bahaya virus selsema dari china coronavirus

Pada 31 Disember 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dimaklumkan berkenaan dengan beberapa kes radang paru-paru di Bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China.

Virus ini tidak sepadan dengan mana-mana virus dan tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Ini sekaligus membangkitkan kebimbangan kerana apabila sesuatu virus itu adalah virus baru, kita tidak tahu bagaimana ia memberi kesan kepada manusia.

Seminggu kemudian iaitu pada 7 Januari, pihak berkuasa China mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti virus baru.

Apa yang diketahui tentang virus ini?

apa itu coronavirus

Virus baru ini adalah sejenis koronavirus, merupakan anggota keluarga virus yang merangkumi selesema biasa dan virus seperti SARS serta MERS.

Virus ini diberi nama "2019-nCoV" atau novel koronavirus. Seperti koronavirus yang lain, ia berasal dari haiwan.

Kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti virus ini sama ada bekerja atau sering berbelanja di pasar borong makanan laut Huanan di pusat bandar China, yang juga menjual haiwan hidup dan yang baru disembelih.

Virus yang baru dan berbahaya biasanya berasal dari haiwan yang mempunyai parasit, yang menyebarkan virus seperti Ebola dan selesema.

WHO telah bekerjasama dengan pihak berkuasa China dan pakar global untuk mengetahui lebih lanjut tentang virus ini, bagaimana ia memberi kesan kepada penghidapnya, bagaimana mereka boleh dirawat dan negara-negara mana yang boleh membantu.

Apa lagi koronavirus lain yang ada?

kebimbangan dunia terhadap coronavirus yang berasal dari china 878

Sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS) adalah disebabkan oleh koronavirus yang berasal dari haiwan.

Walaupun Mers dipercayai dihantar kepada manusia dari dromedari (sejenis unta Arab), hos asal untuk kedua-dua koronavirus ini kemungkinan besar adalah kelawar.

Dikatakan bahawa koronavirus baru ini mungkin berasal dari kelawar atau ular, dan mungkin kemudiannya ditularkan kepada manusia melalui spesies perantara.

coronavirus mers yang dipindahkan dari unta arab

(Sindrom pernafasan Timur Tengah - MERS)

Pada tahun 2002, SARS merebak dengan hampir tidak terkawal di 37 buah negara, mencetuskan panik global dengan menjangkiti lebih daripada 8,000 orang dan membunuh lebih daripada 750 mangsa.

Berbanding dengan SARS, MERS kelihatan seperti agak sukar untuk dipindahkan manusia ke manusia, tetapi mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi, iaitu membunuh 35% daripada kira-kira 2,500 orang telah dijangkiti.

Apakah gejala yang disebabkan oleh koronavirus Wuhan?

kematian akibat coronavirus wuhan

Virus ini menyebabkan radang paru-paru. Mereka yang jatuh sakit akibat virus ini dilaporkan mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas.

Dalam kes yang teruk, ia boleh menybabkan berlakunya kegagalan organ. Oleh kerana ini adalah radang paru-paru viral, maka penggunaan antibiotik adalah sia-sia.

Malah, ubat-ubatan antiviral yang kita ada ketika ini untuk menentang selesema juga tidak mampu berfungsi.

Jika pesakit dimasukkan ke hospital, mereka mungkin mendapat sokongan untuk paru-paru dan organ-organ lain serta cecair dalam badan.

Pemulihan bergantung pada kekuatan sistem imun masing-masing dan ramai orang yang telah meninggal dunia akibat virus ini sememangnya sudah berada dalam keadaan kesihatan yang tidak baik.

Adakah virus ini boleh dipindahkan di antara manusia?

cara lindungi diri dari coronavirus

Pemindahan virus ini dari manusia ke manusia telah disahkan oleh suruhanjaya kesihatan negara China.

Sehingga 24 Januari 2020, pihak berkuasa China telah mengenal pasti lebih daripada 1,000 kes dan 41 kematian.

Dalam seminggu yang lalu, jumlah jangkitan yang disahkan telah melebihi 3 kali ganda dan kes-kes telah dijumpai di 13 wilayah, serta majlis perbandaran Beijing, Shanghai, Chongqing dan Tianjin.

Virus ini juga telah disahkan bergerak ke luar China, iaitu ke negara-negara seperti Hong Kong, Macau, Jepun, Nepal, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, AS, Vietnam dan Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu bahawa tiga kes melibatkan virus ini telah dikesan di Malaysia.

kes coronavirus di seluruh dunia

(Kes koronavirus di seluruh dunia setakat ini, tidak termasuk di Malaysia)

Ketiga-tiga warga China ini adalah di kalangan 8 orang yang dikuarantin di sebuah hotel di Johor Baru sejak beberapa hari lepas.

Mereka adalah ahli keluarga kepada sorang pesakit koronavirus berusia 66 tahun dari Wuhan yang ketika ini dirawat di Singapura, termasuk isterinya berusia 65 tahun serta cucu mereka berusia 2 dan 11 tahun.

Jumlah sebenar yang telah dijangkiti virus mungkin jauh lebih tinggi kerana orang yang mengalami gejala ringan mungkin tidak dapat dikesan.

Pemodelan oleh pakar WHO di Imperial College London menunjukkan terdapat 4,000 kes, dengan ketidakpastian meletakkan margin antara 1,000 dan 9,700 kes.

