frank abagnale catch me if you can

Kami yakin di luar sana ramai yang mengagumi kisah dalam filem 'Catch Me If You Can', menceritakan berkenaan Frank Abagnale Jr., seorang penipu yang menjalankan sindiket penipuan solo dengan sangat berjaya. 

Filem yang digarap berdasarkan kisah sebenar memaparkan lakonan mantap Leonardo DiCaprio memainkan watak Abagnale yang sentiasa dikejar seorang ejen FBI bernama Carl Hanratty, lakonan Tom Hanks.

Semua usaha untuk menangkap Abagnale pada mulanya gagal, membolehkan dia mengamalkan cara hidup mewah pada usia muda dengan bermacam cara yang cukup kreatif.

Tetapi sedarkah anda - semua yang dipaparkan dalam filem itu serta buku yang dijadikan asas jalan cerita tersebut, adalah penipuan semata-mata?  Ini adalah kisah bagaimana kita semua berkemungkinan besar tertipu dalam satu strategi penipuan yang sungguh luar biasa.

'Catch Me If You Can' dalam bentuk ringkas

poster catch me if you can

OK! Kami akan bongkarkan kisah hidup Frank Abagnale dalam bentuk ringkas, jadi sekiranya anda belum menonton filem terbitan tahun 2002 itu - anda teruslah ke lompat ke segmen seterusnya. 

Filem ini menceritakan hidup Frank Abagnale sejak dari zaman remaja yang berdepan masalah, selepas dia menyamar sebagai seorang guru ganti di sekolah yang baru dia hadiri. Bermula daripada penipuan itu, Abagnale terus gemar menukar identitinya setiap kali dia ingin menjalankan kerja jahatnya.

Bagi mendapatkan pendapatan tetap serta menjana hidup mewah, Abagnale menyamar sebagai juruterbang, peguam dan doktor untuk mendapatkan pendapatan tetap melalui cek. Dia turut mempelajari kaedah pemalsuan cek, menggunakan cek-cek yang diterimanya sebagai sumber salinan utama.

Semuanya didakwadilakukan semasa dia masih belasan tahun!

Selepas beberapa kali hampir tertangkap, langkah Abagnale akhirnya tamat selepas ditahan pihak berkuasa.

Apa yang berlaku selepas itu sangat menarik; ekoran kemahirannya memalsukan cek, pihak FBI akhirnya memilih untuk melantik Abagnale sebagai seorang konsultan dalam bidang tersebut. Dia bersetuju untuk menerima tawaran FBI bekerja sebagai konsultan keselamatan.

Daripada jawatan tersebut, Abagnale mula giat bergerak sebagai penasihat keselamatan firma dan agensi  sehinggakan mempunyai firma sendiri dinamakan Abagnale & Associates.

Filem itu tamat dengan penamat gembira, memberitahu kita hidup Abagnale telah 100% berubah tidak lagi terlibat dengan penipuan - lebih gembira bekerja mencari rezeki halal sebagai pakar penipuan dan pemalsuan sistem keselamatan bank.

Adakah semua ini benar? 

Scam paling hebat antara semua scam

produksi catch me if you can

Bermacam jenis dakwaan yang diceritakan Frank Abagnale ini amat mempesonakan sesiapa saja yang mendengar atau menontonnya.

Sukar untuk kita percaya bagaimana seorang remaja mampu menyamar sebagai doktor dan juruterbang, cekap memalsukan cek dan dalam masa yang sama bijak mempedayakan agensi FBI yang memburunya.

Inilah yang menjadi persoalan penulis Alan C. Logan, seorang penulis dalam bidang sejarah sains dan perubatan dari Ireland Utara. Bagi Logan, semua dakwaan yang dibuat Abagnale tak masuk akal.

Sangkaan ini muncul sejak kali pertama dia menonton filem tersebut yang didakwa Abagnale sendiri 'hampir menyamai apa yang berlaku sama seperti dunia nyata'. Bagi Logan, terlalu banyak perkara tidak logik dipaparkan tetapi Logan tidak sempat memeriksa sangkaan itu dengan lebih lanjut.

Hanya sekitar tahun 2020, semasa dia melakukan penyelidikan berkenaan seorang penipu bernama Robert Vernon Spears untuk dijadikan penulisan, dia kembali teringat tentang kisah Abagnale.

Logan mula menjalankan penyelidikan berkaitan semua kisah yang dikatakan berlaku, berdasarkan kepada artikel akhbar, rekod mahkamah dan semua rekod polis melibatkan Abagnale.

Realiti sebenar hidup Abagnale

abagnale paula parks

Abagnale mengakui sepanjang berusia 16 hingga lebih 20 tahun, dia menjalankan operasi menyamar dan menipu sebagai juruterbang Pan American Airlines, doktor di Geogia, profesor di Brigham Young University dan peguam di pejabat pendakwa raya Louisiana. 

Dalam tempoh tersebut, dia turut mengaku lulus cemerlang ujian guaman yang wajib dijalani semua peguam serta berjaya memalsukan cek lebih $2 juta ringgit yang ditunaikan di 26 buah negara.

Penemuan Logan menunjukkan semua itu dusta. Memang Abagnale menyamar sebagai juruterbang, tetapi dia menyamar untuk mengganggu seorang peramugari bernama Paula Parks. Walaupun sudah diberikan amaran, obsesi Abagnale membuatkan dia seringkali muncul di rumah keluarga Paula mengaku dia adalah kenalan gadis tersebut dan bekerja bersama-sama wanita tersebut. 

