Kemunculan virus baharu yang dikenali sebagai koronavirus Wuhan secara tiba-tiba telah menggegarkan dunia ketika ini, dengan ramai orang di seluruh dunia dijangkiti dengan penyakit yang tidak diingini.

Malah, sesetengah kes telah menyebabkan kematian. Statistik setakat ini menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,800 kes di seluruh dunia dengan 80 kematian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negara di Asia dan Asia Tenggara adalah yang paling terkesan termasuklah Malaysia dengan 4 kes. Negara-negara lain di seluruh dunia yang terkesan termasuklah:

  1. Thailand - 8 kes
  2. Hong Kong - 6 kes
  3. Amerika Syarikat - 5 kes
  4. Macau - 5 kes
  5. Australia - 4 kes
  6. Jepun - 4 kes
  7. Singapura - 4 kes
  8. Korea Selatan - 3 kes
  9. Perancis - 3 kes
  10. Taiwan - 3 kes
  11. Vietnam - 2 kes
  12. Nepal - 1 kes

(Dikemaskini 12.14 pagi, 27 Januari 2020)

Bagi yang tak tahu, China baru sahaja reda terhadap kebimbangan mengenai wabak Influenza A.

Dan apa yang lebih membimbangkan mengenai koronavirus Wuhan ini adalah ia tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dengan influenza dan selesema biasa.

virus koronavirus wuhan tersebar ke seluruh dunia

Ini kerana semuanya dikaitkan dengan sistem pernafasan. Jadi, bagaimanakah kita dapat membezakan antara 3 penyakit ini?

Seperti yang dinyatakan dalam China Press, rupa-rupanya terdapat beberapa perbezaan yang kita boleh lihat di antara selesema biasa, influenza dan virus Wuhan.

Dalam kes ini, saluran media China itu menjelaskan bahawa tempoh inkubasi untuk radang paru-paru (pneumonia) baharu itu mungkin mengambil masa seminggu secara purata.

Walau bagaimanapun, gejala boleh muncul pada bila-bila masa dalam tempoh 2 hingga 3 hari atau sehingga 12 hari dalam beberapa kes.

Bagi mereka yang ingin tahu, iluminasi.com kongsikan gejala-gejala yang membezakan ketiga-tiga penyakit ini. 

1. Selesema biasa

perbezaan selesema biasa dan koronavirus wuhan

Biasanya, selesema biasa berlaku apabila anda menghidap jangkitan virus hidung dan tekak (saluran pernafasan atas) yang biasanya tidak berbahaya.

Apa yang anda akan biasa akan alami adalah hidung berair, sakit tekak, batuk, sakit-sakit badan atau kepala, bersin dan demam. 

Lendir hidung atau hingus anda biasanya akan menjadi lebih pekat dengan warna kekuningan atau kehijauan selepas 2 atau 3 hari.

Namun jangan bimbang, kerana selesema biasa adalah tidak berbahaya. Jadi, anda akan pulih dalam masa 5 hingga 7 hari.

2. Influenza (Flu)

perbezaan selesema biasa influenza dan koronavirus wuhan

Influenza menyerang anda dengan tiba-tiba dan berbeza daripada selesema biasa. Ia dianggap lebih serius kerana bukan sahaja hidung dan tekak anda sahaja dijangkiti virus, tetapi paru-paru juga.

Ia lebih berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Beberapa tanda yang teruk yang menunjukkan anda dijangkiti influenza termasuklah demam panas dengan suhu sehingga 40°C, menggigil, batuk, keletihan, sakit tekak, mual, muntah dan cirit-birit, kesukaran bernafas, sakit kepala, mata kering dan juga ruam.

Jika tidak dirawat dengan pantas, influenza mungkin boleh menyebabkan berlakunya radang paru-paru dan dalam kes yang teruk, ia boleh membunuh.

Untuk lebih selamat, pastikan anda mendapat vaksin.

3. Koronavirus Wuhan

perbezaan antara selesema biasa influenza dan koronavirus wuhan

Juga disebut sebagai novel koronavirus atau 2019-nCoV, dipercayai bahawa Pasar Makanan Laut Huanan, pasaran basah yang menjual daging-daging haiwan eksotik yang terletak di Wuhan, China adalah titik permulaan untuk wabak virus ini.

Dan sejak itu, virus yang membimbangkan ramai orang ini telah merebak di seluruh negara jiran dan ke seluruh dunia.

Seperti yang dinyatakan di atas, gejala-gejala ini agak serupa dengan selesema biasa dan influenza.

Gejala jangkitan virus Wuhan termasuk gejala pernafasan biasa seperti demam dan batuk kering. Walau bagaimanapun, kadang-kala ia mungkin tidak disertai dengan demam.

pasar makanan laut huanan yang dikatakan lokasi terbentuknya koronavirus wuhan

(Pasar Makanan Laut Huanan)

Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan ini boleh menjadi lebih buruk dengan berlakunya radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan juga kematian.

Walau bagaimanapun, perbezaan dengan dua penyakit di atas adalah jika anda menghadapi masalah dengan sistem pernafasan anda, seperti sukar untuk bernafas.

Cara mencegah koronavirus Wuhan

cara mencegah penyebaran koronavirus wuhan

Dalam kekecohan yang berlaku, kita semua memainkan peranan yang sangat penting untuk tidak menyebarkan virus ini dengan lebih teruk. Dengan itu, apa yang kita boleh lakukan adalah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga seperti di bawah:

  1. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat.
  2. Gunakan sanitiser tangan berasaskan alkohol yang boleh didapati di farmasi berhampiran.
  3. Sentiasa tutup mulut dan hidung apabila anda bersin atau batuk.
  4. Jika anda menggunakan tisu untuk menutup mulut, pastikan ia dibuang ke dalam tong sampah serta-merta.
  5. Jauhkan diri sekurang-kurangnya 2 meter daripada mereka yang selesema.
  6. Pastikan makanan anda dimasak dengan betul.
  7. Elakkan melakukan aktiviti luar dan lebihkan berada di dalam rumah.
  8. Pakai topeng muka untuk mencegah penyebaran bakteria.

Rujukan:

1. Hype

2. Cara Bezakan Virus Wuhan, Selesema Biasa dan Influenza - World of Buzz

3. Cara Mencegah Koronavirus Wuhan - CDC

4. NPR




Hakcipta iluminasi.com (2017)