Pusara secara umumnya diketahui dijadikan penempatan terakhir manusia yang tidak lagi bernyawa.
Bagaimanapun, bukan hanya semua yang pernah bernyawa perlu disemadikan, ada masanya barangan yang kita guna pun perlu dikebumikan dek kegagalan kita menguruskannya dengan sempurna.
Oleh kerana ketiadaan kaedah lebih baik, banyak benda yang dibina manusia akhirnya menjadi terbiar begitu saja perlu dilupuskan; cuma persoalannya, di mana? Berikut adalah enam lokasi di seluruh dunia yang terpilih secara sengaja atau tidak sengaja sebagai pusara kepada kegelojohan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Pusara tayar Sulaibiya, Kuwait
Kawasan pembuangan tayar Kuwait cukup terkenal diceritakan, terletak di Sulaibiya, adalah tapak pembuangan tayar terbesar di dunia, menempatkan lebih daripada 42 juta tayar terbuang.
Kawasan ini memang dibuka sebagai tapak pengumpulan dalam skala besar tayar terpakai dari Kuwait dan negara-negara lain, namun kegagalan mengikuti tatacara kerja yang berkesan menimbulkan kebimbangan alam sekitar sehingga kebakaran kerap berlaku apatah lagi kadar pencemaran teruk.
Mempunyai keluasan sekitar kira-kira 600,000 meter persegi pada tahun 2021, kerajaan Kuwait memutuskan untuk menutup tapak tersebut dan mengubah lokasinya menjadi bandar kediaman baru.
Tayar-tayar tersebut ada yang sudah lebih 17 tahun ditempatkan di sana sejak pusat itu dibuka, dipindahkan ke fasiliti kitar semula baru di Al-Salmi. Menggunakan kaedah moden, tayar terbuang itu diproses menjadi produk getah
2. Kawasan pembuangan kereta Chatillon
Kawasan pembuangan kereta di Chatillon, terletak di tengah sebuah hutan kecil di selatan Belgium aadalah tapak di mana kereta-kereta lama ditinggalkan.
Kenderaan ini pada asalnya dimiliki tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di sana semasa Perang Dunia II. Selepas perang berakhir, kos untuk menghantar kereta-kereta ini kembali negara tuannya menjadi terlalu tinggi, jadi untuk memudahkan pengurusannya tentera Amerika Syarikat memutuskan untuk meninggalkannya di Belgium.
Pada satu ketika, kawasan ini meliputi kira-kira 10,000 meter persegi meliputi empat sektor kawasan pembuangan kereta merangkumi lebih 500 kenderaan. Bila dah menempatkan kereta klasik, kebanyakan kereta telah dicuri kerana masih ada nilai dan permintaan.
Pada tahun 2010, kawasan ini dibersihkan oleh kerajaan Belgium kerana mengakibatkan banyak masalah alam sekitar dan jumlah kenderaan yang ada berjaya dikurangkan secara besar.
3. Kawasan pelupusan kapal Alang, India
Jika anda sering tertanya-tanya apa berlaku kepada kapal laut yang tidak lagi diperlukan, di sinilah kapal-kapal ini ditempatkan. Tapak pembungan kapal Alang, yang terletak di Teluk Khambhat, Gujarat, India, adalah tapak pembuangan kapal terbesar di dunia.
Dibuka pada tahun 1983, Alang dipilih kerana geografi dan keadaan pasang surutnya yang sesuai untuk aktiviti pembuangan kapal meliputi kawasan pantai sepanjang 14 kilometer yang dibahagikan kepada 183 tapak pembuangan.
Alang menjadi pusat utama untuk mengitar semula kapal-kapal lama, di mana kapal-kapal besar dan kapal kontena diceraikan untuk mendapatkan besi buruk dan bahan lain.
Sekarang, pusat pelupusan kapal Alang ini masih beroperasi tetapi menghadapi cabaran ekonomi dan peraturan alam sekitar yang semakin ketat. Usaha oleh pengusaha serta kerajaan India sedang dijalankan untuk memodenkan fasiliti ini dengan bantuan teknologi dan kewangan dari Jepun, bagi membolehkan peralatannya memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa
4. Lokasi pelupusan pesawat Pengkalan Tentera Davis-Monthan
Seandainya India menjadi pusat kapal disemadikan, sebuah pengkalan tentera udara yang terletak di Arizona, Amerika Syarikat pula dipilih sebagai pusat pelupusan pesawat.
Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan Arizona, ditubuhkan pada tahun 1925 sebagai Davis-Monthan Landing Field, dinamakan sempena juruterbang Perang Dunia I, Leftenan Samuel H. Davis dan Oscar Monthan.
Pangkalan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 43,300,000 meter persegi yang sejak awalnya sudah dikenali sebagai tapak penyimpanan pesawat tentera yang tidak digunakan lagi selain digunakan untuk latihan penerbangan dan penyimpanan pesawat sejak Perang Dunia II.
Kini, pusara pesawat Davis-Monthan masih beroperasi macam biasa sebagai pangkalan utama tempur udara serta menempatkan pasukan penyelenggaraan dan pemulihan Aeroangkasa ke-309, dalam tentera udara Amerika Syarikat selain menjadi lokasi pesawat lama dibuang.
5. Tapak pembuangan sisa elektronik Agbogbloshie
Cuba anda ke sini. Mana tahu anda dapat menemui peranti yang pernah anda gunakan!
Tapak pembuangan sisa elektronik Agbogbloshie di Ghana yang terletak di daerah Accra, adalah tapak pembuangan terbesar di Afrika. Dibuka pada awal 1990-an, tapak ini menjadi lokasi yang menguruskan sisa elektronik, diimport dari negara-negara maju serta yang diguna secara domestik.
Kawasan ini meliputi kira-kira 313,000 meter persegi. Ekoran saiz yang besar serta kelemahan sistem pengurusan, Agbogbloshie menjadi tumpuan individu secara tidak formal membongkar peralatan elektronik untuk mendapatkan logam berharga seperti tembaga.
Kelemahan kaedah kitar semula yang digunakan telah menyebabkan pencemaran toksik yang serius. Sekarang, usaha telah dijalankan untuk memperbaiki situasi termasuk membangunkan kemudahan kitar semula yang lebih selamat.
6. Kawasan pembuangan kereta api Uyuni
Jika anda atau anak anda peminat siri kanak-kanak 'Thomas and Friends', lokasi terakhir ini mungkin igauan ngeri untuk anda.
Kawasan pelupusan kereta api unik yang terletak di di Uyuni, Bolivia, menjadi lokasi di mana jentera lokomotif dipinggirkan bila sudah selesai berkhidmat.
Terletak di kawasan pinggiran padang garam terbesar di dunia yang dinamakan Salar de Uyuni, tapak khusus ini menjadi tempat pembuangan kereta api lama sejak awal abad ke-20, selepas industri perlombongan di kawasan itu merosot dan kereta api mula tidak lagi digunakan. Tapak pelupusan ini meliputi kira-kira 10,000 meter persegi menempatkan rangka-rangka kereta api yang dibiarkan berkarat.
Mempunyai identiti yang agak unik, kerajaan Bolivia mengambil peluang mempopularkan tapak ini sebagai tarikan pelancong khususnya penggemar kejuruteraan lokomotif, yang ingin melihat pemandangan unik; menjadi monumen sejarah industri perlombongan Bolivia yang terus utuh tetapi rapuh ditelan zaman.