Ibu bapa Paula yang mudah percaya, mula mesra dengan mulut manis Abagnale sehinggakan membenarkan Abagnale tinggal di rumah mereka walaupun Paula sendiri kurang senang dengan tindakan itu. 

Kononnya sedang bercuti dari kerja, Abagnale terus menetap di rumah keluarga itu untuk satu tempoh, menyertai program-program komuniti yang dianjurkan di sana.

Dalam masa yang sama, Abagnale mula mencuri wang daripada keluarga yang menerimanya sebagai keluarga angkat. 

Selepas ditangkap kerana mencuri sekeping cek kosong milik ibu bapa Paula yang digunakan untuk menebus $1200 duit pasangan yang menerimanya itu, Abagnale dipenjarakan sebelum dibenarkan bebas dengan jaminan parol. 

Dia kembali dipenjara atas kesalahan mencuri tidak lama selepas dibebaskan.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan Logan, itu sajalah yang berlaku sebelum Abagnale dibebaskan sekali lagi dengan jaminan parol. Tidak ada penipuan-penipuan hebat yang dilakukan oleh Abagnale seperti yang didakwa. 

Idea untuk memperhebatkan penipuannya terdetik semasa Abagnale ditemubual pegawai penjara yang bertanggungjawab meluluskan parolnya.

Dalam sesi penilaian itu, Abagnale mula menokok tambah tentang apa yang berlaku selepas pegawai itu meminta Abagnale menceritakan kisah hidupnya, agar dapat dinilai adakah layak atau tidak dia dibebaskan. 

Kisahnya hidupnya yang sengaja ditokok tambah malangnya diterima pegawai terbabit dan permohonan Abagnale berjaya.

Kisah perjalanan penipuan Abagnale bermula selepas pegawai penjara itu yang teruja mendengar kisah Abagnale, melantik Abagnale untuk menjadi jurucakap pihak penjara bagi memberi kesedaran kepada anak muda dan banduan lain.

Di sinilah reputasi Abagnale mula meningkat.

Muncul dalam kaca TV lalu mempesonakan jutaan yang menonton

frank abagnale penipu

Abagnale muncul sebagai jurucakap dalam banyak program kelolaan pihak penjara dan dalam masa yang sama, kisah keinsafannya semakin lama semakin banyak tokok tambah sehingga jadi seperti apa yang dipapar dalam filem. 

Abagnale mula terkenal di seluruh negara selepas diberikan peluang menjadi salah seorang peserta dalam rancangan To Tell the Truth, di mana kisah hidup Abagnale diceritakan sebagai tema utama episod tersebut, disiarkan tahun 1977. 

Kisah penuh tokok tambah dipercayai benar-benar realiti selepas Abagnale didedahkan sebagai individu sebenar riwayat hidupnya yang dijadikan tema dalam episod tersebut. 

Cerita mengagumkan itu mula tular di kalangan peminat rancangan televisyen yang kagum dengan kecerdikan Abagnale memanipulasi situasi yang didepaninya.

Walaupun ada usaha untuk menyelidik kesahihan kisah yang diceritakan Abagnale oleh beberapa orang wartawan, malangnya bintang Abagnale sebagai seorang bekas banduan yang telah insaf tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang sekuriti yang cukup mengagumkan mula diterima sebagai fakta dan kebenaran.

Banyak semak silang yang dilakukan wartawan melibatkan insiden yang didakwa berlaku oleh Abagnale, tidak menemui sebarang petunjuk yang mampu membuktikan penglibatan Abagnale di dalamnya.

frank abagnale johnny carson d8098

Pada era tersebut, kebanyakan akhbat yang melaporkan berkenaan penipuan Abagnale diedarkan untuk edaran dalam negeri itu saja.

Menurut Logan berdasarkan laporan media yang telah berjaya dikumpulkan - usaha untuk mendedahkan tentang penipuan Abagnale oleh media pada penghujung dekad 1970-an gagal, kerana skop liputannya kecil sahaja berbanding populariti Abagnale yang ketika itu sudah dikenali diperingkat nasional kemahsyurannya.

Scam dalam scam dalam scam

frank abagnale scammer

Begitulah ringkasan pendedahan yang dibuat Alan C. Logan hasil semua siasatannya menggunakan rekod-rekod awam.

Jika dakwaan beliau benar, ini mungkin akan membuktikan kepada kita semua bahawa apa saja yang dipaparkan dalam filem serta memoir yang diberi judul 'Catch Me If You Can' adalah rekasaya semata-mata, hasil fantasi seorang lelaki yang mahu menggunakan fantasi itu untuk mempopularkan dirinya.

Ketika ini masyarakat dunia menyanjung kebolehan Frank Abagnale Jr. sebagai seorang legenda dalam penipuan, licik serta dipuji kerana kemahirannya. 

Hasil siasatan Logan menunjukkan apa yang didakwa berlaku oleh Abagnale, tidak berlaku seperti yang diceritakan.

Namun fantasi itu membolehkan Abagnale membina empayarnya sendiri sehingga menjadi individu penting dalam organisasi berprestij di Amerika Syarikat. 

Apa yang ditemui Logan berkemungkinan besar akan menutup terus mitos yang sering dijaja Frank Abagnale sebagai hidupnya...atau mungkin juga meningkatkan lagi legenda penipuannya sebagai seorang yang pembohongannya hidup bukan saja sebagai sebuah buku, malahan filem yang memenangi banyak anugerah dan positif penerimaannya.

Rujukan

Lousiana Voice

 



Hakcipta iluminasi.com (2017)