Oleh pada 16 Aug 2024 kategori

Cuba anda buka ucapan-ucapan pemimpin daripada negara haram tersebut yang membincangkan berkenaan penindasan yang sedang mereka lakukan.Pasti akan disebut satu nama yang agak asing bagi kita, iaitu Amalek.

Amalek akan disebut dalam nada negatif, dikutuk, dicaci dan diburukkan oleh pemimpin negara haram tersebut serta penyokong-penyokong mereka, kerana nama ini merupakan satu tokoh yang telah memberikan impak sangat besar kepada bangsa penindas tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah Amalek, individu yang cukup dibenci orang Yahudi?

Siapakah Amalek?

musuh kepada orang yahudi amalek

Amalek merupakan individu yang disebut dalam kitab Bible orang Yahudi, dikaitkan dengan dengan kisah yang memupuk sentimen kebencian mendalam di kalangan bangsa Yahudi.

Amalek ialah cucu kepada Esau yang dikatakan abang kepada Jacob (Nabi Yaakub as. bagi Muslim), anak kepada pasangan Eliphaz dan Timna. Bagi penganut Yahudi, mereka percaya Eliphaz adalah individu yang ditugaskan ayahnya Esau untuk memburu dan membunuh pakciknya sendiri Jacob, tetapi akhirnya melepaskan pakciknya.

Sebagai seorang bangsawan, Eliphaz mempunyai perempuan simpanan di samping isteri-isteri yang ada. Salah seorang perempuan simpanan Eliphaz adalah Timna, ibu kepada Amalek. Seorang puteri dari suku kaum Horite, Timna menyuarakan hasrat mahu menjadi seorang penganut Yahudi namun ditolak Abraham, Isaac dan Jacob.

Insiden ini menyebabkan Timna menyimpan dendam dengan masyarakat Yahudi yang enggan menerimanya, walaupun jelas Timna seorang yang ada kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Hasil daripada hubungannya dengan Eliphaz, Timna melahirkan Amalek dan membesarkan anaknya sarat dengan ideologi anti-Yahudi sejak kecil.  Kisah berkenaan asal-usul Timna dan Amalek ada diceritakan dalam kitab Talmud masyarakat Yahudi, di bahagian Sanhedrin 99b.

Penolakan itulah serta dendam Timna memulakan sebuah suku atau bangsa dinamakan sebagai orang Amalek atau Amalekites, hasil daripada pengaruh anaknya selepas dewasa. Keturunan Amalek dikenali sebagai puak yang hidup secara nomad mendiami kawasan padang pasir di sekitar selatan Kanaan, termasuk sekitar kawasan (kini) gurun Negev di Palestin dan semenanjung Sinai di Mesir.

Kenapa kaum Amalek dibenci Yahudi?

perang di antara amalek dan israel

Permusuhan antara bangsa Yahudi dan orang Amalek bermula dalam satu insiden bunuh-membunuh ketika bangsa Israel dalam perjalanan keluar dari Mesir, seperti yang diceritakan dalam bab Exodus kitab Bible.

Dalam Exodus 17:8-16, diceritakan bahawa kaum Amalek melancarkan serangan hendap terhadap bangsa Israel yang dalam perjalanan di Rephidim, tidak jelas lokasinya sama ada berdekatan Semenanjung Sinai atau di Arab Saudi. Serangan tentera Amalek dianggap kejam kerana orang Israel mendakwa mereka menyerang kumpulan yang tidak bersenjata dalam kalangan orang Israel.

Serangan inilah dipercayai masyarakat Israel mengundang kemarahan Tuhan dan menurut teks dalam kitab Bible Yahudi (Deuteronomy 25:17-19), Tuhan menurunkan perintah kepada bangsa Israel untuk selalu mengingatkan diri mereka tentang kejahatan yang telah dilakukan Amalek.

Orang Israel juga percaya mereka memikul tanggungjawab memusnahkan keturunan Amalek sepenuhnya apabila bangsa Israel telah berjaya kembali ke tanah mereka.

