Oleh pada 18 Mar 2018 kategori

Kami pasti di kalangan individu-individu bukan Islam yang tertanya-tanya tentang Islam, seperti mana ada di kalangan umat Islam ada yang mempunyai perasaan ingin tahu serta mahu memahami apa kandungan serta perbezaan Islam dengan agama-agama lain.

Pada zaman sekarang, usaha untuk memahami agama Islam agak kurang diberikan perhatian oleh sesetengah pihak berikutan pengaruh media-media yang kerap meletakkan Islam sebagai agama keganasan dan pergaduhan, yang lebih gemar mengajak penganutnya supaya 'berjihad' membunuh orang bukan Islam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Artikel ini ditulis bukan untuk mengajak anda mengenali Islam lebih lanjut. Artikel ini hanya untuk menjelaskan kepada anda apa elemen rujukan penting dalam Islam, kerana kami mendapati ada di kalangan pembaca Iluminasi yang dilihat berminat hendak mengetahui perkara ini dalam ruangan komen.

Dalam setiap perkara berkenaan Islam, semuanya mesti diteliti melalui beberapa rujukan berikut terlebih dahulu.

1. Al-Quran

non muslim membaca terjemahan quran

Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung firman-firman Allah swt. yang disampaikan melalui Malaikat Jibrail kepada Rasulullah saw. Namun, al-Quran sendiri sebenarnya dijilidkan atau dibukukan hanya selepas kewafatan (kematian) Rasulullah saw. Walaupun begitu sejak mula lagi, Rasulullah saw. telah meminta penulis-penulis wahyu supaya mencatatkan semua wahyu yang diturunkan, selepas Baginda menerimanya.

Selepas kewafatan Rasulullah saw., berlaku peperangan Yamamah yang mengorbankan ramai individu penghafal wahyu. Ini menimbulkan kerisauan pada pemimpin Islam pada waktu tersebut, jadi Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab pun mengarahkan Zaid bin Thabit pakar hafalan wahyu ketika itu, untuk mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk jilid yang digelarkan Suhuf. Suhuf kekal digunakan selama beberapa belas tahun sebelum berlaku percanggahan pendapat tentang cara membaca Suhuf yang ada, ekoran perbezaan cara bacaan mengikut kawasan.

Khalifah Uthman bin Affan memanggil semula Zaid bin Thabit untuk mewujudkan satu sistem kaedah pembacaan al-Quran universal, agar perselisihan pendapat dapat dikurangkan. Jadi mereka bersetuju untuk mengikut kaedah pembacaan dan tulisan asal orang Quraisy, yang menjadi cara asal wahyu diturunkan. Hasil daripada usaha itu lahirlah sistem tulisan dan bacaan al-Quran dengan nama Rasm Uthmani sempena nama Khalifah Uthman bin Affan, yang berjaya menyatupadukan bentuk tulisan al-Quran. Sehingga kini kaedah tersebut menjadi asas bentuk tulisan dan bacaan al-Quran yang digunapakai.

Al-Quran mengandungi firman-firman Allah swt. yang dibahagikan kepada 114 surah (chapters), 30 juzuk (volumes) dan terkandung 6236 ayat (verses). Ayat-ayat dalam al-Quran boleh dibahagikan kepada dua kumpulan bergantung kepada kawasan di mana ayat tersebut diturunkan, sama ada di Mekah atau di Madinah. Ayat yang turun di Mekah yang digelarkan kumpulan surah Makkiyah, diwahyukan sebelum peristiwa Hijrah sementara ayat yang turun di Madinah digelarkan kumpulan surah Madaniyah. Kumpulan ayat ini turun selepas peristiwa Hijrah.

2. Hadis dan sunnah

langit jingga yang misteri

Hadis dan sunnah adalah dua elemen yang datang daripada individu yang sama, iaitu Rasulullah saw. Bagaimanapun kandungannya pula mungkin berbeza-beza di antara satu sama lain, walaupun kelihatan hampir serupa. Ada pendapat yang menyamakan kedua-duanya ke dalam satu kategori yang sama, ada pendapat yang menyatakan hadis dan sunnah adalah dua perkara berbeza.

Hadis adalah segala apa yang disandarkan keluar daripada Rasulullah, daripada segi perkataan, perbuatan, sifat, tindak balas, reaksi dan juga kelakuan. Sunnah pula adalah segala perbuatan fizikal yang dilakukan oleh Rasulullah saw. yang mengajak orang ramai lebih mendekati Islam.

Hadis dan sunnah mempunyai definisi yang luas, tetapi kedua-duanya mempunyai satu persamaan besar - sumbernya adalah percakapan dan kaedah kehidupan Rasulullah saw. Hadis dan sunnah menjadi rujukan kedua selepas al-Quran kerana ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran mempunyai maksud yang universal dan memerlukan penjelasan lebih terperinci.

Sebagai contoh, di dalam al-Quran wujud arahan mewajibkan solat tetapi bagaimana hendak melakukan solat itu tidak dinyatakan di dalam kitab tersebut. Jadi orang Islam pada zaman Rasulullah saw. merujuk kepada Rasulullah bagaimana hendak mengerjakan solat. Di dalam al-Quran juga tidak wujud arahan berapa kali seorang Muslim perlu solat, jadi Rasulullah saw. akan memberikan panduan kepada umat Islam.

