Oleh pada 17 Oct 2018 kategori

Adakah anda seorang yang suka menggosok baju namun merasakan tugas itu adakalanya boleh menjadi agak membosankan dan memerlukan sedikit keseronokan? Anda mungkin boleh cuba menyertai sukan kreatif yang digelar extreme ironing.

sukan ekstrem gosok baju

Nama extreme ironing (seterika ekstrem) itu sudah cukup menggambarkan apa yang dimaksudkan dengan sukan ini. Ia merupakan sebuah kegiatan yang menggabungkan bahaya dan keterujaan sukan 'ekstrem' dengan kegembiraan melihat baju yang tidak berkedut. Sukan ini melibatkan sebuah seterika dan papan seterika yang dibawa ke lokasi-lokasi terpencil dan aktiviti menggosok beberapa helaian pakaian.

gosok baju sambil bawa basikal

Lokasi-lokasi pilihan untuk sukan ganjil ini adalah seperti di kawasan pergunungan terutamanya yang memerlukan pendakian sukar, atau menggosok baju sambil berski, menaiki skuter atau berkanu.

Sukan ekstrem ini sebenarnya sudah lama wujud iaitu lebih 20 tahun yang lalu. Idea bernas ini dimulakan oleh seorang lelaki bernama Phil Shaw atau lebih dikenali sebagai "Steam" dari Leicester, United Kingdom pada tahun 1997.

extreme ironing sukan ekstrem gosok baju di atas gunung

Phil ketika itu baru pulang dari kerjanya di sebuah kilang pakaian yang dikait dan perlu menghadap timbunan kain berkedut di rumah. Dia terfikir alangkah bagusnya jika dia sedang cuti dan menghabiskan masa dengan mendaki tembok. Lalu, dia tiba-tiba mendapat idea dan terus membawa keluar papan seterikanya ke laman bunga, memasang seterika pada penyambung wayar dan mula menggosok di luar rumah.

Selepas itu, Phil dan rakan serumahnya, Paul Cartwright mula menggosok baju dalam persekitaran luar biasa. Mereka menyeterika baju sambil mendaki tembok, bermain ski di Pergunungan Alps dan di atas pohon balak di Black Forest.

extreme ironing sukan ekstrem gosok baju

Dua tahun kemudian, pada tahun 1999, kempen untuk mencari "atlet" dijalankan di seluruh dunia iaitu di Amerika Syarikat, Fiji, New Zealand, Australia dan Afrika Selatan. Kempen ini berjaya sehingga tertubuhnya Seterika Esktrem Antarabangsa dan ia mula diiktiraf sebagai sebuah sukan.

gosok baju sambil terbang di udara

Sejak mula diperkenalkan, banyak gambar dan video sukan ini tersebar yang memaparkan atlet menggosok baju dalam air, di puncak gunung, ketika membuat terjunan dan dalam pelbagai lagi situasi atau keadaan berbahaya. Adakalanya para penggosok membawa bersama generator elektrik dan ada juga yang memanaskan seterika menggunakan dapur gas mudah alih. Bagi yang lebih ekstrem, seperti Dr. Iron Q, seorang penggosok dari Jerman, seterika diubah suai dengan rawatan lapisan bahan kimia istimewa yang akan menjadi panas apabila terkena air.

gosok baju dalam air sukan ekstrem

Kemuncak populariti sukan seterika ini adalah pada tahun 2000 apabila beberapa warga Jerman yang juga penggemar sukan ini membuka cawangan pejabat di sana sehingga berjaya membangunkan Eso Ironing, iaitu satu cabang sukan Extreme Ironing yang menggabungkan prinsip asas meditasi dan seterika. Selain itu, mereka juga telah menubuhkan pusat penyelidikan seterika ekstrem yang meneroka keperluan fizik sukan ini.

Pada tahun 2002, Jerman buat julung-julung kalinya menjadi tuan rumah dan menganjurkan Kejohanan Dunia Seterika Ekstrem. Lokasi pilihan adalah di sebuah perkampungan di lembah berhampiran Munich. Ia adalah sebuah acara yang sangat besar dengan penyertaan sehingga 80 buah kumpulan dari seluruh dunia. Penyeterika dari Jerman yang bernama "Hot Pants" telah memenangi acara individu manakala pasukan dari British pula menjuarai acara berkumpulan. Kejohanan ini berjaya membuka mata dan menarik minat lebih ramai penggemar sukan ini dari negara lain seperti Austria, Croatia, Chile dan Australia.

gosok baju sukan ekstrem sambil bermain ski

Kaedah pemarkahan sukan ini adalah berdasarkan jumlah 120 mata yang dibahagikan kepada tiga kategori berlainan: kualiti gosokan (60 mata), gaya menggosok (40 mata) dan kepantasan menggosok (20 mata).

Sejak mula diperkenalkan, lebih 1,500 atlet penggosok telah menyertai sukan ini di seluruh dunia. Walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia seperti telah kehilangan momentum, Phil dan rakan-rakan penggosoknya dilaporkan masih aktif menggosok dalam persekitaran melampau sehingga ke hari ini.

sukan ektrem seterika baju dalam air

Amaran: Jangan berani-berani cuba sukan ini menggunakan seterika kesayangan emak atau isteri anda.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)