Tidak lama lagi, negara kita akan kembali mengapungkan semula harga minyak petrol dan diesel mengikut harga pasaran, dengan pemberian subsidi hanya akan diberikan bergantung kepada syarat-syarat tertentu.
Semasa minyak petrol dan diesel di negara kita dijual bergantung pada harga pasaran, ada beberapa perkara yang popular kerap menjadi sebutan di kalangan ahli masyarakat kita. Antaranya adalah istilah 'satu barrel minyak mentah' atau 'satu tong minyak mentah.'
BESARKAN TEKS A- A+
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah itu? Adakah ia memang merujuk kepada satu tong minyak atau sebenarnya membawa kepada makna lain? Jom kita lihat.
Apa itu 'crude oil' atau minyak mentah?
Perkara pertama yang perlu anda faham, untuk setiap satu 'barrel' atau tong minyak mentah, mengandungi 42 gelen minyak mentah atau lebih kurang 159 liter minyak, yang belum bertapis.
Daripada 159 liter minyak yang ada tadi, setiap tong akan dibahagikan untuk ditapis dan ditukar menjadi produk-produk mengikut peratusan yang telah ditetapkan. Jumlah kapasiti tong minyak mentah akan pecahkan mengikut senarai berikut;
Minyak bertapis untuk bahan api kenderaan | 51.4% |
Asas untuk minyak enjin bertapis | 15.3% |
Minyak pesawat | 12.3% |
Minyak pegun | 5.4% |
Lebihan minyak | 3.3% |
Bahan asphalt dan minyak jalan | 1.7% |
"Petroleum coke" (sejenis sisa karbon untuk industri) | 5.0% |
Gas dalam bentuk cecair | 2.8% |
Lain-lain produk bertapis | 1.5% |
Bahan pelincir | 0.9% |
Mengapa unit 'barrel' digunakan?
Semenjak beratus tahun lamanya tong-tong yang digunakan bagi menyimpan wain, memerlukan tong yang kedap air dan kedap udara.
Tong-tong yang diperbuat daripada kayu ini dibuat dengan mengambil kira ukuran menggunakan unit yang digelarkan 'tierce.' Ini bermakna untuk setiap satu tong kayu penyimpan wain ini, kapasiti di dalamnya adalah satu tierce, bersamaan dengan 42 gelen.
Berikutan populariti industri minyak yang meletup hasil penemuan minyak kerosin sekitar tahun 1846, keperluan untuk memudahkan penyimpanan, pengukuran dan pengangkutan minyak kerosin bagi memenuhi permintaan penggunaan lampu minyak diperlukan.
Pada awalnya, pengusaha tidak mempunyai standard yang sama dalam menjual minyak kerosin kerana mereka menggunakan apa saja bekas penyimpanan yang memudahkan mereka termasuklah tong-tong kayu berkapasiti 1 tierce yang selama ini digunakan untuk menyimpan wain.
Tong kayu jadi standard kapasiti minyak mentah
Walaupun begitu, penyimpanan minyak menggunakan tong 1 tierce ini menjadi sangat popular disebabkan kebolehannya ditutup rapi. Selain itu, tong itu juga mempunyai berat yang masih boleh diuruskan, sekitar 150 kg setiap satu dengan kapasiti penuh.
Tong-tong kayu itu juga mudah diangkut di atas sebuah tongkang atau baj, serta gerabak rata keretapi kerana mampu memuatkan 20 tong dalam satu unit. Jumlah 20 tong sekali perjalanan itu dikatakan berpadanan dengan kos serta jumlah keuntungan dan lebih mudah diuruskan.
Bermula pada tahun 1860 di Pennsylvania, tong bersaiz 42 gelen atau 159 liter dipilih sebagai standard kapasiti yang perlu dipatuhi dan amalan itu menjadi ikutan seluruh pengusaha lain.
12 tahun kemudian, pada tahuin 1872 Petroleum Producers Association menjadikan standard 42 gelen sebagai saiz rasmi satu tong minyak mentah dan penggunaannya mula menjadi ikutan bukan setakat di Amerika Syarikat, malahan di seluruh dunia.
Oleh sebab itulah kita ukur jumlah minyak mentah menggunakan unit '1 barrel' sehingga kini. Jadi ingat ya - satu tong minyak mentah bersamaan dengan 42 gelen atau 159 liter.