xu xiaodong mma kungfu tai chi

Pada satu petang bulan Ogos 2019, Xu Xiaodong mengaktifkan sistem 'Virtual Private Network' langganan beliau, berjaya melangkaui sekatan internet yang diletakkan kerajaan China lalu mula menyiarkan rakaman langsung Youtube pertama beliau.

Hasratnya pada hari itu adalah untuk menyuarakan pandangan tentang apa yang sedang berlaku di Hong Kong. Xu bercakap untuk satu tempoh berdepan kamera lalu menyuarakan pendapatnya bahawa rakyat Hong Kong yang pada ketika itu seringkali dipersalahkan atas apa yang berlaku, berkata :

"Orang Hong Kong adalah orang Cina. Saya orang Cina. Jadi saya sayang Hong Kong. Saya tidak percaya orang Cina di Hong Kong mampu bertindak ganas seperti apa yang dipaparkan di sini."

Video rakaman Xu dengan pantas ditularkan, membawa bersama harapan komuniti Cina di seluruh dunia. Ini kerana persepsi yang cuba dibawakan media dari Ching seakan menyebut seluruh rakyat China bersetuju dengan pandangan kerajaan China; rakyat Hong Kong masyarakat bermasalah.

Empat hari selepas itu, pegawai keselamatan kerajaan China hadir ke apartment milik Xu, membawa beliau pergi untuk disoal siasat. Bagaimanapun, situasi seperti itu sudah terlalu kerap dilalui beliau. Ini kerana bagi mereka yang mengikuti 'karier internet' beliau, Xu Xiaodong sememangnya sudah terkenal.

Identitinya yang paling digemari ramai - dia tak takut menyuarakan pendapat dan yang lebih penting, dia amat suka bergaduh.

Mencabar tradisi lama China

bertarung pakar seni kung fu tai chi

Sejak 2015, Xu Xiaodong mengelolakan siri yang dinamakan 'Brother Dong's Hot Takes' di mana dia akan membicarakan pelbagai isu seorang diri di depan kamera, melibatkan seni pertahanan diri. Apa yang membuatkan beliau terkenal, adalah sikapnya yang gemar mencerca dan mengeji kumpulan pengamal seni pertahanan diri yang beliau gelarkan sebagai 'pianzi' atau 'penipu, dalam dunia seni bela diri.

Xu amat kritikal terhadap langkah kerajaan China menjadikan seni bela diri sebagai salah satu cabang pengembalian semula identiti China, kerana melahirkan ramai 'guru-guru kungu serta tai chi' yang tidak berkebolehan. Kebanyakan mereka ini, menurut Xu hanyalah guru kung fu yang cuba mendapatkan bantuan subsidi serta geran-geran kewangan yang disediakan kerajaan China dalam mengembalikan martabat seni bela diri mereka di negara tersebut.

Pelbagai kaedah digunakan kerajaan China dalam mempopularkan seni kung fu dan tai chi. Rancangan seperti 'The Showdown Show' diperkenalkan bagi memberikan pendedahan kepada anak muda tentang 'keupayaan sebenar' seni kung fu. Guru tai chi berusia 76 tahun ditunjukkan mampu menumbangkan seorang pemuda hanya dengan sentuhan ringan. Dalam beberapa demo lain ditonjolkan kemampuan guru tai chi bergomol dengan empat orang lawan serentak.

Sekitar tahun 2017, muncul satu rancangan berjudul 'Real Kung Fu' memaparkan seorang guru kung fu bernama Wei Lei yang mampu memecahkan isi dalaman tembikai tanpa mencederakan kulitnya. Wei lei menjadi sasaran utama Xu Xiaodong selepas itu, menyifatkan apa yang dilakukan Wei Lei sebagai perkara-perkara bodoh.

Pendapat Xu yang dikongsikan di internet, mendapat reaksi daripada pihak Wei Lei. Jadi Wei Lei bertindak balas mendedahkan maklumat peribadi Xu Xiaodong, termasuklah alamat kediaman serta nombor telefon peribadi kegunaan beliau.

Hilang sabar, Xu Xiaodong terus ke Chengdu di mana Wei Lei beroperasi, menerjah masuk ke gimnasium milik guru tai chi itu dan meminta peluang untuk beradu tenaga.

Mula dikenali di seluruh dunia

pertarungan pertama dengan wei lei

Tidak ramai yang ada di dalam gimnasium itu pada waktu tersebut dan Wei Lei menyambut baik cabaran Xu Xiaodong. Hanya mereka yang berada di situ apa berlaku pada perlawanan itu sebelum keesokannya, salah satu rakaman amatur perlawanan berkenaan mula tular sehingga disaksikan jutaan mata di seluruh dunia.

Kekalahan Wei Lei dalam masa beberapa saat sahaja itu mengejutkan dunia seni bela diri China, mengangkat Xu Xiaodong di hati masyarakat. Hasil daripada kejutan itu, lebih 100 orang pakar seni bela diri mencabar beliau, namun tak semua cabaran itu diterima. Xu menyenaraikan kesemuanya, memotong banyak nama daripada senarai sebelum tinggal 17 orang sahaja yang dia rasakan perlu disahut cabarannya.

Setakat ini, dalam 17 pertarungan yang diadakan di depan khalayak ramai, belum pernah ada pengamal seni bela diri yang mampu menundukkan Xu, yang menang kesemua perlawanan.

