gadoh cina melayu india zahiril

Masalah rasisme seringkali membelenggu masyarakat berbilang bangsa. Perkara ini walaupun sebenarnya buruk, menjadi sesuatu yang akan berlaku walau apa pun yang cuba kita lakukan.

Warga Malaysia pula jika kita ikuti kempen-kempen dalam media, seringkali dipaparkan mempunyai masyarakat yang sangat harmoni serta majmuk saling hidup antara satu sama lain, tanpa wujud pergeseran kaum yang ketara. Ini adalah satu kejayaan yang besar pada kita semua.

Walaupun begitu, stigma tentang sesuatu kaum itu tetap wujud menghantui setiap ahli masyarakat kita sehinggakan setiap peristiwa yang berlaku, stigma ini akan kembali disebutkan sebagai kebenaran. Kami cuba senaraikan beberapa stigma yang biasa kedengaran melibatkan kaum-kaum di Malaysia agar dapat kita mengubahnya.

1. Kaum India

orang india mabuk todi

Kaum India sering menjadi sasaran stigma kaum, melalui cara mereka berkomunikasi. Orang India didakwa sebagai kaki putar belit atau cakap tak serupa bikin, sekejap kata lain, esok kata lain. Oleh kerana kemahiran itulah dikatakan kaum India ramai yang layak menjadi peguam atau pengamal undang-undang, kerana kepetahan mereka berbahasa mampu membuatkan sesiapa saja kelu dan mereka akan menang.

Selain itu, orang India juga kerap kali distereotaipkan sebagai kaki tonggang arak, tetapi bukan arak berkualiti. Ungkapan 'India mabuk minum todi' sehingga kini kelihatan masih lagi digunakan di media sosial.

Dalam satu video Youtube yang penulis saksikan, seorang pemuda India mengakui dia banyak kali jadi mangsa stereotaip bila berjalan kaki. Bila dia lalu saja tepi mana-mana kereta yang beratur di jalan raya, dia pasti akan terdengar tuan punya kereta menekan butang kunci pintu kerana bimbangkan keselamatan mereka. Penulis belum lagi sentuh tentang lawak-lawak tentang warna kulit mereka lagi tu.

2. Kaum Cina

cina penipu

Satu ungkapan paling popular berkenaan orang Cina yang paling popular adalah kiasu. Kami dah tuliskan artikel panjang tentang kiasu, kalau anda nak fahami apa itu. Realitinya, sikap kiasu ni berlaku dalam mana-mana kaum tetapi entah kenapa kelihatan sangat jelas dalam masyarakat Cina. Adakah ini didorong oleh perasaan ingin mendahului yang sangat-sangat dipupuk masyarakat Cina?

Orang Cina juga berhadapan dengan stigma suka cekik darah. Meniaga hanya nak untung semata-mata tanpa mempedulikan orang ramai. Selain itu, peniaga Cina juga dikatakan suka menipu dalam memaksimakan keuntungan.

Bagaimanapun, satu stigma yang paling popular di kalangan masyarakat Malaysia berkenaan orang Cina adalah bagaimana orang Cina mahu menjadikan Malaysia ibarat Singapura atau China sendiri. Mungkin ada golongan seperti ini, tetapi kami yakin jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan orang Cina yang sayangkan Malaysia seperti sedia ada.

3. Kaum Melayu

dapur kotor melayu pemalas

Kaum penulis sendiri. Kerap kali dikatakan malas. Stigma malas ini dah berapa ratus tahun diwarisi oleh orang Melayu, sehingga kini. Dari mana datangnya stigma ini? Daripada zaman penjajah dan masih lagi berakar sehingga ke hari ini.

Adakah orang Melayu malas? Jika ya orang Melayu malas, tak adalah kami nak menulis artikel hari-hari untuk dipaparkan di sini dalam menyebarkan pengetahuan. Tak dinafikan ada Melayu yang malas, tetapi adakah dengan segelintir itu sudah mewakili semua?

Selain dianggap malas, orang Melayu juga dianggap suka berlengah-lengah dan tidak suka bersaing. Satu lagi stereotaip yang kerap kali dikenakan pada orang Melayu adalah panas baran. Kena jentik sikit dah melenting nak bertumbuk.

4. Orang Borneo

orang borneo atas pokok

Penulis tidak mahu mengaku pakar dalam masyarakat orang Borneo. Walaupun ada kawan-kawan dari sana serta saudara mara yang pernah bertugas di sana, pengetahuan penulis tentang masyarakat Borneo agak lemah. Jadi penulis kongsikan apa yang penulis nampak berlegar-legar sajalah.

Masyarakat Borneo mempunyai stereotaip yang agak berat bebannya - mereka dianggap terkebelakang berbanding masyarakat di Malaysia Barat, bukan saja dari segi fasiliti, bahkan terkebelakang daripada segi kemampuan mentaliti juga. Mungkin disebabkan sistem pendidikan masyarakat sana yang selalu digambarkan sebagai daif dan uzur.

Selain itu, masyarakat Borneo juga didakwa masih lagi kekal mengamalkan amalan-amalan mistik, kerap kali melakukan pemujaan untuk melakukan kejahatan. Satu stereotaip baik yang selalu disebut berkenaan masyarakat Borneo adalah mereka ni kuat dari segi tubuh badan, menyebabkan mereka mempunyai kekuatan fizikal yang lebih berbanding orang Malaysia Barat. Tak tahulah betul atau tidak.

5. Orang Malaysia

nyonya mengamuk steering lock

Secara keseluruhannya, media kerap kali memaparkan orang Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang harmoni. Bagaimanapun, kita semua tetap berkongsi beberapa stereotaip yang kurang enak.

Orang Malaysia didakwa mempunyai tabiat memandu yang sangat berbahaya serta tidak mempedulikan orang lain. Bagi saja stereng pada orang Malaysia, individu yang baik dan lembut sifatnya terus bertukar jadi seorang yang kurang ajar di jalan raya.

Kita juga dikatakan sangat sukar menepati waktu. Dah berjanji jam 9.00 pagi, pukul 9.30 baru sampai. Lebih teruk, pukul 11.30. Alasan stereotaip yang kita selalu dengari sama ada lambat bangun atau jalan raya sesak.

Ada lagi? Ada. Tapi penulis malas nak sambung lagi dah, sebab penulis berbangsa Melayu. Hahaha.


tags : , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)