Oleh pada 17 Sep 2017 kategori

Penulisan ini dicoret oleh saudara Sheik Amir Hussein di laman facebook miliknya dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran untuk ulang siar penulisannya di laman blog ini. Semoga bermanfaat kepada semua.


Hangat isu diperkatakan dan diperbincangkan mengena kes maahad Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar baru-baru ini. Seperti biasa, akan ada pihak yang menyalahkan pihak yang bertanggungjawab, dan ada pula yang menyokong.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tak lupa juga mereka termasuklah golongan menteri memberi komen seolah-olah tidak masuk akal mengenai kejadian ini. Lebih menyedihkan apabila ada yang mencadangkan maahad tahfiz tak berdaftar ditutup, hanya kerana tiada gambaran dan maklumat mengenai keadaan sebenar institusi pendidikan agama ini.

Sheik Amir Hussein berkesempatan meluahkan apa yang berada di hatinya, mengenai isu tahfiz ini. Ikuti kisah beliau.


Assalamualaikum.

Rentetan tragedi Maahad Tahfiz baru ini izinkan saya utk meluahkan rasa sebagai seorang ayah yang menghantar anaknya ke Mahaad Tahfiz.

Ini adalah berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh ramai pihak mengenai kejadian tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Zahid Hamidi mengatakan jangan gadaikan keselamatan utk akhirat.

pengetua dan tpm

Kredit : Bernama

Ada selebriti yang begitu lantang marah dengan mudir dan pengurusan tahfiz, ada figura ternama yang minta semua tahfiz tak berdaftar ditutup serta merta. Ramai pula yang mempertikaikan ibu bapa tak mementingkan aspek keselamatan.

Sebenarnya saya juga tak tahu banyak mengenai tahfiz sebelum saya menghantar anak saya ke tahfiz 3 tahun yang lalu. Naufal seawal usia 9 tahun telah menyatakan minat utk masuk tahfiz. Tanpa melengahkan masa kami mengambil ķeputusan utk menghentikan sekolah akademiknya, walaupun dia cemerlang dlm akademik, dan mencari tahfiz yang sesuai.

Bukan mudah mencari maahad tahfiz

Baru kami sedar bukan senang untuk mencari tahfiz. Masalahnya adalah:

  1. Kalau yang berdaftar biasanya akan hanya menerima pelajar 13 tahun ke atas sahaja.
  2. Kalau yang cantik dan lengkap dan di kelolakan oleh ustaz selebriti biasanya mahal dan di luar kemampuan kami dan agak jauh dari rumah.

Akhirnya kami ketemu sebuah tahfiz yang baru di buka di pinggir ttdijaya. Rumah corner lot yang serba kurang. Tapi saya berbincang denga isteri mengambil keputusan utk hantar juga. Bukan tidak terdetik apa yang akan berlaku jika ada kebakaran kerana tak ada pintu kecemasan.

Tetapi seperti ibubapa lain yang menghantar anak le tahfiz, kami bukan menyerahkan anak kepada tahfiz tetapi mewakafkan anak ini utk Islam dan yakin Allah mempunyai perancangan yang baik untuknya.

anak anak syurga 614

Tapi tahukah berapa kali kami pernah menangis bila menghantarnya pulang lepas bercuti, dapatkah aku lihat wajah ini lagi ya Allah.

Tahun lepas kami mengambil keputusan utk menukarkan tahfiz lain dan tidak berasrama. Ulang alik dari pkl 7.30 pagi ke 9 malam. Hari pertama menghantar Naufal ke tahfiz, kebakaran berlaku di tahfiz memusnahkan sebuah bilik. Alhamdulillah semua pelajar berada di surau utk solat maghrib.

Tapi kami tidak berputus asa dan meneruskan juga kerana menghantar anak ke tahfiz ujiannya bukan sedikit.

Kami bukan lah bercita-cita utk menjadikan dia imam Masjidil Haram atau pun imam Masjid Shah Alam sekali pun. Seperti ingatan saya pada Naufal selalu, Naufal boleh jadi apa pun yang naufal hendak apabila besar. Dari seorang doktor kepada peniaga minyak attar di sudut masjid, tetapi akhlak naufal kena akhlak Al-Quran.

