aplikasi syarikat gergasi yang berasal dari rusia russia

Jika Amerika Syariikat boleh berbangga dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi yang diasaskan oleh rakyat Amerika Syarikat antaranya Tesla, Apple dan Microsoft, Russia yang merupakan salah satu negara terbesar dunia juga tidak kurang hebatnya.

Landskap teknologi Rusia adalah sangat besar. Walaupun ekonomi Rusia bergolak dan landskap teknologinya banyak distereotaip oleh orang Barat penuh dengan kegiatan jenayah seperti penggodaman, budaya teknologi dan keusahawanan yang kuat telah berkembang di negara ini sejak setengah dekad yang lalu dan menghasilkan sejumlah syarikat yang berkembang pesat. 

Dan jangan terkejut, mungkin anda sendiri pernah menggunakan salah satu produk atau teknologi yang sebenarnya dicipta oleh seorang rakyat Russia. Begitulah hebatnya dunia teknologi tanpa sempadan masa kini, kita tidak lagi memilih untuk menggunakan sesuatu teknologi atau produk berdasarkan asal-usul produk itu tetapi bergantung pada prestasinya.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 5 produk atau teknologi hebat yang dibangunkan oleh anak jati Russia. Daripada syarikat atau jenama besar dalam senarai ini, berapakah yang anda pernah guna?

1. Telegram

aplikasi telegram

Mendapat jolokan sebagai alternatif kepada aplikasi WhatsApp, Telegram adalah perisian dan aplikasi pesanan segera berasaskan awan, multi platform dan perisian percuma. Perkhidmatan ini juga menyediakan panggilan video enkripsi end-to-end, VoIP, perkongsian fail dan beberapa ciri lain.

Telegram pada mulanya dilancarkan untuk iOS pada 14 Ogos 2013 dan Android pada Oktober 2013. Sebelum membina Telegram, pengasas bersama Telegram, Pavel Durov membantu mewujudkan Vkontakte, sebuah rangkaian sosial dengan lebih daripada 350 juta pengguna aktif. Menurut Podolyak, syarikat media dan pemilik bisnes di Rusia menggunakan Telegram sebagai platform blog awam dan alat komunikasi peribadi.

Telegram dibangunkan bagi membuang stereotaip bahawa segala kegiatan anda di media sosial akan dipantau oleh kerajaan. Ianya juga disebut oleh rakyat Russia sebagai 'Snapchat Rusia', mesej yang dikirim menggunakan Telegram dienkripsi dan tidak disimpan di pelayan syarikat untuk memastikan mesej anda benar-benar privasi.

2. Kaspersky

kaspersky

Sekiranya anda pernah menggunakan komputer yang menggunakan sistem operasi Microsoft, nama Kaspersky tentunya cukup sinonim buat anda sebagai perisian anti-virus. Kaspersky Lab (atau dalam bahasa Russia Laboratoriya Kasperskogo) adalah penyedia keselamatan siber multinasional dan anti-virus yang beribu pejabat di Moscow, Rusia dan dikendalikan oleh syarikat induk di United Kingdom.

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1997 oleh Eugene Kaspersky, Natalya Kaspersky, dan Alexey De-Monderik dimana Eugene Kaspersky kini menjadi CEO syarikat ini. Kaspersky Lab membangunkan dan menjual antivirus, produk keselamatan internet, pengurusan kata laluan, keselamatan endpoint dan produk dan perkhidmatan keselamatan siber lain.

Ia adalah syarikat Russia pertama yang dimasukkan dalam penarafan syarikat perisian terkemuka di dunia, yang disebut "Software Top 100". Pada tahun 2016, perisian ini mempunyai kira-kira 400 juta pengguna dan mempunyai penguasaan pasaran terbesar sebagai vendor perisian keselamatan siber di Eropah. 

3. Nginx

nginx

Sekiranya anda hanya pengguna laman web dan internet dan tidak pernah terlibat dengan dunia pembangun laman web, nama ini mungkin cukup asing bagi anda. Nginx (disebut “engine-ex”) mungkin salah satu aplikasi pelayan web dan "load balancers" yang paling banyak digunakan sepanjang masa.

Nginx muncul sebagai projek sumber terbuka pada tahun 2002 dan mempunyai komuniti pembangun yang kuat. Pada tahun 2011 pengasas bersama Igor Sysoev dan Gus Robertson memindahkan syarikat itu ke San Francisco. Menurut CrunchBase, syarikat itu telah mengumpulkan $41 juta dana usaha dan kini menyediakan perkhidmatan infrastruktur hosting awan.

Sehingga Februari 2020, pihak Netcraft menganggarkan Nginx digunakan oleh 36.48% dari semua laman web aktif, membolehkannya menduduki tempat pertama di atas Apache pada 24.51%. Sementara itu, menurut W3Techs, Apache menduduki tempat pertama pada 40.1% dan Nginx kedua dengan 31.8%%.

4. FaceApp

faceapp

Sekiranya anda gemar menghabiskan masa di sosial media seperti Facebook dan Instagram, anda pastinya pernah melihat kenalan anda menggunakan aplikasi ini berdasarkan "watermark" yang diletakkan pada gambar atau video yang dimuatnaik mereka.

FaceApp adalah aplikasi penyuntingan foto dan video untuk iOS dan Android yang dikembangkan oleh Wireless Lab, sebuah syarikat yang berpusat di Russia. Aplikasi ini menghasilkan transformasi wajah manusia yang sangat realistik dalam gambar dengan menggunakan teknologi berdasarkan kecerdasan buatan.

Aplikasi ini dapat mengubah wajah seseorang untuk menjadikannya tersenyum, kelihatan lebih muda, kelihatan lebih tua atau menukar jantina. Syarikat yang diasaskan oleh Yaroslav Goncharov ini tidak lari daripada kontroversi mengenai privasi pengguna yang mengatakan bahawa syarikat ini menyimpan gambar mereka dan menggunakan gambar yang dimuatnaik untuk tujuan komersial.

5. Yandex

enjin carian yandex

Yandex itu adalah syarikat teknologi terbesar di Russia dan enjin carian terbesar di Internet dalam bahasa Rusia dengan pennguasaan pasaran melebihi 52%. Ia juga mempunyai penguasaan pasaran terbesar dari mana-mana enjin carian di Eropah dan Negara-negara Komanwel Merdeka dan merupakan mesin carian ke-5 terbesar di seluruh dunia selepas Google, Baidu, Bing, dan Yahoo!. 

Firma ini didaftarkan di Schiphol, Belanda sebagai naamloze vennootschap (syarikat awam awam Belanda) tetapi pengasas syarikat dan sebahagian besar anggota atau pekerjanya berada di Rusia. Pengguna utama produk syarikat ini majoritinya di Rusia dan Negara-negara Komanwel Bebas, dan juga mempunyai 18 pejabat komersial di seluruh dunia.

Yandex merupakan syarikat multinasional yang menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan Internet, termasuk perkhidmatan pengangkutan, carian dan maklumat, eCommerce, navigasi, aplikasi mudah alih, dan iklan dalam talian. Mereka menyediakan lebih daripada 70 perkhidmatan.

Dalam bahasa mudahnya, Yandex adalah umpama Google versi Russia!

Kredit:

  1. NY TImes
  2. Wikipedia
  3. Kinsta
  4. The Verge
  5. Search Engine Journal


Hakcipta iluminasi.com (2017)