-mesej yang disampaikan menggunakan kod ini bagi mengetahui strategi pihak musuh. Perkara ini dapat dilihat apabila Alan Turing berjaya memintas kod daripada mesin Enigma milik Jerman yang menjadi salah satu sebab kepada pengakhiran Perang Dunia Kedua setelah kekalahan Jerman.

Kod rahsia komunikasi tentera Amerika

kod komunikasi ketenteraan

Apabila tentera Amerika Syarikat terlibat dalam peperangan di kawasan Pasifik, mereka menghadapi masalah. Satu satu masalah besar yang dihadapi mereka adalah penggunaan bahasa Inggeris itu sendiri yang dianggap tidak selamat untuk menyampaikan mesej penting di medan perang.

Hal ini kerana para ahli kriptografi Jepun pada ketika itu mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan sememangnya sudah bersedia memainkan peranan untuk memintas kod-kod komunikasi Amerika Syarikat yang dihantar menggunakan bahasa Inggeris. Pihak Amerika Syarikat sedar mereka perlu menggunakan kod rahsia yng baru bagi mengatasi masalah ini.

Penggunaan bahasa orang asli Navajo

kod rahsia orang asli

Tidak lama kemudian, Phillip Johnston, seorang jurutera awam telah memberikan satu solusi yang dianggap bernas untuk menyelesaikan masalah ini. Beliau merupakan anak kepada seorang mubaligh Kristian dan membesar bersama-sama dengan oranng Navajo di Arizona.

Dalam erti kata lain, beliau adalah seorang daripada hanya segelintir orang luar daripada pihak Navajo yang mampu bertutur menggunakan bahasa tersebut. Beliau mencadangkan penggunaan bahasa tersebut memandangkan tidak ramai orang luar yang tahu menggunakannya.

Pada mulanya, ujian percubaan dengan 4 orang penutur bahasa ini telah dilakukan. Menyedari akan keberkesanannya, maka bahasa Navajo ini secara rasminya telah diangkat sebagai kod rahsia yang akan digunakan para tentera Amerika Syarikat di medan perang.

Peranan orang asli Amerika dalam peperangan

monumen penghargaan orang navajo

Monumen penghargaan terhadap peranan orang Navajo

Peranan bahasa Navajo ini bukanlah kali pertama orang asli di Amerika Syarikat membantu pihak tentera dalam penyampaian mesej rahsia. Malah pada penghujung perang dunia pertama sebelum itu, askar-askar Amerika Syarikat yang berasal dari Cherokee dan Choctaw kebiasaannya akan memainkan peranan mengalih bahasa mesej-mesej penting ke dalam bahasa mereka untuk memastikan mesej penting tersebut tidak dapat diketahui oleh pihak musuh.

Beberapa tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, kerajaan Jerman dikatakan telah menghantar beberapa orang rakyatnya untuk belajar bahasa-bahasa kaum orang Asli di Amerika Syarikat. Mereka mungkin sudah menyangka tentera Amerika Syarikat kelak bakal menggunakannya untuk menyampaikan mesej-mesej penting ketika di medan perang.

Walau bagaimanapun, tentera Amerika Syarikat memilih menggunakan bahasa orang Navago kerana beberap faktor. Pertama, kawasan Arizona yang menjadi tempat orang Navajo tidak pernah didatangi oleh orang Jerman. Maka, terdapat peratusan tinggi  orang Jerman tidak akan memahami bahasa ini.

Kedua, pada waktu tersebut tiada huruf yang digunakan untuk pembelajaran bahasa tersebut. Penutur hanya mempelajarinya secara oral dan ini menyebabkan orang luar sangat sukar untuk mempelajarinya secara bersendirian. Kedua-dua sebab ini menjadikan bahasa ini menjadi pilihan yang tepat untuk digunakan oleh tentera Amerika Syarikat di medan perang.

Kejayaan kod Navajo

Demonstrasi awal yang dilakukakan berjaya menunjukkan keberkesanan penggunaan bahasa Navajo di medan perang. Ini menyebabkan kerajaan AS telah mengambil keputusan untuk merekrut sekitar 200 orang Navajo untuk menyertai pasukan tentera laut Amerika Syarikat dan melatih mereka dalam bidang kriptografi.

Disebabkan terdapat limitasi yang terhad terhadap perkataan-perkataan yang wujud dalam bahasa ini, beberapa perkataan baru terpaksa diwujudkan bagi membolehkan terma-terma ketenteraan diterjemahkan ke dalam bahasa ini. Sebagai contoh, kapal selam digelar "metal fish" sementara pengebom digelar "chickenhawk".

Sepanjang peperangan, dikatakan seramai 400 orang Navajo telah direkrut untuk tujuan kriptografi ini. Malah, ianya telah digunakan dalam banyak kempen peperangan antara tahun 1942 hingga tahun 1945. Kejayaan Amerika Syarikat ke atas Jepun juga sering dikreditkan ke atas penggunaan bahasa Navajo ini.

Malah, dikatakan bahawa kod Navajo ini merupakan salah satu kod rahsia ketenteraan yang tidak dapat dibocorkan oleh pihak musuh. Malangnya, walaupun orang Navajo telah memainkan peranan penting dalam kejayaan tentera Amerika Syarikat di medan perang, mereka tetap didiskriminasi oleh kerajaan.

Diskriminasi terhadap orang Navajo

veteran perang navajo

Selepas perang juga, kesemua orang Navajo juga telah diberikan arahan agar tidak memberitahu dunia luar mengenai peranan bahasa Navajo dalam tentera Amerika Syarikat kerana ianya dikategorikan sebagai rahsia ketenteraan yang utama.

Sehingga tahun 1968 juga, orang Navajo yang terlibat dalam peperangan dilarang keras untuk menceritakan tentang sumbangan mereka terhadap tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua. Malah, mereka sering diabaikan dan tidak diiktiraf sebagai Veteran perang.

Walau bagaimanapun, hasil usaha mereka sejak sekian lama untuk diiktiraf sebagai Veteran perang akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan AS akhirnya mengiktiraf peranan yang dimainkan mereka dalam memastikan kejayaan tentera AS terutamanya di kawasan Pasifik.

Kredit:

  1. CNN
  2. Wikipedia
  3. History
  4. CIA


Hakcipta iluminasi.com (2017)