Peruntukan tahfiz yang sangat terhad

Mungkin ramai yang tidak tahu kebanyakan tahfiz mengenakan bayaran antara RM200 ke RM400 sebulan. ini termasuklah sewa, gaji guru, gaji warden, makan 4 kali sehari, tempat tinggal dan sebagainya. Cuba congak sendiri jika ia cukup untuk menampung semua ini.

Biasanya pusat tahfiz akan cari sendiri dana bagi menampung lebihan perbelanjaan mereka. Nak mengharapkan pusat zakat dan baitulmal, macam-macam syarat dan kelulusan.

Nak mengharapkan koporat ada yang mengenakan syarat hanya yang ada aliran agama dan akademik yang dapat bantuan. Belum lagi yang meminta kertas kerja dan kelulusan dan lain lain.

Fungsi anak-anak tahfiz sebagai penyejuk majlis sahaja

Tahfiz dipandang sepi, anak-anak tahfiz pula seringkali dikata sejuk mata memandang. Jemputan ke majlis kenduri tahlil, cukur jambul, rumah baru dan sebagainya. Dapat RM5 atau RM10 seorang. Itu lah fungsi tahfiz dalam masyarakat kita.

Tapi tahukah anda banyak mana zaman kanak-kaak dan remaja yang telah mereka korbankan untuk terus menjadi pewaris naskah mukjizat ini?

darul itti 343

Dengan izin Allah, mereka inilah yang akan memimpin kita sebenarnya.

Kami yang inginkan anak-anak menjadi tahfiz faham benar tentang keperluan keselamatan tetapi adakah kami mempunyai pilihan?

Kami bukan menghantar anak ke Yamaha Music, Kumon atau Montesorri berjenama utk kami minta itu dan ini dari pihak tahfiz. Kami faham benar dengan kekangan kewangan tahfiz dan sekali lagi kami berserah pada Allah.

Mudah untuk menyalahkan ibu bapa dan pihak tahfiz

Apabila sesuatu berlaku pada tahfiz kena begitu mudah menyalahkan ibu bapa dan ustaz tahfiz, bukannya ustaz-ustaz tu yang buat pemasaran supaya kami daftar, kami yang mencari dan redha menghantar. Kami yang memilih jalan itu dan bagi kami ustaz tahfiz banyak berkorban utk mendidik jiwa-jiwa kecil ini. Kami terhutang budi.

Sehingga kini menghantar Naufal setiap pagi, saya akan menciumnya dan memandang dalam matanya. Hati saya siapa yang tahu.

Kalau kerajaan ikhlas menolong kenapa tidak adakan aliran tahfiz di sekolah-sekolah terpilih, tahfiz tanpa akademik! Berani tak?

keluaga mangsa

Kredit : malaysiakini

Mengapa tidak mudahkan proses perlesenan. kenapa campur adukan politik dengan sekolah tahfiz? Jangan bimbang golongan serban putih ini tidak mengugat.

Mengapa tidak ada menteri yang bangun mengatakan tahfiz akan di bantu, dibinakan bangunan dan di selaraskan di bawah kem pendidikan?

Mengapa tidak ada suara-suara utk memartabatkan institusi tahfiz, berdiri gah seperti Sekolah Chung Hwa, Pin Hwa, Hin Hwa, Kwang Hwa dan sebagainya?

Sampai bila kita hendak melihat tahfiz menumpang di surau, rumah-rumah kedai, rumah-rumah corner yang diubahsuai dan rumah-rumah banglo usang yang tak tahu bilakah pendawaiannya pernah diselenggara kali terakhir?

Ustaz-ustaznya memandu van buruk membawa anak-anak ini ke kenduri sana sini, sampai bila?

Jangan meluahkan apa yang tidak difahami

Berapa banyak nyawa lagi? Saya pohon sekali lagi.

Jangan komen jika tidak tahu apa yang dialami oleh institusi pendidikan tahfiz.

Jangan salahkan mudir atau pengurusan tahfiz. mereka telah banyak berkorban....

Jangan kata ibubapa tidak peduli. kami punya kekangan kewangan juga untuk memilih tahfiz yang bertilam empuk dan selesa.

Bantu la anak-anak tahfiz. Kita tidak tahu siapa di antara mereka yang akan solat dan talkinkan kita nanti.

Maafkan saya jika terkasar bahasa dan doakan Naufal.

Wallahualam & Selamat Hari Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)