Semua perlawanan dilakukan secara kurang formal, dengan tidak ada format rasmi diperketatkan jadi ada kalanya Xu Xiaodong berdepan dengan guru kung fu yang jauh lebih kecil daripadanya. Tidak ada sarung tangan diwajibkan dan gelanggang pula, kalau ada - ada. Tak ada, mereka bertarung atas lantai.

Pertarungan demi pertarungan menaikkan profil Xu Xiaodong, yang sebelum itu hanyalah pengamal MMA yang biasa saja sejak berhenti pada tahun 2004. Selepas berhenti daripada bertarung secara profesional, Xu bertindak cuba mempopularkan sukan MMA di China; embuka gimnasiumnya sendiri serta menganjurkan perlawanan tahap amatur setiap hari Jumaat.

Sekalipun dia tidak pernah bertarung dengan orang lain, sehinggalah Wei Lei mendedahkan maklumatnya di internet. Video pertarungan mereka berdua tidak boleh diakses di China, selepas kerajaan China bertindak memadamkan ramakn tersebut.

Seorang diri melawan tai chi

wei lei selepas dibelasah xu xiaodong

Lahir di Beijing, Xu mula mempelajari seni 'sanda' atau tinju kaki China, satu-satunya seni pertahanan diri yang beliau rasakan benar-benar bernilai untuk pertahanan diri. Tidak lama selepas itu, dia menemui ilmu MMA akibat daripada kemasukan seni tersebut secara perlahan-lahan. Kebebasan bertarung tanpa sekatan yang ada pada MMA menarik minatnya untuk serius dalam sukan itu.

Akibat daripada bantahannya ke atas seni tai chi dan kung fu yang lantang, setakat ini sudah beberapa kali Xu diminta memohon maaf, didenda lebih RM150,000, tidak mempunyai skor sistem sosial yang baik menyebabkan dia disekat daripada menggunakan keretapi dan kapal terbang untuk sementara, salah satu gimnasiumnya ditutup dan akaun media sosial milik beliau, bersilih ganti lenyap dihapuskan pihak tertentu.

Berikutan daripada itu, Xu mula berdepan masalah kewangan sehinggakan dia terpaksa berpindah keluar, akibat kegagalan membayar sewa. Tidak lama selepas menandatangani kontrak pertarungan perlawanan ke 18 - berdepan seorang guru tai chi bernama Wang Zhenling, kerajaan China mengharamkan Xu daripada terus menerima cabaran mana-mana guru tai chi atau mencabar mana-mana pengamal.

Dia tidak lagi dibenarkan bertarung untuk mendedahkan penipuan yang menjadi satu bentuk propaganda kerajaan selama ini. Jadi Xu memilih untuk meneruskan rutinnya seperti biasa, mengusahakan gimnasium beliau sehinggalah rusuhan di Hong Kong mula menjadi besar.

Suara minoriti masyarakat China

xu xiaodong chen qiushi bekerjasama

Xu tidak menyokong usaha Hong Kong diberikan kemerdekaan sendiri, kerana menganggap China, Taiwan dan Hong Kong adalah serumpun. Bagaimanapun, kecaman yang disuarakan terhadap kerajaan China yang sengaja memutar belitkan situasi pasti mendapat perhatian - kerana di China tidak ramai berani berkata sebegitu.

Setakat ini hanya Xu Xiaodong dan seorang lagi peguam berusia 33 tahun bernama Chen Quishi yang berani bersuara cuba menjelaskan perkara sebenar. Chen misalnya sanggup ke Hong Kong hanya untuk mencari cerita sebenar dan menyiarkan lawatannya itu di akaun media sosial.

Malangnya, tindakan berani Chen itu tetap tidak dapat lari daripada perhatian kerajaan China. Selepas memuat naik video lawatan beliau, tidak lama kemudian kesemua video Chen hilang dipadamkan dan akaun media sosial beliau pupus, tanpa sebarang penjelasan diberikan.

chen qiushi peguam china lawat hong kong

Oleh kerana tidak ramai yang berani bangkit menyuarakan pandangan, Xu dan Chen akhirnya memilih untuk bekerjasama memberanikan diri bergabung tenaga. Mereka mula dilihat saling bertukar-tukar pendapat. Kemuncaknya, Xu sendiri melantik Chen sebagai peguam selepas akaun dia pula dipadamkan pihak berkuasa.

Tidak ramai yang berani bersuara dengan cara lantang seperti mereka berdua, walaupun hanya melalui media sosial. Bagaimanapun, gabungan Xu dan Chen dilihat sebagai harapan kepada rakyat China yang percaya apa yang dilakukan kerajaan mereka sendiri, sangat keterlaluan. Chen diangkat kerana usahanya mencari bukti dan Xu pula diangkat, kerana dia sangat berani -  tidak takut untuk bergaduh demi mendedahkan kebenaran.

Xu Xiaodong hanya mampu tertawa apabila dirinya dikatakan wira baru orang China yang lebih bersikap global. Dia lebih percaya individu seperti Chen Qiushi yang berkelayakan serta berpendidikan adalah orang yang patut diangkat sebagai simbol masyarakat China - bukan dia, yang dia sendiri ibaratkan, lebih kepada seekor anjing gila.

xi xiaodong belasah ahli senibela diri palsu


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel He Never Intended To Become A Political Dissident, But Then He Started Beating Up Tai Chi Master yang diterbitkan pada 4 Oktober 2019 oleh Deadspin.



Hakcipta iluminasi.com (2017)