Oleh pada 29 Aug 2018 kategori

Sejarah sukan sepak takraw memang akan menimbulkan perdebatan hangat dengan banyak negara 'claim' mereka adalah pencipta asal sukan ini.

Walaupun demikian, banyak pihak bersetuju yang sukan ini dicipta daripada sejenis permainan masyarakat China satu masa dulu, yang menggunakan bola yang dipasangkan bulu pelepah burung serta perlu ditimangkan di utara selama mana mungkin, dimainkan di antara dua atau lebih orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sukan itu kemudiannya diperkenalkan di kawasan Asia Tenggara sebelum diubah bolanya kepada bola yang diperbuat daripada rotan.

Sepak raga ayah kepada sepak takraw

sepak raga bulatan

Pada awalnya sukan sepak takraw hanya dikenali sebagai sukan sepak raga, di mana pemain-pemain tidak bertanding tetapi sama-sama bekerjasama memastikan bola tidak jatuh ke tanah dalam tempoh yang panjang.

Rekod paling awal sukan ini dimainkan adalah menerusi catatan yang terdapat dalam buku 'Sejarah Melayu' yang ketika itu dimainkan di Melaka dan Kepulauan Riau pada abad ke 16. Selain itu wujud juga rekod menunjukkan sepak raga dimainkan semasa zaman Kerajaan Ayutthaya di Thailand pada penghujung abad ke 16.

Salah satu mural yang dibina di Kuil Wat Phra Kaeo, Thailand iaitu kuil paling suci penganut Buddha di Thailand, dibina pada tahun 1785 memaparkan Dewa Hanuman bermain sepak raga dengan sekumpulan monyet lain.

Versi sepak takraw yang ada ketika ini pula dipercayai datang daripada dua sejarah yang berbeza dengan dua negara mengakui mereka adalah pengasas sepak takraw iaitu negara kita dan Thailand. Mari kita lihat versi kedua-duanya.

Sejarah sepak takraw mengikut Thailand dan Malaysia

sejarah takraw cerita thailand siam

Pada tahun 1929, persatuan sukan Siam telah pun menyediakan draf pertama peraturan sepak takraw sebelum memperkenalkan penggunaan jaring dan perlawanan pertama di antara dua pasukan bertanding pada tahun 1933.

Populariti sukan sepak takraw di Thailand mula meningkat sehingga sukan tersebut menjadi persembahan utama semasa meraikan pengenalan perlembagaan negara tersebut, bagi menggantikan sistem raja mutlak yang diamalkan sebelum itu.

Versi Malaysia pula rekodnya berbeza sedikit. Pada tahun 1935 semasa sambutan Jubli Perak King George V di Negeri Sembilan, sepak raga dimainkan buat kali pertama di atas gelanggang badminton dengan jaring memisahkan mereka dan menggunakan peraturan serupa dengan badminton.

Oleh kerana dimainkan semasa sambutan Jubli Perak dan berbeza dengan sepak raga biasa, sepak raga itu dikenali dengan nama sepak raga jubli.

Abdul Hamid Mydin - pengasas sepak raga jaring

hamid mydin pengasas takraw

Sejarah permulaan sukan sepak takraw versi moden dipercayai bermula pada tahun 1945 di Pulau Pinang oleh seorang lelaki bernama Abdul Hamid Mydin. Melihat bagaimana minat orang ramai terhadap sukan sepak raga semakin berkurangan, Hamid mengambil keputusan untuk menemui seorang pemain handal sepak raga bernama Mohammad Abdul Rahman untuk berbincang bagaimana hendak mempopularkan sukan ini.

Hamid dan Mohammad menggunakan sebuah gelanggang di Jalan Patani, Pulau Pinang sebagai tempat mereka cuba mengenalpasti apakah peraturan terbaik dalam memodenkan sepak raga. Pada awalnya dia cuba bermain satu lawan satu, sebelum 2 lawan 2 dan akhirnya 3 lawan 3 dengan setiap orang mempunyai posisi khas serta peranan khas di atas gelanggang.

hamid mydin muda pulau pinang takraw

hamid mydin tua pengasas takraw penang

Eksperimen mereka berjaya mengenalpasti saiz gelanggang serta beberapa keperluan lain yang dapat membantu menaikkan semula populariti sukan tersebut lalu mula diperkenalkan kepada rakan-rakan mereka sebelum tersebar di merata-rata tempat dikenali dengan nama 'sepak raga jaring.'

Pertandingan pertama sepak raga jaring menggunakan peraturan yang dibuat Hamid Mydin berlaku pada 16 Mei 1945 dalam perlawanan merebut Piala Nyak Din Nyak Sham di Pulau Pinang, melibatkan pasukan-pasukan daripada kampung sekitar Pulau Pinang.

Nama diubah kepada 'sepak takraw'

pertandingan sepak takraw

Pada tahun 1960, Persatuan Sepak Raga Malaya ditubuhkan di Pulau Pinang dengan penyertaan daripada wakil Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan tuan rumah, serta Mohd. Khir Johari bertindak sebagai Presiden pertama.

Bagi mewujudkan standard yang sama terhadap sukan ini ekoran wujud permintaan mahu menjadikan sepak raga jaring sebagai salah satu sukan dalam Sukan SEAP (nama lama Sukan SEA) wakil-wakil daripada negara yang bakal bertanding bersidang di Kuala Lumpur pada tahun yang sama. Dalam persidangan ini, kata sepakat telah berjaya dicapai dalam menentukan peraturan dan syarat permainan.

Selain itu, nama rasmi bagi sukan ini diubah menjadi sepak takraw berikutan timbulnya percanggahan di antara sejarah asal sukan ini melibatkan Thailand dan Malaysia. Nama 'sepak takraw' dipilih sebagai nama rasmi bagi menghormati pandangan kedua-dua negara dengan gabungan dua perkataan dari dua negara itu diambil.

budak kampung main takraw

'Sepak' diambil daripada perkataan Bahasa Melayu sementara 'takraw' pula berasal daripada perkataan Thailand yang membawa maksud 'bola yang dianyam.'

Pertandingan peringkat negeri merebut Piala Emas Khir Johari mula dianjurkan pada tahun 1962 dengan Pulau Pinang menjadi pemenang pertama piala tersebut sebelum sepak takraw dipertandingkan buat kali pertama pada tahun 1965 dalam Sukan SEAP.

Bermula daripada itulah Asian Sepak Takraw Federation atau ASTAF ditubuhkan bagi mempopularkan lagi sukan tersebut di seluruh Asia sebelum ISTAF atau International Sepak Takraw Federation ditubuhkan pada tahun 1992. Kini sukan sepak takraw sudah tidak asing lagi dan dimainkan bukan sahaja di Asia, malahan di serata dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)