Jika di Malaysia, anda mesti biasa dengar gurauan "Kalau tak ada duit, pergi tolong basuh pinggan di belakang" kan? Tahukah anda, kedai yang memberi makanan 'percuma' sebegitu sebenarnya wujud?

Sebuah restoran di daerah Jinbocho di Tokyo menawarkan hidangan sebagai ganti kepada 50 minit tempoh bekerja. Kedai makan unik yang dinamakan Mirai Shokudo ini merupakan hasil titik peluh seorang bekas jurutera iaitu Sekai Kobayashi. Kobayashi yang berusia 33 tahun ingin membina satu tempat untuk orang yang lapar tetapi tidak mampu untuk makan di luar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain Kobayashi, tiada kakitangan tetap yang bekerja di restoran yang boleh menempatkan 12 pelanggan di kaunter ini. Pelanggan boleh memilih untuk membayar hidangan ataupun bekerja satu atau dua syif untuk 'membayar' makanan itu. Tugasan ketika syif makan tengah hari termasuklah menghidangkan pesanan, membersihkan meja dan pelbagai tugasan lain. Manakala syif malam pula bermula selepas restoran ditutup dan memerlukan kakitangan 'sementara' ini membersihkan restoran.

kobayashi mengasaskan restoran makan dengan percuma dibayar dengan keringat kerja hidangan sedap

Kedua-dua syif ini boleh digantikan dengan hidangan makan percuma atau didermakan dalam bentuk baucar yang akan ditinggalkan di pintu masuk khusus untuk mereka yang memerlukan. Pelanggan kali pertama perlu makan di restoran itu terlebih dahulu sebelum bekerja syif untuk membiasakan diri dengan suasana sibuk dan persekitaran restoran. Sehingga kini, terdapat lebih 500 orang yang telah memilih untuk bekerja bagi mendapatkan hidangan mereka.

Kobayashi telah membuka restoran ini sejak dua tahun yang lalu dengan niat untuk mendirikan sebuah tempat yang terbuka untuk segenap masyarakat. Sebelum berkecimpung dalam bidang makanan ini, Kobayashi merupakan seorang graduan Institut Teknologi Tokyo yang bekerja sebagai seorang jurutera di IBM Japan Ltd. Selepas itu beliau bertukar kerja ke Cookpad Inc. yang menguruskan sebuah laman web resipi. Syarikat itu mempunyai dapur di pejabat di mana semua kakitangan dialu-alukan untuk masak, makan dan berkongsi juadah.

restoran mirai shokudo bekerja dan terima makanan percuma

Kobayashi sangat suka memasak di situ dan kesemua rakan sejawatnya amat sukakan masakan Kobayashi. Dari situlah beliau mula memasang niat untuk menceburkan diri dalam bidang kulinari. Beliau kemudian menerima latihan vokasional di sebuah rangkaian restoran terkemuka dan pelbagai restoran lain sebelum mula membuka Mirai Shokudo.

Walaupun bertukar bidang secara drastik, Kobayashi berkata pengalamannya bekerja sebagai jurutera perisian bukanlah sia-sia. Bagi menguruskan restoran, beliau telah menggunakan model open-source iaitu sistem perisian yang terbuka kepada orang awam supaya boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Kobayashi memuat naik pelan perniagaan dan maklumat kewangan restoran di laman web itu untuk dikaji dan mendapatkan input daripada orang awam. Maklumat-maklumat ini juga boleh diakses bagi sesiapa yang berminat untuk membuka kedai makan sendiri.

kerja untuk mendapatkan hidangan mirai shokudo restoran kedai makan

Salah seorang bakal usahawan yang memasang cita-cita untuk membuka perniagaan restoran sendiri adalah seorang bekas guru berusia 56 tahun yang telah bekerja di Mirai Shokudo sejak bulan Julai 2017. Beliau bercadang untuk memilih industri makanan ini sebagai kerjaya keduanya.

Menurutnya, bekerja di Mirai Shokudo merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan kerana anda bekerja dengan orang berlainan setiap hari. Ia merupakan satu perkara menarik untuk membina hubungan baik dengan orang lain dan bekerja dengan orang yang tidak dikenali.

mirai shokudo restoran yang boleh pilih nak bayar hidangan atau tolong basuh pinggan

Suatu konsep yang menarik, mungkin boleh dipraktikkan di sini. Tak perlu upah kakitangan dan pada masa yang sama, perniagaan masih membuat keuntungan sambil-sambil membuat amal. Dunia akhirat semua dapat. Memang win-win situation!

Rujukan:

1. Facebook Mirai Shokudo

2. China Daily




Hakcipta iluminasi.com (2017)