Pada hari ini, kebanyakan kawasan serta rantau Landes di barat daya Perancis dipenuhi dengan kawasan berhutan. Malah, kawasan itu sebenarnya merupakan hutan paling besar di Perancis.

Akan tetapi lebih daripada seratus tahun yang lalu, ketika pada pertengahan abad ke-19 pemandangan di rantau Lander ini agak berbeza. Selain kawasan itu padat ditutupi dengan pokok-pokok pain, terdapat juga kawasan rawa atau berpaya yang begitu besar seluas mata memandang. Selain daripada itu, rantau Lander juga mempunyai jalan walaupun ia tidak kelihatan formal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selama berabad-abad lamanya, orang-orang miskin yang tinggal di sana sebahagian besarnya adalah terdiri daripada pengembala kambing. Apa yang menarik mengenai penduduk di sini ialah, mereka mempunyai cara tersendiri untuk hidup di kawasan yang lembab dan tidak rata ini.

lukisan penduduk landes 431

Mereka menggunakan bentuk pengangkutan yang unik dinamakan jangkungan atau kaki bajang. Pengangkutan unik ini membolehkan para pengembala ini berjalan melalui kawasan pendalaman yang sering menjadi lembab dan basah apabila turunnya hujan lebat.

Namun, bukan itu sahaja kelebihan mereka apabila berjalan beberapa kaki tinggi dari atas tanah. Ketika berada pada kedudukan yang tinggi, para pengembala ini dengan mudah dapat melihat haiwan gembalaan mereka.

Mereka dapat mengawasi kambing biri-biri mereka daripada ancaman kumpulan serigala dari jarak jauh. Dengan ini, mereka mempunyai masa untuk menghalau serigala-serigala tersebut.

Selain itu juga, jangkungan ini membantu mereka untuk melangkah dengan jarak yang lebih panjang. Hal ini menyebabkan mereka dapat bergerak ke suatu kawasan dengan lebih pantas dalam masa yang singkat.

penduduk landes 1938

Penduduk Landes 1938

Jangkungan yang mereka gelar sebagai tchangues atau "kaki besar" ini diperbuat daripada kayu dan mempunyai saiz kira-kira lima kaki tinggi. Ia juga dilengkapi dengan tali yang lebar bagi menyokong kaki supaya lebih kukuh apabila berjalan.

Bahagian paling bawah jangkungan ini pula dibuat sedikit besar dan dikukuhkan dengan tulang kambing supaya tidak mudah patah atau terbenam jauh ke dalam tanah yang basah mahupun lembab.

Kebanyakan pengambala yang menggunakan jangkungan ini juga biasanya akan membawa satu tongkat sebagai sokongan tambahan ketika berjalan atau untuk menaiki jangkungan itu sendiri. Tongkat ini juga digunakan untuk menghalau gerombolan kambing biri-biri yang digembala mereka.

pengembala biri biri 1908

Pengembala biri-biri, tahun 1908

Walaupun jangkungan ini kelihatan sukar untuk digunakan, namun ia sebenarnya sangat stabil. Para pengembala kambing di daerah Landes menggunakan jangkungan ini hampir sebahagian besar dalam kehidupan mereka. Malah ada yang melakukan boleh melakukan kerja mengait kain sambil memerhatikan kambing biri-biri mereka di atas jangkungan.

Bukan sahaja pengambala kambing yang mahir dalam menggunakan jangkungan ini. Malah, hampir semua lelaki, wanita dan kanak-kanak di daerah Landes ini pandai menggunakannya sebagai alat pengangkutan.

Penduduk di sini telah dilatih sejak dari usia muda lagi. Mereka boleh melakukan pelbagai perkara menarik menggunakan jangkungan ini kerana begitu mahir dalam mengimbangi badan dan kelajuan ketika menggunakannya.

posmen menggunakan jangkungan

Mereka gunakan jangkungan hampir dalam segala pekerjaan yang mereka lakukan di luar. Sebagai contoh, para wanita akan pergi berbelanja di kedai, memetik bunga, malah berbual-bual dengan rakan mereka di pasar sambil berdiri di atas jangkungan ini.

Kanak-kanak juga pergi ke sekolah dengan menggunakan jangkungan. Malah, posmen di situ juga menghantar surat menggunakan jangkungan. Dengan cara ini, mereka dapat melakukan tugasan dengan sempurna walaupun melalui kawasan lecak yang kotor.

Para pelancong yang mengunjungi daerah ini pasti akan berasa seronok. Dikatakan bahawa Maharani Josephine pernah melawat Landes pada tahun 1808 untuk berjumpa dengan Napoleon Bonaparte.

Maharani dan rombongan istananya telah disambut oleh sekumpulan penduduk yang berjalan menggunakan jangkungan. Maharani itu berasa teruja dengan kecekapan mereka menggunakan alat itu. Malah, para penduduk itu mampu berjalan seiring dengan kuda-kuda yang membawa maharani itu.

Maharani Josephine kemudian membaling sejumlah wang syiling ke atas tanah sambil melihat para penduduk itu jatuh dari atas jangkungan mereka untuk mengutip duit yang dibalingnya. Maharani memerhatikan gelagat mereka sambil ketawa kerana lucu.

Perkara paling menakjubkan ialah, pada tahun 1891, seorang lelaki bernama Sylvain Dornon telah berjalan dari Paris ke Moskow menggunakan jangkungan. Jarak yang dilaluinya ialah sejauh 2800 km dan memakan masa selama 58 hari. Ini bermakna dia berjalan sejauh 48 km sehari secara purata.

sylvain dornon

Sylvain Dornon

Malangnya, penjalan kaki jangkungan ini berkurangan secara drastik pada kurun ke-19 apabila rantau Landes yang dipenuhi kawasan rawa ini telah dikeringkan dan digantikan dengan tanaman pokok pain.

Walau bagaimanapun, kemahiran yang luar biasa ini tidak hilang sepenuhnya. Penduduk di sini masih lagi menggunakan jangkungan ketika membuat persembahan pada festival rakyat setempat.

Rujukan:

1. Amusing Planet

2. Illustrated Past

3. Mashable




Hakcipta iluminasi.com (2017)