Oleh pada 12 Feb 2020 kategori

hadis palsu man arafa nafsahu faqad arafa rabbahu

Mungkin ramai di antara kita yang pernah mendengar ungkapan, "Man `Arafa Nafsahu Faqad `Arafa Rabbahu". Makna bagi ungkapan ini adalah "Barang siapa yang mengenal dirinya, sungguh ia telah mengenal Tuhannya".

Dan ungkapan ini dikatakan sebagai ungkapan oleh Nabi Muhammad S.A.W, sabda baginda:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang kenal dirinya maka dia telah mengenal Allah”.

Akan tetapi, benarkan ini adalah perkataan daripada Rasulullah S.A.W sendiri, ataupun bukan?

Untuk mengesahkan hal ini, kita perlulah merujuk kepada sumber-sumber seperti para ulama. Dan terdapat pelbagai pendapat yang diberikan oleh para ulama berkenaan dengan ungkapan ini. Antaranya termasuklah oleh Al-Qadhi Abu Muhammad Abd al-Haq bin Ghalib.

Nukilan bahawa ia perkataan seseorang dan bukan hadis

hadis nabi muhammad saw

Dalam tafsirnya al-Muharrir al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz, dalam tafsiran beliau bagi ayat 18 surah Al-Hashr, Al-Qadhi Abu Muhammad Abd al-Haq bin Ghalib Ibn 'Athiyah al-Andalusi (wafat 546 Hijrah) menjelaskan bahawa ungkapan ini bukanlah perkataan dari Rasulullah S.A.W tetapi sahabat baginda iaitu Saidina Ali bin Abi Thalib, dengan karangan yang berbeza iaitu "I' rif nafsaka ta 'rif rabbaka".

Dalam riwayat lain, ia berbunyi "Man lam ya 'rif nafsahu lam ya 'rif rabbahu".

Kenyataan yang sama juga terdapat dalam kitab tafsir karya al-Imam Abd ar-Rahman bin Muhammad bin Makhluf ats-Tsa 'alibiy al-Maliki iaitu al-Jawahir al_hisan fi Tafsir al-quran.

Sebelum dua ulama tafsir yang disebutkan di atas, tafsiran ayat 15 surah an-Naml oleh Imam Abu Abd ar-Rahman Muhammad bin al-Husain bin Musa al-Azdiy as-Sulami (wafat 412 Hijrah) menegaskan bahawa ungkapan ini datang dari Saidina Ali bin Abi Thalib.

Apa yang dijelaskan dan ditegaskan oleh tiga ulama tafsir di atas diperkuatkan lagi oleh kita Dr. Ali Muhammad Muhammad ash-Shalabiy melalui karangannya iaitu Sirah Amir al-Mu'minin 'Ali bin Abi Thalib, menjelaskan bahawa Saidina Ali bin Abi Thalib kerap kali mengajak manusia untuk berfikir tentang diri mereka, dan mengatakan "Man 'arafa nafsahu faqad 'arafa rabbahu".

Imam as-Suyuthi (wafat 911 Hijrah) dalam al-Tadrib al-Rawi mengatakan bahawa hadis ini adalah batil dan tidak sahih.

ungkapan kenal diri kenal allah hadis rasulullah saw atau bukan 351

Selain itu, Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Khathib asy-Syarbaini (wafat 977 Hijrah) juga menukilkan pendapat Imam as-Suyuthi berkenaan dengan hadis ini ketika menafsir surah al-Baqarah ayat 130 dalam Tafsir as-Siraj al-Munir fi al-I'anah 'ala Ma'rifah Ba'dh Ma'ani Kalam Rabbina al-Hakim al-Khabir.

Menurut beliau, ungkapan yang didakwa sebagai hadis Nabi Muhammad S.A.W ini tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis, malah tidak ada dalam kitab-kitab tafsir yang menuliskan hadis lengkap dengan sanadnya.

Ahmad al-Khatib pula menjelaskan ketika menafsirkan ayat 9 dalam surah al-Sajdah, bahawa hadis ini sebagai "la ashla lahu" yang bermaksud tidak berasas.