Selain dua petikan di atas, orang Israel juga diperingatkan tentang bahaya Amalek dan keturunannya dalam petikan 1 Samuel 15. Dalam kisah ini, Raja Saul, raja pertama orang Israel yang menyatukan suku-suku mereka yang terpecah sekitar tahun 11SM, diperintahkan Tuhan melalui perantara Samuel untuk memusnahkan orang Amalek sepenuhnya, tak kiralah lelaki, wanita, kanak-kanak dan haiwan ternakan mereka.

Namun Saul gagal mematuhi perintah tersebut sepenuhnya. Dia menyimpan sebahagian daripada ternakan milik orang Amalek serta menangkap dan menawan raja Amalek ketika itu Raja Agag, hidup-hidup tanpa dibunuh.

Petikan ini menyifatkan kejatuhan empayar Saul berpunca daripada kegagalan Saul menurut sepenuhnya perintah Tuhan, membawa kepada kejatuhannya sebagai seorang raja. Saul serta 3 anaknya mati dalam peperangan di kawasan pergunungan Gilboa, terletak berdekatan negara Jordan sekarang - dibunuh orang Filistine.

Kisah berkenaan Raja Saul ini menjadi petunjuk yang dipegang masyarakat Yahudi agar patuh dengan apa saja arahan Tuhan, untuk mereka tidak menunjukkan sifat belas kasihan pada musuh bagi memastikan kedudukan mereka tidak terkorban.

Perang rohani melawan Amalek

rephidim lokasi perang amalek dan israel

Dalam tradisi orang Yahudi, kepercayaan berkenaan pentingnya mereka memusuhi Amalek tidak hanya dilihat dalam aspek fizikal semata-mata, seperti kewajipan menghancurkan musuh.

Perang orang Israel terhadap Amalek juga dilihat sebagai satu bentuk kepercayaan rohani yang wajib dimiliki setiap orang Yahudi, kerana Amalek didakwa mewakili segala bentuk kejahatan yang wujud. Rasa benci kepada Amalek dijadikan simbol kesatuan orang Yahudi untuk besatu, agar berusaha mematuhi setiap kehendak Tuhan.

Sehingga ke saat ini, Amalek dianggap sebagai simbol segala perkara yang menentang nilai-nilai moral dan kebaikan yang cuba dibawa bangsa Yahudi

Dalam dunia moden, orang Amalek dipercayai telah pupus beribu-ribu tahun lamanya akibat peperangan yang berlaku. Di atas kertas, tidak ada lagi bangsa yang dikenali sebagai Amalek sama ada dalam konteks geografi atau etnik. Namun nama "Amalek" terus hidup dalam tradisi dan pemikiran Yahudi sebagai metafora kejahatan yang perlu mereka lawan.

Terdapat pelbagai tafsiran moden yang mengaitkan Amalek dengan musuh-musuh moden bangsa Yahudi, khususnya kumpulan penentang yang menunjukkan sikap anti-Semitik serta memegang ideologi yang enggan menerima dan mengiktiraf kedudukan bangsa Yahudi.

Nama Amalek kembali disebut selepas insiden 7 Oktober 2023 akibat perang di antara negara haram tersebut dengan pejuang Hamas. Tokoh-tokoh negara haram mula memainkan propaganda dengan memetik nama Amalek, memperingatkan bahawa apa saja yang selari dengan pemikiran Amalek harus ditentang.

Walaupun secara rasmi tidak ada, bayang-bayang Amalek terus menghantui pemikiran masyarakat Yahudi; kerana sebilangan besar di antara mereka percaya orang Arab khususnya orang Palestin adalah pewaris kepada keturunan Amalek.

Kenapa?

Ini kerana jika kita rujuk balik kepada kepercayaan mereka, sesiapa saja yang menghalang orang Israel kembali ke 'tanah' mereka layak disamakan dengan Amalek yang keji, jahat dan kejam.

Dengan menamakan warga Palestin sebagai pendokong Amalek, pemimpin negara haram percaya elemen anti Amalek akan membawa kepada penyatuan kaum yang membuatkan mereka terus kuat memperjuangkan perintah Tuhan, agar terus kekal di bumi Palestin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)