Oleh pada 01 Apr 2020 kategori

anne abdullah

Kredit foto: Instagram Anne Abdullah FC

    

Pelakon Anne Abdullah dan Lydiawati enggan menurut desakan seorang artis kontroversi yang meminta mereka untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas dakwaan memburukkannya dalam aplikasi grup Telegram, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Anne berkata, apa yang diperkatakannya dalam grup Telegram itu hanya berniat untuk menjelaskan kepada rakan yang tidak mengenali identiti artis kontroversi berkenaan.

“Ramai nak tahu siapa artis yang diperkatakan, jadi saya jelaskan secara ringkas. Saya tidaklah mengenali dirinya.

“Bagaimanapun, artis berkenaan memetik nama saya gara-gara penjelasan dalam grup berkenaan. Bukan itu sahaja, saya menerima mesej daripada individu tidak dikenali minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada artis itu.

“Dia memberikan tempoh tertentu pada saya. Kenapa, saya perlu tunduk arahannya, sedangkan dia bertindak memburukkan penggiat seni? Disebabkan hasutannya, anak seni menerima kecaman hebat netizen,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu, artis kontroversi yang dimaksudkan telah berkongsi video dirinya mengecam segelintir selebriti tempatan yang menagih bantuan kerajaan ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Susulan itu, ramai selebriti terasa hati, lalu menzahirkan sindiran dan pandangan balas terhadap beliau.

Artis kontroversi itu kemudiannya membalas dengan memetik beberapa nama penggiat seni, malah kekasihnya dikatakan menggesa artis tertentu untuk membuat permohonan maaf.

Dalam pada itu, Anne berkata, mereka sewajarnya bersatu dan bukannya menghentam sesama sendiri.

Namun lain pula jadinya apabila golongan selebriti menjadi sasaran hanya kerana isu bantuan kerajaan.

    

telegram seniman

Kredit foto: Instagram Anne Abdullah FC

     

“Netizen mengutuk kami ‘sengkek’ dan tidak berduit. Tidak dinafikan, ada antara kami terkesan kerana bukan semua kaya raya. Kenyataan artis berkenaan menyebabkan kekeruhan hingga ada netizen memaki hamun dan mengecam artis dengan melampau.

“Kami tidak boleh berdiam diri dan perlu menghentikan tindakan artis berkenaan. Tindakan perlu diambil supaya golongan selebriti tidak terus menjadi kecaman masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Lydiawati turut sependapat dengan Anne.

“Saya tak kenal, jauh sekali pernah berjumpa dengannya. Macam mana saya boleh dituduh bergaduh dengannya?

“Siapa dia, pelakon, penyanyi atau pelakon ‘ekstra’? Saya tidak akan minta maaf,” katanya.

Lydiawati menambah, dia tidak menyentuh nama artis tersebut dalam grup Telegram seperti yang diwar-warkan.

“Saya tak sebut nama siapa pun. Kutuk, ada ke saya kutuk dia. Kenapa nak terasa?

“Saya tak tahu dia dapat info daripada mana mengenai saya mengutuk dia.

“Siapa yang menyampaikan, tanyalah orang dalam grup itu,” katanya.

     

Sumber berita: Tak kutuk pun, kenapa terasa?

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)