Oleh pada 25 Mar 2018 kategori

Anda mesti pernah mengambil ujian IQ secara dalam talian, kan? Ada diantaranya memiliki soalan panjang dan ada yang pendek. Kali ini iluminasi.com ingin berkongsi kepada anda soalan-soalan IQ yang dikeluarkan oleh pakar psikologi dari Yale Universiti.

Di laman Facebook sahaja, terdapat ratusan aplikasi 'seronok-seronok' yang dikatakan boleh menguji kepintaran anda. Bagi mereka yang lebih serius, ujian-ujian yang boleh melayakkan mereka disenaraikan dalam organisasi seperti Mensa menjadi pilihan.

Mengambil ujian atau menjawap soalan IQ tidaklah seteruk menjawab soalan peperiksaan di sekolah atau universiti. Malah, terdapat satu ujian yang dianggap ujian IQ paling pendek di dunia hanya mengandungi tiga soalan sahaja. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Soalan tipu muslihat

Ujian Refleksi Kognitif (CRT) ini dibangunkan oleh seorang pakar psikologi dari Yale University bernama Profesor Shane Frederick pada tahun 2005. Dalam satu kertas kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Economic Perspectives, Frederick menjelaskan yang beliau memilih ketiga-tiga soalan itu untuk penilaian CRT kerana ia didapati "menghasilkan kesilapan tindak balas yang mengikut gerak hati."

Dalam erti kata lain, soalan-soalan itu membuatkan manusia cenderung membuat kesimpulan yang tergesa-gesa berbanding benar-benar meneliti segala maklumat yang terdapat dalam kuiz yang mudah itu.

Disebabkan muslihat mental inilah begitu sedikit bilangan orang yang mampu menjawab ketiga-tiga soalan ujian IQ ini. Bermula Januari 2003, CRT ini diberikan kepada 3,428 responded dalam 35 kajian berbeza sepanjang tempoh 26 bulan. Dalam eksperimen itu, hanya 17% pelajar dari universiti paling terkemuka di dunia (seperti Yale dan Harvard) memperoleh markah penuh dalam ujian CRT tersebut.

Berdasarkan keputusan selepas 26 bulan, Prof. Frederick telah memperkenalkan soalan CRT yang menyeluruh kepada seluruh dunia pada tahun 2005. Soalan ini direka untuk menguji kebolehan seseorang untuk mengabaikan gerak hati mereka dan berfikir secara lebih rasional.

Anda nak cuba jawab? Ini soalannya..

1. Masalah Bet dan Bola

Satu set bet besbol dan bola berharga RM1.10. Bet besbol itu berharga RM1 lebih daripada bola. Berapakah harga bola tersebut?

ujian iq paling pendek dalam dunia anda mungkin tak boleh jawab dengan betul

2. Masalah Mesin Widget

Jika 5 mesin mengambil masa 5 minit untuk membuat 5 widget, berapakah masa yang diambil oleh 100 mesin untuk membuat 100 widget?

ujian iq paling pendek dalam dunia anda mungkin tak boleh jawab dengan betul 3

3. Masalah Cantuman Daun Teratai

Terdapat sekumpulan cantuman daun teratai di dalam tasik. Setiap hari, saiz cantuman itu bertambah besar sebanyak dua kali ganda. Jika ia mengambil masa 48 hari untuk memenuhi keseluruhan permukaan tasik, berapa lamakah masa diambil untuk memenuhi separuh permukaan tasik?

ujian iq paling pendek dalam dunia anda mungkin tak boleh jawab dengan betu 2

Dah selesai menjawab? Yakin dengan jawapan anda? Cuba semak..

Ini jawapan sebenar soalan-soalan di atas:

1. Setiap bola berharga 5 sen. Anda mungkin menjawab 10 sen kan? Tak mengapa, tak perlu berasa malu. Sebiji bola yang berharga 5 sen dan bet besbol yang berharga RM1.05 akan mempunyai jumlah RM1.10. Namun, perbezaan antara kedua-dua harga bet dan bola adalah RM1 tepat.

Jika anda menjawab 10 sen, jawapan yang diperolehi adalah tidak tepat. (RM1.00 - RM0.10 = 90 sen)

Menurut satu kajian dari Princeton University, sesiapa yang menjawab 10 sen adalah sangat kurang tahap kesabaran berbanding mereka yang menjawab dengan betul.

2. Masa yang diambil adalah 5 minit bagi 100 mesin untuk menghasilkan 100 widget. Anda mungkin telah menjawab 100 minit kerana anda menyangka setiap mesin menghasilkan satu widget bagi setiap minit.

Sebenarnya, setiap mesin mengambil masa 5 minit untuk menghasilkan satu widget. Jadi, masa untuk 100 mesin menghasilkan 100 widget adalah tidak berubah.

3. Daun teratai itu akan menutupi separuh permukaan tasik dalam masa 47 hari. Anda mungkin meneka 24 hari. Ia adalah gerak hati normal untuk membahagikan jumlah hari itu kepada dua kerana secara logiknya anda perlu membahagikan saiz kumpulan daun.

Namun, saiz daun teratai membesar sebanyak dua kali ganda setiap hari. Ini bermakna ia hanya mengambil masa sehari sahaja daripada menutupi separuh permukaan tasik kepada menutupi keseluruhan tasik. Tolak sahaja 1 hari daripada 48 hari dan anda sudah dapat jawapan yang betul.

ujian iq paling pendek dalam dunia anda mungkin tak boleh jawab dengan betul 4

Menurut Prof. Frederick, soalan-soalan ini lebih mudah dijawab jika anda membuatkan ia kelihatan lebih sukar dibaca. Anda hanya perlu menukar font atau saiz tulisan untuk membuatkan otak berfikir dengan lebih fokus tanpa terburu-buru.

Pelik kan cara otak manusia berfungsi? Hebat betul ciptaan Allah SWT.

Sumber: Yale University




Hakcipta iluminasi.com (2017)