Oleh pada 12 Dec 2017 kategori

anak kelahiran malaysia paling genius di australia

Dalam artikel yang lalu iluminasi.com banyak berkongsi mengenai tahap IQ, dan apakah kepentingan IQ. Malaysia berada di tangga ke-15 dunia berkongsi kedudukan dengan Ireland dan Greece, dengan purata IQ sebanyak 92.

Rekod tahap IQ paling tinggi di Malaysia ketika ini dipegang oleh Dr. Looi Hoong Thoong, orang yang bertanggungjawab mencipta perisian anti-virus V-Buster, dengan IQ 180. Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Chiang Ti Ming, dengan IQ 181, namun beliau telah meninggal dunia pada tahun 2007 ketika berusia 31 tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, terdapat seorang lagi warga Malaysia, yang mana kini diberikan gelaran remaja paling pintar di Australia. Beliau adalah Sharvin Jeyendran, yang kini menetap di Australia, dengan IQ 168, iaitu 8 mata lebih tinggi daripada ahli fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking.

sharvin jeyendran remaja paling pintar di australia bersama ibunya deva menon

Komuniti tinggi IQ, Mensa telah dicalonkan sebagai kanak-kanak paling pintar di Australia selepas IQ yang ditunjukkan Sharvin menjadikannya tergolong dalam 2% manusia paling pintar di dunia.

Menurut ibu bapanya, beliau adalah seorang yang genius secara semulajadi kerana tidak pernah dipaksa secara akademik. Kanak-kanak genius yang berusia 15 tahun ini kini bersekolah di Sacred Heart College, Western Australia, Australia dan merupakan anak kepada pasangan peguam, Jeyendran Ramachandran dan Deva Menon. Pasangan suami isteri ini menamatkan pelajaran jurusan undang-undang di United Kingdom.

sharvin jeyendran berkebolehan bermain piano

Mereka sekeluarga berpindah ke Australia pada Januari 2015. Kepintaran Sharvin mula dikesan pada awal usia di mana beliau sudah mampu berjalan dan bertutur ketika berusia 9 bulan. Menurut ibunya, Sharvin sudah boleh bertutur seperti kanak-kanak normal menggunakan ayat dan tatabahasa yang lengkap, ketika berusia lingkungan 2 hingga 3 tahun.

"Kami menggalakkannya, dan otak kanak-kanak seperti span yang mampu menyerap apa sahaja," jelas ibunya.

Sharvin bukan sahaja pintar dalam akademik seperti mendapat markah tertinggi dalam semua subjek di sekolah, beliau juga pandai bermain piano, fasih berbahasa Perancis. Beliau juga mewakili Australia dalam Kejohanan Scrabble Remaja Dunia.

mewakili australia dalam kejohanan scrabble dunia

Bercita-cita tinggi, Sharvin memberitahu bahawa beliau ingin menjadi seorang saintis biologi, dan mahu mencari penawar kanser.

"Saya juga mahu menjadi seorang ahli biologi marin dan meneroka lautan, dan juga mahu mempunyai organisasi amal untuk membantu orang miskin di seluruh dunia," jelas kanak-kanak genius ini. 

Menurut pegawai rekrut Mensa Australia, Geoff Russell, kanak-kanak yang lebih pintar dan mempunyai prestasi melebihi rakan sebaya mereka akan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka akan berasa terasing dan mula untuk menidakkan kepintaran sendiri kerana tidak mahu kelihatan pelik di sekolah.

sharvin jeyendran tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan rakan sebaya

Namun, ia tidak berlaku kepada Sharvin. Walaupun merupakan antara manusia terpintar di dunia, Sharvin masih menjalani kehidupan seperti remaja yang lain seperti bermain bola keranjang dan bola sepak di halaman rumahnya.

"Saya sangat gembira mempunyai IQ yang tinggi, namun saya masih mempunyai ramai kawan, dan bergaul dengan semua orang.

Adik perempuan Sharvin iaitu Shireeya yang berusia 10 tahun merupakan seorang yang genius dalam bidang muzik, yang mula bersenandung (humming) seawal 6 bulan, dan mula menyanyi ketika berusia 18 bulan.

Rujukan :

1. Reader's Digest

2. WA Today

3. Daily Telegraph




Hakcipta iluminasi.com (2017)