Oleh pada 05 Jul 2021 kategori

Kita sering mendengar berita mengenai scam atau penipuan yang melibatkan mata wang kripto. Namun, masih ramai yang berani mengambil risiko untuk melabur dalam bidang ini.

Walau bagaimanapun, dunia mata wang kripto baru-baru ini digemparkan dengan berita berlakunya penipuan terbesar yang pernah direkodkan setakat hari ini.

Individu yang dipercayai menjadi dalang di sebalik penipuan ini adalah dua adik-beradik remaja iaitu Raees Cajee, 21 tahun dan adiknya, Ameer Cajee, 18 tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka berdua berasal dari Afrika Selatan dan merupakan pengasas kepada syarikat pertukaran mata wang kripto iaitu AfriCrypt yang ditubuhkan pada tahun 2019.

Hasil daripada populariti AfriCrypt, platform itu telah berjaya mengumpul lebih daripada 50,000 Bitcoin. Kisah penipuan mereka bermula pada bulan April 2021 ketika harga bagi satu Bitcoin pada waktu itu mencecah nilai USD 60,000 atau bersamaan RM 249,000.

Rentetan penipuan AfriCrypt

Raees dan Ameer Cajee telah berjaya meyakinkan ramai pelabur berprofil tinggi Afrika Selatan seperti ahli politik, selebriti, jutawan malah beberapa individu berbahaya.

africrypt

Raees dan Ameer Cajee

Penipuan AfriCrypt mula dihidu apabila Ketua Pegawai Operasi, Ameer Cajee, memberitahu para pelabur bahawa platform itu telah digodam.

Lebih mencurigakan apabila dia meminta para pelabur untuk tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa atau mahkamah dengan alasan tindakan itu akan melambatkan dan membantutkan proses mendapatkan semula dana.

Namun, pengumuman Ameer itu dilakukan seminggu setelah para pekerja AfriCrypt kehilangan akses ke back-end platform mereka yang membolehkan seseorang itu mengesan pergerakan mencurigakan terhadap dana yang diuruskan syarikat itu.

Pelabur mula mengambil tindakan

Setelah sekumpulan pelabur mengupah firma undang-undang, Hanekom Attorneys, untuk menyiasat masalah tersebut, barulah mereka mendapati bahawa semua Bitcoin yang disimpan dalam AfriCrypt telah dipindahkan dari akaun mereka kepada wallet dan tumbler Bitcoin lain.

raees ameer cajee

Tumbler merupakan perkhidmatan khusus yang mengumpulkan Bitcoin sah dan tidak sah, kemudian akan disebarkan secara rawak dan menyebabkan ia sukar dijejaki secara maya.

Pasukan Hawks yang merupakan pasukan penyiasat jenayah penting di Afrika Selatan yang dikhususkan dalam jenayah terancang telah dikerahkan bagi mempercepatkan siasatan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Sektor Kewangan Afrika Selatan.

Namun, pasukan itu menemui jalan buntu dalam penyiasatan mereka kerana aset kripto tidak dianggap sebagai produk kewangan. Kes itu berada dalam "zon bebas" di mana tiada badan khas yang mempunyai kekuasaan menanganinya.

Respon pengasas AfriCrypt

Seperti kebanyakan scammer lain, Raees dan Ameer Cajee telah menghilangkan diri sejak April 2021. Ini menguatkan keyakinan pelabur bahawa mereka ditipu oleh kedua-dua adik beradik itu walaupun Raees dan Ameer menafikannya.

raees dan ameer cajee

Raees mengatakan bahawa syarikatnya hanya menguruskan dana berjumlah RM 830 juta sahaja ketika AfriCrypt digodam. Jumlah itu sangat sedikit berbanding jumlah kerugian yang dikemukakan oleh peguam dan para pelabur.

Raees juga memberitahu Wall Street Journal bahawa mereka berdua terpaksa bersembunyi kerana menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh. Raees juga tidak menyedari sebelum ini bahawa ada antara pelaburnya merupakan individu berbahaya.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Juan Meyer. Dia merupakan bekas rakan niaga kepada ketua mafia Czech Republic, Radovan Krejcir, yang sedang menjalani hukuman penjara. Meyer dikatakan terlibat dengan aktiviti penyeludupan emas dan kilang haram.

Menurut sumber yang tidak mahu didedahkan, tiada siapa yang mencuri wang dari Meyer akan terlepas. 

Siasatan polis pula mendapati kedua-dua adik beradik itu telah menjual kereta mewah Lamborghini Huracan mereka, sebuah suite mewah di salah satu hotel termahal di Afrika Selatan dan sebuah pangsapuri di pesisir pantai.

Pengajaran daripada kes penipuan ini

Ini mungkin penipuan terbesar dalam sejarah mata wang kripto yang masih lagi setahun jagung. Namun, ini pastinya bukanlah kes penipuan kripto yang terakhir.

scam kripto

Fakta bahawa AfriCrypt menawarkan pulangan sebanyak 10% setiap hari melalui platformnya sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Atas keinginan untuk menjadi kaya dengan pantas, ramai yang sanggup memperjudikan wang simpanan yang ada. Apa yang lebih mengejutkan, ramai pelabur seolah-olah tidak melakukan kajian terlebih dahulu.

Ini kerana Raees dan Ameer Cajee pernah terlibat dalam satu scam seumpama ini pada bulan Mei 2019, beberapa bulan sebelum menubuhkan AfriCrypt.




Hakcipta iluminasi.com (2017)