Membaca al-Quran secara literal sahaja tanpa merujuk kepada hadis dan sunnah pasti akan membawa kepada banyak masalah. Atas sebab itulah banyak pihak menyalah anggap Islam sebagai agama yang bermasalah kerana mereka membaca al-Quran tanpa memahami kepentingan hadis dan sunnah. Banyak pihak Muslim sendiri melakukan kesilapan sama dalam memahami al-Quran membabi buta sehingga merasakan Allah swt. mengarahkan mereka melakukan keganasan di muka bumi 'demi agama Allah' sedangkan jika dirujuk hadis dan sunnah, amat jelas tindakan mereka itu tidak selari dengan ajaran Rasulullah.

Satu kelemahan hadis dan sunnah ini adalah faktor kesahihannya tidak dapat dijamin kebenarannya. Hadis dan sunnah boleh dikategorikan dalam beberapa kumpulan, yang digelarkan hadis sahih iaitu hadis yang benar, hadis dhaif iaitu hadis yang lemah serta dibimbangi kebenarannya dan hadis palsu yang sudah diketahui status kepalsuannya. Oleh kerana itu, status hadis dan sunnah perlu diteliti serta diperiksa terlebih dahulu kebenarannya sebelum diambil dan disebarkan.

Bagi umat Islam khasnya di Malaysia, tidak ada sebarang kesalahan sekiranya mereka ada kesangsian sesuatu hadis atau sunnah yang datang pada mereka, kerana umat Islam digalakkan untuk senantiasa memeriksa terlebih dahulu status hadis tersebut, melalui pakar hadis, Jabatan Agama dan juga mufti-mufti yang dilantik dalam membantu masyarakat.

3. Ijma

berjabat tangan selepas solat

Ijma atau Ijmak adalah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud satu azam atau tekad yang dipegang. Definisi sebenar ijmak pula bererti satu persetujuan atau kesepakatan yang dicapai oleh golongan-golongan bijak pandai ilmu al-Quran, hadis dan sunnah dalam mewartakan atau menetapkan hukum dalam agama Islam.

Ijmak adalah tahap ketiga dalam menentukan perihal arahan dan larangan dalam agama Islam, dimestikan selari dengan apa yang terkandung dalam al-Quran serta hadis dan sunnah yang sudah diiktiraf benar.

Sesuatu ijmak itu hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersetuju tentang perkara tersebut, dengan ijmak tidak akan termaktub sekiranya ada satu pihak berbeza pandangannya. Sistem ijmak perlu ada kerana memang tidak dapat dinafikan akan tetap wujud perbezaan pandangan sesama manusia, walaupun di kalangan pakar ilmu agama Islam sendiri.

Ada banyak perkara yang diputuskan melalui persetujuan ijmak berdasarkan al-Quran dan hadis, selepas kewafatan Rasulullah saw. Antaranya adalah perkara yang melibatkan harta pusaka, kewajipan zakat fitrah, status urusan jual beli dan pelbagai lagi perkara yang kerap dilakukan umat Islam setiap hari.

Secara ringkasnya, ijmak adalah kesepakatan yang menjaga status sesebuah masyarakat Muslim dari segi aspek pendidikan, pemerintahan, politik dan kemasyarakatan, yang berhubung dengan perkara duniawi yang tidak ada hukum jelas dinyatakan dalam al-Quran, hadis dan sunnah.

4. Qiyas

arak judi rokok bagi orang beragama

Qiyas adalah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya dimiliki oleh semua umat Islam. Ini kerana kemahiran qiyas sangat membantu dalam situasi melibatkan masyarakat dan juga dalam bentuk individu perseorangan.

Dari segi bahasa, qiyas membawa maksud mengukur, membanding dan menyamakan antara dua hal yang berkait, sama ada perkara itu berbentuk fizikal ataupun dalam bentuk abstrak. Dalam bahasa ringkasnya, qiyas adalah proses mengambil pengajaran daripada satu perkara lain yang jelas hukumnya dalam al-Quran, sunnah dan hadis - kepada satu perkara lain yang lebih kecil isunya.

Dalam bahasa Inggeris, qiyas boleh diterjemahkan sebagai 'analogical reasoning. Sebagai contoh, isu pengharaman rokok untuk dihisap oleh umat Islam sebenarnya dibuat berdasarkan kepada proses qiyas. Pada asasnya, tidak ada larangan dalam al-Quran, hadis dan sunnah berkenaan larangan merokok.

Bagaimanapun, umat Islam dilarang menyakitkan diri sendiri dengan meneguk racun yang mampu mendatangkan mudarat pada badannya, dengan larangan ini disebut jelas dalam al-Quran. Dengan menggunakan proses qiyas, rokok diisytiharkan mengandungi kandungan racun yang merosakkan tubuh dan membawa kepada kematian tanpa mengambil kira sama ada kematian secara cepat atau lambat.

Oleh kerana meminum racun hukumnya haram, rokok dianggap sebagai cabang kepada racun. Jadi qiyas digunakan bagi pengharaman rokok adalah kerana penghisap rokok sebenarnya sama seperti memasukkan racun ke dalam badan.

Begitulah serba sedikit penerangan tentang empat bahagian paling penting yang menjadi panduan hidup seorang umat Islam. Bunyinya nampak kompleks tetapi empat perkara ini jika dituruti, mampu menyelamatkan kita semua daripada kerosakan dan kecelakaan. Kami harap penerangan ini dapat menjawab serba sedikit persoalan anda tentang dari mana datangnya rujukan-rujukan yang kerap disebutkan, apabila berbicara tentang ilmu agama Islam.

Ini hanyalah sedikit sahaja perkongsian yang langsung tidak boleh dikatakan memadai untuk lebih memahami keempat-empat rujukan penting ini, namun sebagai satu bentuk pengenalan, rasanya sudah cukup untuk mula membuatkan anda jadi lebih memahami bagaimana banyak salah faham terhadap agama Islam boleh berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)