Di Malaysia, laman beli belah dalam talian seperti Lazada, Shopee dan 11Street tidak asing lagi bagi kita. Dan kita jarang sekali mengetahui tentang Amazon.com, yang merupakan antara syarikat terawal di dunia yang melopori perniagaan dalam talian, atau lebih dikenali sebagai e-commerce.

Amazon lebih dikenali di Eropah dan Amerika Syarikat kerana perkhidmatan boleh didapati di sana. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah kejayaan Jeff Bezos dalam membina empayar Amazon.com.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah Sebenarnya Jeff Bezos?

jeff bezos pengasas amazon

Jeff Bezos telah dilahirkan pada 12 Januari 1964 di Albuquerque, Amerika Syarikat, oleh seorang ibu yang masih muda remaja, iaitu Jacklyn Gise Jorgensen. Bapa kandung beliau bernama Ted Jorgensen.

Perkahwinan pasangan ini bertahan kurang daripada setahun, dan ketika Jeff berusia 4 tahun, ibunya telah berkahwin sekali lagi dengan seorang immigran dari Cuba, iaitu Mike Bezos. 

Seorang seorang kanak-kanak, Jeff mula menunjukkan minat mendalam tentang bagaimana sesuatu itu berfungsi, mengubah garaj milik ibu bapanya menjadi makmal kajian, dan turut menjinakkan diri dengan peralatan eletrik yang ada di dalam rumah.

Ketika remaja, beliau bersama keluarga telah berpindah ke Miami, di mana beliau mula berjinak dengan komputer. Di sana, beliau telah menamatkan pengajian sekolah menengah sebagai pelajar terbaik. Semasa di sekolah menengah, beliau telah memulakan perniagaan pertamanya, iaitu 'Dream Institute', sebuah kem pendidikan musim panas buat junior-juniornya. 

kenali jeff bezos pengasas amazon 696

Jeff kemudiannya meneruskan minatnya dalam bidang komputer dengan menyambung pelajaran ke Princeton University dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Kejuruteraan Elektrikal. Beliau menamatkan pengajiannya dengan keputusan yang sangat cemerlang pada tahun 1986. 

Selepas graduasi, beliau ditawarkan pekerjaan di beberapa buah syarikat di Wall Street, termasuklah syarikat terkenal seperti Fitel, Bankers Trust dan syarikat pelaburan D.E. Shaw. Beliau memilih untuk menyertai D.E. Shaw dan di situlah beliau bertemu dengan isterinya, Mackenzie, sebelum dilantik menjadi Naib Presiden syarikat yang termuda pada tahun 1990. 

Walaupun kerjayanya dalam bidang kewangan sangatlah lumayan, Jeff membuat keputusan untuk memilih jalan yang lebih berisiko dan mencabar, dengan menyertai dunia baru e-commerce, iaitu perniagaan dalam talian.

Beliau berhenti kerja pada tahun 1994, berpindah ke Seattle dan mensasarkan pasaran internet yang berpotensi dan belum disentuh, dengan harapan untuk membuka sebuah kedai buku dalam talian. 

Bagaimana Jeff Bezos Memulakan Amazon.com

siapa sebenarnya jeff bezos 799

Jeff menggunakan garaj rumahnya sebagai pejabat bagi syarikatnya yang masih baharu, dan bersama beberapa orang pekerja, beliau mula membangunkan sebuah laman sesawang. Operasi mereka berkembang kepada sebuah rumah 2 bilik, dilengkapi dengan 3 Sun Microstations dan akhirnya membangunkan laman percubaan. 

Jeff menjemput lebih 300 orang rakannya untuk mencuba (beta test) laman sesawang tersebut yang diberi nama Cadabra.com. Selepas beberapa perubahan dan naik taraf, beliau menukar nama laman sesawang tersebut kepada Amazon.com, dan mula beroperasi pada 16 Julai 1995. Nama tersebut diambil bersempena dengan nama Sungai Amazon di Amerika Selatan. 

Kejayaan awal Amazon adalah sangat mendadak. Tanpa sebarang promosi media, Amazon.com berjaya menjual ribuan buku di 50 negeri di Amerika Syarikat, dan juga 45 negara luar hanya dalam masa sebulan selepas mula beroperasi. Setelah 2 bulan beroperasi, jualan melalui Amazon telah mencecah sebanyak $USD20,000 seminggu, pencapaian di luar jangkaan Jeff dan pasukannya. 

Amazon Terus Berkembang Sebagai Laman Beli Belah Utama

amazon com ketika pelancaran

laman sesawang amazon

Amazon.com membuka IPO (Initial Public Offering) pada tahun 1997 bagi mendapatkan dana tambahan untuk terus berkembang. Tindakan itu menyebabkan ramai penganalisis pasaran mula mempersoalkan sama ada syarikat tersebut mampu bertahan apabila syarikat-syarikat buku lain mula melancarkan laman sesawang e-commerce mereka sendiri. 

2 tahun berikutnya, syarikat tersebut bukan sahaja mampu bertahan, malah meninggalkan pesaing mereka jauh di belakang, menjadi mengetuai pasaran e-commerce. Jeff terus mempelbagaikan produk yang dijual di lamannya, termasuklah dengan penjualan CD dan video pada tahun 1998. 

Dalam tahun-tahun berikutnya, Amazon mula bekerjasama dengan beberapa jenama-jenama terkenal daripada pelbagai kategori termasuklah pakaian, elektronik, permainan kanak-kanak dan lain-lain.

Ketika mana banyak dot.com pada awal tahun 1990an mula hilang arah, Amazon terus berkembang dengan jualan tahunan melonjak daripada $USD510,000 pada tahun 1995 kepada lebih daripada $USD17 bilion pada tahun 2011. 

Kejayaan Demi Kejayaan Buat Amazon dan Jeff Bezos

amazon prime video

Pada tahun 2006, Amazon.com telah melancarkan perkhidmatan videonya yang tersendiri, yang dikenali sebagai Amazon Unbox on TiVo, yang akhirnya dijenamakan semula sebagai Amazon Instant Video. 

Setahun berikutnya, syarikat tersebut terus berkembang dengan pelancaran Kindle, buku digital yang membolehkan penggunanya untuk membeli, memuat turun dan menyimpan buku pilihan mereka. 

Dalam tahun yang sama, Jeff mengumumkan pelaburannya dalam Blue Origin, sebuah syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di Seattle, yang sedang membangunkan teknologi-teknologi canggih bagi tujuan pengembaraan angkasa buat para pelanggannya yang berminat.  

kindle keluaran amazon

Jeff juga tidak turut terlepas untuk menjadikan Amazon sebagai sebahagian daripada pengeluar tablet dengan pengenalan Kindle Fire pada tahun 2011. September tahun sama, beliau mengumumkan Kindle Fire HD, tablet generasi baharu syarikat tersebut bagi bersaing dengan iPad oleh Apple. 

Pada awal Disember 2013, Jeff memperkenalkan inisiatif eksperimen oleh Amazon, yang digelar 'Amazon Prime Air', menggunakan dron untuk menghantar barangan pesanan pelanggan. Menurut beliau, dron tersebut boleh membawa barangan seberat 2.3 kilogram, dan berupaya untuk terbang sejauh 16 kilometer daripada gudangnya. 

Pada Julai 2017, Jeff telah berjaya mengatasi pengasas Microsoft, Bill Gates sebagai manusia terkaya di dunia, menurut Bloomberg, sebelum jatuh semula ke tangga ke-2 tidak lama selepas itu. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. astrumpeople.com
  2. biography.com
  3. yosuccess.com
  4. investopedia.com
  5. successstory.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)