Apakah kebimbangan para pakar kesihatan?

tiada vaksin untuk novel coronavirus dari wuhan

Terdapat kebimbangan bahawa koronavirus mungkin tersebar lebih meluas pada cuti Tahun Baru Lunar yang bermula pada 24 Januari, di mana berjuta-juta warga China pulang ke rumah untuk merayakannya.

Akan tetapi, perayaan ini teah dibatalkan secara besar-besaran dan Wuhan serta bandar-bandar China yang lain berada dalam situasi lockdown.

Ketika ini, mereka yang berada dalam keadaan kesihatan yang tidak baik berhadapan dengan risiko paling besar, sama seperti yang berlaku dalam kes selesema.

Kebimbangan utama dalam kes ini adalah tahap keterukan gejala, di mana sesetengah orang kelihatan hanya menderita sakit ringan manakala yang lain berada dalam keadaan yang sangat teruk.

rakyat china dilarang masuk ke negara luar kerana coronvirus

Ini menjadikannya lebih sukar untuk menentukan jumlah sebenar mereka yang dijangkiti dan sejauh mana tahap pemindahan di antara manusia.

Tetapi pihak berkuasa berusaha kuat untuk menghentikan penyebaran itu dan akan menjadi cemas jika virus ini boleh menjadi lebih kuat daripada sekarang.

Mengapa virus ini lebih berbahaya daripada selesema biasa?

kematian akibat coronavirus china semakin meningkat

Sehingga kini, kita masih tidak tahu betapa bahayanya koronavirus ini, dan kita tidak akan tahu sehingga lebih banyak maklumat diperoleh.

26 kematian daripada 800 kes yang dilaporkan bermakna kedar kematian berada pada tahap 3%. 

Walau bagaimanapun, kadar ini mungkin terlalu tinggi daripada yang sebenar kerana mungkin ada jumlah yang jauh lebih besar yang telah dijangkiti virus ini, tetapi tidak mengalami gejala yang cukup teruk untuk ke hospital sekaligus mereka ini tidak dikira dalam data.

novel coronavirus dikatakan disebabkan oleh kelawar atau ular

Sebagai perbandingan, selesema bermusim biasanya mempunyai kadar kematian di bawah 1% dan dikatakan menyebabkan hampir 400,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Satu lagi perkara penting yang tidak diketahui, yang mana akan diketahui dengan lebih mendalam dalam beberapa minggu yang akan datang, adalah betapa berjangkitnya virus ini.

Perbezaan penting ialah tidak seperti selesema, koronavirus baru ini tidak mempunyai vaksin bermakna ia adalah lebih berbahaya kepada populasi yang lemah termasuklah orang tua atau mereka yang mempunyai masalah pernafasan dan imun.

Menurut sumber lain, seorang doktor di China yang merawat virus ini di Hospital Hubei Xinhua dilaporkan telah meninggal dunia.

Selain itu, tular beberapa video yang didakwa dirakam di China berikutan penularan virus ini membuatkan orang ramai lebih bimbang.

Dalam salah satu video tersebut, seorang lelaki tiba-tiba jatuh dan tidak disedarkan diri.

Dalam kes yang lebih teruk, paramedik berpakaian hazmat dilihat tergesa-gesa membantu mereka yang pengsan.

Cara melindungi diri anda

pencegahan coronavirus

Sekiranya anda mengembara ke China baru-baru ini atau bersentuhan dengan seseorang yang dijangkiti virus ini, maka anda harus merawat batuk atau gejala selesema seperti biasa.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom menasihatkan bahawa biasanya anda tidak perlu bertemu doktor untuk kes batuk, melainkan jika ia berterusan atau anda mengalami gejala lain seperti sakit dada, kesukaran bernafas atau anda berasa sangat tidak sihat.

Seperti yang dinyatakan, masih tiada vaksin untuk melindungi anda daripada jangkitan koronavirus manusia.

Para saintis percaya koronavirus ini bermula pada haiwan lain dan kemudian tersebar kepada manusia. Jadi pegawai kesihatan mengesyorkan untuk anda supaya memasak daging dan telur dengan teliti.

Sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada harus mengelakkan pasar yang mempunyai haiwan hidup dan daging mentah, kerana kumpulan ini dianggap berisiko tinggi untuk penyakit yang teruk, menurut WHO.

Tetapi, pada umumnya, orang awam harus melakukan apa yang sepatutnya dilakukan setiap musim selesema, seperti

  1. Basuh tangan anda dengan sabun dan air selama sekurang-kurangnya 20 saat
  2. Elakkan menyentuh mata, hidung, atau mulut anda dengan tangan yang tidak dicuci
  3. Elakkan menyentuh atau berhampiran dengan orang yang sakit
  4. Jika anda berasa tidak sihat, tutup mulut atau hidung apabila batuk atau bersin
  5. Bersihkan objek dan permukaan yang anda sentuh
  6. Pakai topeng muka yang bersesuaian ketika berada di luar rumah

Rujukan:

1. Novel Coronavirus (2019-nCoV) - WHO

2. Apa Itu Coronavirus Dan Perlukah Kita Bimbang? - Guardian

3. Bagaimana Untuk Lindungi Diri Daripada Coronavirus  - CNN

4. Pencegahan Dan Rawatan Coronavirus - CDC

5. Oregon Live

6. NST



Hakcipta iluminasi.com (2017)