Oleh pada 20 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Reuters

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang secara rasmi merupakan pelumba terpantas Asia semasa Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai semalam.

Meskipun gagal memperoleh pingat emas, beliau berjaya melakar rekod baru Asia dalam acara pecut elit lelaki dengan catatan 9.774 saat ketika pusingan kelayakan pada ACC 2018.

Malah, ia ternyata sudah memadai untuk mencuri tumpuan pencabarnya setelah memperoleh pingat perak menerusi pecut individu serta gangsa keirin. 

Catatan yang membenarkan beliau mengungguli senarai pelumba ketika pusingan kelayakan itu memadam rekod 9.843s yang dibuat pelumba Jepun, Nitta Yudai di pentas kejohanan yang serupa tahun lalu.

Ia sekaligus memadam rekod kebangsaan 10.074s kepunyannya yang dibuat pada edisi 2016 ACC di Jepun.

Pelumba yang diberi gelaran 'The Pocket Rocketman' itu memberitahu, beliau tidak menduga boleh merekodkan kepantasan sehingga 9.774 saat, oleh kerana 9.8 saat merupakan sasaran masa terpantas realisitik yang mampu diperoleh.

“Fokus utama saya hari ini adalah untuk cuba lakukan catatan terbaik di bawah 10s dan ketika saya sedang menunggu giliran, Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) terlebih dahulu mencatat masa di bawah 10s jadi selepas itu saya lebih bersemangat.

"Pada awalnya saya tidak menyangka berjaya mencipta sesuatu kerana suasana ketika saya menamatkan perlumbaan itu senyap seperti tiada apa-apa kejutan yang berlaku, namun apabila saya melihat ke skrin elektronik saya terkejut dan seakan tidak percaya dengan catatan masa itu," ujarnya.

Sebelum ini, ketika aksi final, pelumba itu menunjukkan persaingan sengit ketika perlumbaan pertama kepada pelumba veteran Jepun, Kazunori Watanabe, tetapi masih gagal menahannya daripada menjuarai saingan.

Ia diiikuti pusingan kedua dengan sekali lagi Azizul menonjolkan kayuhan bertenaga tetapi terpaksa akur dengan kekalahan tipis menuju ke garisan penamat dan tewas 0-2.

"Bagi saya ia tetap sesuatu yang membanggakan kerana berjaya melakar rekod Asia dan menaiki podium dalam dua acara disertai.

"Ini menunjukkan persediaan saya berada di landasan tepat menghadapi Kejohanan Dunia di Belanda hujung bulan ini," jelasnya. 

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu berumur 30 tahun itu terdahulu meraih pingat gangsa menerusi acara keirin sewaktu kejohanan yang diadakan selama 5 hari sejak Jumaat lalu.

Namun, Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang menerusi kategori remaja setelah Zulhelmi Zainal memperoleh pingat emas bagi acara kejar-mengejar individu.

Dia menamatkan perlumbaan final mencatat masa 3 minit 24.985 saat menumpaskan lawan dari Kazakhstan, Maxim Gridchin dengan catatan 3 minit 25.527 saat.

Sementara itu, Alif Aiman Safuan terpaksa akur merangkul pingat perak menerusi pecut individu setelah kalah kepada Esow Alban dari India 0-2. 

Sumber berita:

1.    Bernama

2.    Utusan Online

3.    BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)