Terletak di kawasan terpencil disebalik hutan pinus di Siberia dan terletak kira-kira 3000 km dari Moscow, terdapat sebuah bandae khas yang dibina untuk saintis dan penyelidik. Di kawasan ini, musim sejuknya berlangsung selama enam bulan dengan suhu turun hingga -40 darjah Celsius.

Kawasan beku seperti ini kelihatan lebih sesuai untuk beruang kutub daripada dibangunkan bandar untuk menempatkan pusat kajian. Namun, Nikita Khrushchev merasakan jaraknya yang jauh dari Moscow penting agar sekumpulan manusia dengan pemikiran saintifik paling tajam di negara itu dapat bekerjasama dalam penyelidikan yang jauh dari pengaruh birokrasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi yang tidak tahu, Nikita Khrushchev adalah seorang ahli politik Soviet yang bertugas sebagai Setiausaha Pertama Parti Komunis Kesatuan Soviet dari tahun 1953 hingga 1964. Khrushchev mengejutkan dunia komunis dengan mengecam kejahatan Stalin dan merupakan seorang pemikir yang memulakan program ruang angkasa Soviet.

Diberi nama Akademgorodok, bandar ini adalah "Kota Akademik",  jawapan Kesatuan Soviet terhadap Silicon Valley di Amerika Syarikat. Bandar ini adalah bahagian dari daerah Sovetsky di bandar Novosibirsk, Russia yang terletak 30 km ke selatan dari pusat bandar dan kira-kira 10 km di sebelah barat bandar Sains Koltsovo.

Sejarah penubuhan Akademgorodok

sejarah akademgorodok 944

Bandar ini ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah naungan Akademi Sains USSR. Ahli akademik Mikhail Alexeyevich Lavrentyev, seorang jurutera dan ahli matematik, Pengerusi pertama Akademi Sains Soviet Cawangan Siberia, memainkan peranan penting dalam mewujudkan Akademgorodok.

Pada zaman puncaknya, Akademgorodok adalah rumah bagi 65,000 orang saintis dan keluarga mereka dan merupakan yang kawasan istimewa untuk didiami. Dalam tempoh pemerintahan Kesatuan Soviet (1961-1991), kerana keunikan sistem ekonomi Soviet, ganjaran wang tidak selalu menjadi penanda aras bagi taraf hidup yang lebih tinggi.

Untuk mengimbangi sistem ini, pampasan khas telah diberi di Akademgorodok untuk penduduknya dan saintis terkemuka. Sebagai contoh, penduduk Akademgorodok mempunyai akses ke kedai-kedai pengagihan makanan khas (zakazov stoly) yang menyediakan akses ke beberapa makanan asas bersubsidi yang tidak mudah diperoleh di tempat lain.

Para saintis yang memperoleh gelaran doctorate (gelaran pasca PhD di bawah sistem Russia) diberi penghargaan oleh pihak berkuasa dengan perkhidmatan penghantaran makanan khas (doktorskiy zakaz) yang memberikan akses ke pilihan bahan makanan yang lebih luas daripada yang tersedia untuk penduduk lain.

Anggota Akademi Sains pula mempunyai akses ke tahap perkhidmatan yang lebih tinggi (akademicheskiy zakaz) dan layak untuk tinggal di rumah kediaman keluarga yang dianggap mewah dalam standard piawaian Soviet kerana sebahagian besar penduduk tinggal di pangsapuri di bangunan bertingkat sembilan dan empat tingkat.

Kebebasan tanpa campur tangan Moscow

silicon valley russia

Salah satu sebab utama mengapa lokasinya agak jauh daripada Moscow adalah bagi membolehkan para saintis yang bekerja di sini tidak diganggu oleh karenah birokrasi kerajaan yang ketika itu berpusat di Moscow. 

Pada zaman kemuncaknya, Akademgorodok menempatkan 65,000 saintis dan keluarga mereka. Adalah suatu keistimewaan untuk tinggal di sana dan banyak ilmuan pada tahun 60-an melarikan diri ke kawasan yang terletak di pedalaman beku ini sebagai pengasingan sukarela untuk menjauhkan diri dari gangguan pemerintahan Soviet.

Rata-rata yang datang berhijrah kesini terpikat dengan janji perumahan baru dan segala kemudahan dan fasiliti untuk melakukan kajian yang wujud di sini. Penduduk menikmati kebebasan yang besar dan terlibat dalam aktiviti yang tidak pernah dibenarkan di wilayah lain Kesatuan Soviet.

Mereka disini bebas membincangkan asas-asas teori Marxis dan mengenai reformasi ekonomi, membaca buku, mendengarkan penyair dan penyanyi yang kebiasaannya tidak dibenarkan oleh kerajaan Kesatuan Soviet. Selain itu, topik penyelidikan saintifik untuk topik-topik yang dianggap sebagai ilmu pseudosains berbahaya di Moscow seperti cybernetics dan genetik turut berkembang disini.

Malangnya, visi untuk memastikan Akademgorodok bebas daripada campur tangan birokrasi terbukti mustahil di bawah Kesatuan Soviet. Kebebasan penduduk Akademgorodok dikurangkan dengan teruk pada tahun 1970-an semasa pemerintahan Leonid Brezhnev.

Akademgorodok pasca era Kesatuan Soviet 

pusat penyelidikan russia

Kemudian apabila Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1990-an, ramai ilmuan terbaik negara komunis ini melarikan diri ke barat. Tetapi pembaharuan ekonomi yang dilakukan pada akhir zaman komunisme menyaksikan permulaan pelaburan swasta dan pembiayaan usaha (venture funding) di Akademgorodok.

Pada tahun 1992, sebuah syarikat perisian bernama Novosoft ditubuhkan di sini dan pelanggan utamanya adalah IBM. Sekitar masa ini juga syartikat CFT bermula, yang mengkhususkan diri dalam perbankan dan perisian kewangan. Menjelang tahun 1997 pelaburan swasta mencapai $10 juta, meningkat kepada $150 juta pada tahun 2006 dan mencapai sekitar $1 bilion pada tahun 2015.

Terdapat kira-kira 300 syarikat yang beroperasi di Akademgorodok hari ini menjalankan segala macam perniagaan daripada nano-seramik hingga video grafik untuk industri hiburan Amerika Syarikat. Syarikat besar seperti Intel dan Schlumberger telah  menawarkan peluang pekerjaan di Akademgorodok dan syarikat lain turut mengikuti langkah sama.

siberia

Kini populasinya berjumlah lebih dari 100,000 dan terdapat lebih dari 40 institusi penyelidikan yang terletak di Akademgorodok. Walaupun masih kecil menurut piawaian negara lain, usaha-usaha syarikat swasta ini telah memberikan nafas baru disini yang pernah menjadi salah satu pusat ilmiah utama Kesatuan Soviet.

Sehingga tahun 2015, 300 syarikat telah ditubuhkan sejak tahun 2011,  menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 9,000 orang dan menghasilkan 17bn rubel (£175 juta) setiap tahun. Kerana lokasinya ini, Akademgorodok juga kini dikenali sebagai "Silicon Forest".

Di Russia, kini Skolkovo telah muncul sebagai hab teknologi yang baru di pinggiran Moscow yang mempunyai lebih dari 1100 syarikat startup yang menghasilkan pendapatan lebih dari $1 bilion setiap tahun. Namun, Akademgorodok akan kekal dikenali sebagai "Silicon Valley" terawal Russia.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. BBC
  3. The Guardian
  4. Russia Beyond



Hakcipta iluminasi.com (2017)