Lama sebelum Imam as-Suyuthi dan Ahmad al-Khatib menjelaskan tentang perkara ini, Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf an-Nawawi (wafat 676 Hijrah) menjelaskan bahawa hadis ini tidak tsabit dari Rasulullah S.A.W dalam Fatawa an-Nawawi.

Syaikh al-Islam Taqiy ad-Din Abu al-Abbas Ahmad bin Abd al-Halim Ibn Taimiyah al-Harani (wafat 728 Hijrah) juga bersependapat dengan menegaskan hal ini dalah kitab karangannya Majmu' al-Fatawa.

Al-Allamah Abu al-Fadhi Syihab ad-Din as-Syaid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi (wafat 1270 Hijrah) mempunyai pendapat yang berbeza dengan yang di atas.

ungakapan man arafa nafsahu faqad arafa rabbahu hadis nabi atau bukan

Ketika menafsir surah at-Tin ayat 4 dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani fi Tafsir al-Quran al-Azhim wa as-Sab al-Matsani, beliau menjelaskan bahawa ungkapan ini adalah perkataan dari seorang ulama sufi iaitu Imam Yahya bin Mu'adz ar-Raziy (wafat 258 Hijrah).

Ungkapan ini juga disangkal sebagai hadis Nabi Muhammad S.A.W oleh beberapa ulama yang lain, termasuklah Imam al-Saghani yang menyatakan bahawa ungakapan ini bukanlah daripada Rasulullah SAW dalam al-Maudhu’at, Imam al-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid menegaskan bahawa ia bukannya hadis, manakala Syeikh Mulla Ali al-Qari menilai hadis ini sebagai tiada asal baginya dalam al-Asrar al-Marfu'ah.

Tarjih

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa hadis ini adalah palsu dan tidak mempunyai asal, setelah meneliti dan menekuni pendapat para ulama dalam menilai hadis ini.

Dan disebabkan itu, orang ramai dilarang sama sekali untuk menyebarkannya kepada orang lain dan dibolehkan jika ingin memberitahu kepalsuannya.

Walaubagaimanapun, Allah S.W.T menuntut hamba-hambaNya agar sentiasa melihat diri sendiri dan berfikir berkenaan apa yang ada pada diri mereka. Allah S.W.T berfirman:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”. [al-Zariyat:21]

Makna "pada diri kamu" dalam firman ini bermaksud "wahai sekalian manusia pada diri kamu itu terdapat tanda dan pengajaran yang menunjukkan keesaan dan kebesaran Penciptamu", menurut Imam al-Thabari dalam Tafsir al-Thabari.

Ia juga membawa maksud bahawa "sesungguhnya tiada Tuhan bagimu selain daripada Allah dan tiada yang dapat menandingi ciptaan-Nya sebagaimana kamu (diciptakan)".

Sementara itu makna "tidakkah engkau melihatnya" membawa maksud "tidakkah engkau melihat padanya (penciptaanmu) lalu engkau berfikir tentangnya, maka engkau mengetahui akan hakikat kebesaran Penciptamu, iaitu Allah S.W.T ".

Terdapat banyak lagi ayat atau nas yang memberitahu kita tentang tuntutan untuk berfikir dan mengingati Allah S.W.T dalam apa jua situasi sekali pun.

Kesimpulan

Apa yang boleh dilihat daripada makna ungkapan "Man `Arafa Nafsahu Faqad `Arafa Rabbahu" adalah umat Islam dituntut untuk senantiasa berfikir dalam setiap nikmat yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita.

Kita juga dituntut untuk memuji Allah S.W.T setiap kali melihat kebesaran-Nya, yang akan membawa kita kepada mengakui bahawa Allah S.W.T tiada sekutu.

Rujukan:

1. Siapa Yang Mengenali Dirinya Maka Dia Mengenali Allah - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

2. Tinjauan Status Hadits 'Man Arafa Nafsahu Arafa Rabbahu'

3. Hadis Man `Arafa Nafsahu `Arafah Rabbah



Hakcipta iluminasi.com (2017)