Bagi individu yang bercita-cita tinggi dalam politik, memegang kuasa sudah pastilah menjadi fokus utama. Kuasa yang dipegang dapat memberikan kita hak untuk membuat keputusan dalam menentukan dasar yang akan mencorak masa depan negara kita.

Walaupun begitu, selain daripada diberikan mandat kuasa, faedah-faedah lain atau 'perks' yang diterima boleh dikatakan agak mewah juga ganjarannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda apa sebenarnya insentif yang dimiliki oleh setiap seorang ahli parlimen atau wakil rakyat di negara kita? Dalam artikel ini, kami akan merungkai persoalan ini berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Takrifan yang perlu difahami dengan jelas - terdapat dua jenis jawatan rasmi dalam Parlimen Malaysia, yang dikategorikan kepada dua kumpulan : ahli Dewan Negara dan juga ahli Dewan Rakyat. Kedua-duanya pula berfungsi dalam dua kumpulan yang berbeza.

Ahli Dewan Negara

ydp dewan negara

Dewan Negara terdiri daripada individu-individu yang dilantik untuk bertindak sebagai satu kumpulan senat, terdiri daripada 70 orang senator. 26 daripadanya dipilih daripada pemilihan pengundian peringkat negeri sementara 44 lagi dipilih dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, atas nasihat Perdana Menteri.

Dikenali sebagai Dewan Atas dalam sistem Parlimen kita, Dewan Negara diwujudkan untuk mengkaji semula rang undang-undang yang diluluskan pada peringkat Dewan Rakyat sebelum dibawa kepada YDP Agong untuk diperkenankan. Hanya selepas kedua-dua Dewan bersetuju untuk melakukan perubahan dasar atau pengenalan akta yang baharu, barulah usul itu akan dibawa kepada YDP Agong.

Semua ahli Dewan Negara tidak bergantung kepada proses pilihanraya dan akan terus memegang jawatan mereka dalam tempoh lantikan 3 tahun. Mereka diberikan kuasa untuk menolak atau membatalkan mana-mana pindaan yang disokong secara 2/3 dalam Dewan Rakyat.

Ahli Dewan Rakyat

dewan rakyat lama malaysia

Dikenali dengan nama Dewan Rendah, Dewan Rakyat popular di negara kita berikutan minat masyarakat terhadap politik negara. Semua ahlinya adalah mereka yang telah dilantik menerusi pilihanraya oleh proses undian dan digelarkan sebagai Ahli Parlimen . Tempoh bertugas mereka akan berakhir sehinggalah Dewan Rakyat dibubarkan.

Di dalam Dewan Rakyat, semua ahli Parlimen diberikan imuniti dan keistimewaan untuk berhujah tentang sesuatu topik tanpa rasa bimbang sebarang risiko dakwaan, sekiranya pada waktu tersebut mereka dibenarkan bersuara oleh Yang DI-Pertua Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, imuniti ini hanya terpakai semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung dan tidaklah boleh dibawa sehingga ke luar dewan.

Namun, kebebasan bersuara ini ada hadnya juga. Mana-mana ahli Parlimen yang mengucapkan sesuatu yang melanggar Akta Hasutan 1948 boleh didakwa dan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang menyentuh berkenaan isu penghapusan kedudukan YDP Agong, Sultan atau Raja - secara automatik dilucutkan jawatannya.

Saraan bagi ahli-ahli Parlimen dan anggota Kabinet

barisan pakatan harapan mahathir

Untuk setiap ahli Dewan Negara, elaun bulannnya adalah sebanyak RM11,000 sebulan. Bagi ahli Dewan Rakyat, elaun bulanan yang diterima adalah sebanyak Rm16,000 sebulan. Bagi pengerusi mesyuarat di Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang digelarkan Yang Di-Pertua Dewan Negara dan Rakyat, mereka mendapat elaun bulanan RM31,000 sebulan dalam berhadapan kerenah kedua-dua dewan yang pasti hangat.

Dalam kalangan anggota pentadbiran pula yakni mereka yang terpilih sebagai anggota kabinet mereka akan mendapat saraan tambahan untuk berkhidmat.

Perdana MenteriRM22,826.65
Timbalan Perdana MenteriRM18,168.15
MenteriRM14,970.20
Timbalan MenteriRM10,847.65
Setiausaha ParlimenRM7,187.40

Pencen bagi Ahli Parlimen

Mana-mana individu Parlimen yang telah menyempurnakan perkhidmatan selama 36 bulan perkhidmatan, telah dianggap layak untuk diberikan skim pencen.

Sekiranya seseorang itu dilantik sebagai anggota Parlimen pada atau selepas 1 Julai 1990 untuk kali pertama, dia perlulah menyempurnakan perkhidmatannya selama 36 bulan dan mencapai umur 50 tahun untuk mendapatkan pencen Ahli Parlimen.

Pencen ini akan dibayar selagi mana hayat ahli Parlimen tersebut berlangsung, namun bayaran pencen ini akan dihentikan sekiranya dia kembali menjadi Ahli Parlimen semula serta mula mendapat elaun bulanan Ahli Parlimen.

Pampasan untuk Ahli Parlimen

Faedah pampasan juga disediakan sekiranya mana-mana anggota Ahli Parlimen ditimpa musibah. Jumlah faedah yang dibayar pula bergantung kepada keadaan dan kes yang berlaku.

JAWATAN Ahli Parlimen, Timb. YDP Dewan Negara dan Rakyat YDP Dewan Negara dan Rakyat, Timb. Menteri Perdana Menteri dan Timb. Perdana Menteri Menteri Setiausaha Parlimen
Kematian akibat kemalangan60,000250,000750,000500,000150,000
Hilang upaya kekal dua anggota badan120,000500,0001,500,0001,000,000300,000
Hilang upaya kekal satu anggota badan60,000250,000750,000500,000150,000

Faedah-faedah lain Ahli Parlimen

najib mahathir bergelak ketawa

Bagi jawatan ketua pembangkang, apabila seseorang Ahli Parlimen itu dilantik menjawat jawatan tersebut, secara automatik dia layak untuk mendapat elaun bulanan sebanyak RM3,846.59 selagi mana dia memegang jawatan tersebut.

Bagi individu-individu yang telah berhenti memegang jawatan Perdana Menteri pula, mereka berhak mendapat elaun yang telah ditetapkan oleh Jemaah Menteri. Jumlah elaun ini pula dibuat berdasarkan akta yang dinamakan Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 1971. Setiap bekas Perdana Menteri apabila bersara layak untuk mendapat;

a. Ganjaran wang tunai sebanyak RM200,000 yang dikecualikan daripada cukai

b. Pencen bulanan sebanyak RM4,000 pada setiap satu haribulan

c. Rumah dan kediaman lengkap berperabut akan disediakan dan diselenggarakan secara percuma

d. Kemudahan sebuah kenderaan dan pemandu

f. Seorang setiausaha, seorang kerani, seorang pegawai keselamatan dan seorang pembantu pejabat

Faedah-faedah ini boleh ditambah mengikut kelulusan Jemaah Menteri namun asasnya akan mengikut apa yang terkandung dalam Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 1971, yang tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya.


Bagaimana? Jelas tak faedah yang didapati oleh setiap orang ahli Parlimen? Sekarang anda faham tak mengapa ada pihak yang berhempas pulas mahu meletakkan diri mereka di dalam kelompok mereka yang bergelar Ahli Parlimen?

Rujukan

Akta 237 Parlimen (PDF)

Akta 22 Parlimen (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)