Daripada tunjuk perasaan di Amerika hingga grafiti di patung Winston Churchill di London, terdapat contengan grafiti 4 huruf yang sama telah muncul iaitu "ACAB".

Keempat huruf ini sebenarnya merupakan singkatan bagi slogan kebencian terhadap polis yang berbunyi "All Coppers (atau Cops) are Bastards". Frasa ini bukanlah sesuatu yang baru malah diakui secara global dan turut muncul beberapa bulan lalu berikutan gelombang kemarahan terhadap kekejaman polis berikutan pembunuhan George Floyd yang mengejutkan dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, daripada manakah asal-usulnya frasa ini? Sejak bilakah ianya menjadi slogan universal sebagai simbol kemarahan dan kebencian terhadap pihak polis?

Asal-usul akronim ACAB

all corps are bastard

Jawapan terhadap persoalan di atas dapat diketahui dengan melihat pada frasa itu sendiri. Di bahagian atau negara manakah dalam dunia ini pihak polis dipanggil "copper" kalau bukan England?

Malah, England juga merupakan negara yang mencipta pasukan polis moden pada awal abad ke-19, berfungsi untuk menghalang dan mengawal orang Ireland yang memberontak dan kemudian untuk  mengawal pekerja yang berduyun-duyun ke kota-kota yang mencari pekerjaan.

Ungkapan "All Cops are Bastards" adalah kritikan sistemik terhadap peranan polis pada ketika itu. Bahasa Perancis yang setara dengan frasa ini adalah "Tout le monde déteste la police" yang diterjemahkan menjadi "Semua orang membenci polis".

Victoria Gagliardo-Silver, penulis di akhbar The Independent menjelaskan frasa ekspresi ini dibuat bagi menyatakan bahawa bukannya hanya "beberapa buah buah epal yang buruk" sebaliknya "pohon itu sendiri yang membusuk dari dalam ke luar dan menyebarkan racunnya".

Kebencian terhadap polis

Kebencian terhadap polis sudah wujud awal lagi sejak pasukan polis ditubuhkan. Kematian pegawai polis pertama yang terbunuh dalam semasa sedang bertugas di London, Joseph Grantham, dinilai sebagai "pembunuhan yang dibenarkan" oleh juri yang curiga terhadap pasukan baru itu.

Tidak ada siapa yang benar-benar tahu bila pertama kalinya frasa "All Cops are Bastards" digunakan. Lexicographer Eric Partridge menulis dalam bukunya A Dictionary of Catch Phrases bahawa frasa itu telah wujud sepanjang abad ke-20 dan telah digunakan "di kalangan penjenayah profesional dan penjahat", sekurang-kurangnya satu generasi sebelumnya.

Beliau turut mengatakan pertama kali mendengar ungkapan itu pada tahun 1920-an sebagai sebahagian dari lirik lagu "I'll sing you a song, it's not very long: all coppers are bastards". Lagu ini muncul dalam dokumentari We Are The Lambeth Boys, yang difilemkan pada musim panas 1958 dan menunjukkan kehidupan sekumpulan budak lelaki kelas pekerja dari Lambeth.

Pengaruh terhadap bidang muzik dan bola sepak

Akronim ACAB ini juga semakin popular dalam sistem penjara Britain, dengan tahanan menulis "ACAB" di dinding dan pada diri mereka sendiri. Bergantung pada siapa yang bertanya apa maksudnya, seseorang individu itu mungkin berhelah dengan mengatakan ACAB bermaksud "Always Carry A Bible".

Tulisan grafiti bertulisan ACAB masih boleh dijumpai di penjara Britain pada hari ini. Dalam buku popularnya tentang bagaimana untuk hidup dan bertahan dalam sistem penjara, penulis Carl Cattermole mengatakan ACAB sebagai "akronim tahun 70-an yang banyak digunakan oleh orang-orang punk dan penjenayah".

Kemunculan muzik punk pada akhir 1970-an membantu ACAB tersebar ke peringkat antarabangsa. Akronim ini sangat popular dalam "Oi!", sebuah sub-genre utama punk yang lebih memberontak. Pada tahun 1982, sebuah band Oi! dari London timur bernama The 4 Skins telah mengeluarkan lagu mereka bertajuk "A.C.A.B.".

Lagu ini merupakan salah satu lagu paling popular mereka dan secara tidak langsung semakin mempopularkan lagi akronim ACAB ini. Band punk anti-fasis Jerman , Slime turut mengeluarkan lagu "A.C.A.B." versi mereka sendiri tahun sebelumnya dan tindakan ini secara tidak langsung membantu meluaskan penggunaan istilah ini dalam subkultur belia Jerman.

band acab 125

Di Malaysia, pernah juga muncul kumpulan A.C.A.B, ditubuhkan pada penghujung tahun 1994. Nama A.C.A.B. digunakan dari tahun 1994 hingga tahun 2003, ia kemudiannya di tukar kepada The A.C.A.B. berikutan penukaran genre muzik mereka iaitu daripada Oi! kepada rock indie. Namun dikhabarkan mereka mahu kembali kepada genre muzik  asal mereka ketika era a90-an dulu.

ACAB juga telah tersebar melalui budaya penyokong fanatik bola sepak. Budaya Hooliganisma bola sepak Inggeris pada tahun 1960-an dan 70-an sangat berkait dengan budaya skinhead yang menggunakan akronim ini. Kemudian, penyokong bola sepak di negara lain telah meniru budaya ini diperingkat tempatan.

ACAB pada masa kini

maksud acab 247

Penggunaan akronim ACAB bukan hanya terhad di negara Barat, tetapi turut di negara lain seperti negara-negara Asia. Pada tahun 2016, seorang penyokong bola sepak Pesija Jakarta mati setelah dipukul oleh polis. Setelah disiasat, frasa "all coppers are bastards" telah dijumpai dalam buku catatannya di rumah.

Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana kejadian itu terjadi - adakah pemuda tersebut memang benci terhadap polis sehingga memprovokasi mereka atau mati atas sebab-sebab lain.

Anda boleh pergi ke mana-mana sahaja di dunia dan menemui contengan ACAB di dinding. Kini, akronim ACAB ada di mana-mana sahaja. Anda boleh membeli kemeja-T dan beg tote di Etsy, malah terdapat meme di media sosial dan klip video di TikTok menggunakan tanda pagar ACAB.

Berikutan tunjuk perasaan "Black Lives Matter" atas kematian George Floyd dahulu, akronim ini baru-baru ini muncul pertama kali di akhbar New York Times. Walau apa pun, penggunaan akronim ACAB terus menjadi trend dan sama ada orang ramai menggunakan akronim ini dengan merujuk maksud sebenarnya atau tidak, protes terhadap kekejaman polis semakin kuat.

Istilah ini mungkin tidak bermaksud hal yang konsisten bagi setiap orang yang menggunakannya, tetapi mesej yang jelas adalah penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa Iaitu polis tidak dapat diterima di mana-mana pun di dunia ini.

Kredit:

  1. The Independent
  2. GQ
  3. Mic
  4. Vice



Hakcipta iluminasi.com (2017)