jepun ama

Sebelum kewujudan pakaian untuk menyelam ke laut dalam, manusia terpaksa menggunakan cara tradisional (dan mungkin berisiko) untuk melakukan selaman ke laut dalam. Tanpa alat bantuan pernafasan, seseorang penyelam mestilah berkemampuan untuk menahan nafas dalam tempoh yang panjang.

Di Sabah, etnik Bajau yang juga digelar "Nomad Laut" mempunyai kemampuan unik untuk melakukan selaman dalam tempoh yang panjang untuk berburu. Mereka dikatakan mampu menyelam sedalam 200 kaki dan mampu menahan nafas selama 2 minit lamanya di dalam laut.

Malah, terdapat satu kajian pada tahun 2018 yang menunjukkan bahawa kemampuan luar biasa ini bukan sahaja kerana latihan yang dilakukan selama bertahun-tahun lamanya sejak daripada kecil, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor genetik.

Penciptaan peralatan menyelam moden

peralatan menyelam

Pada zaman dahulu, satu-satunya cara untuk mendapatkan makanan dan sumber laut lain seperti span dan mutiara dari dasar laut adalah dengan menahan nafas dan menyelam ke dasar. 

Semakin lama seseorang penyelam dapat menahan nafas, semakin lama individu tersebut dapat terus berada di bawah air dan semakin banyak dia dapat mengumpulkan hasill laut tanpa harus naik ke permukaan air untuk mendapatkan oksigen.

Walau bagaimanapun, kewujudan peralatan menyelam moden melalui penciptaan tangki bantuan oksigen menyebabkan profesion berbahaya ini menjadi kurang releven. Jika ada sekalipun, ianya hanya sekadar sebuah pertandingan atau persembahan daya tahan seseorang individu tersebut.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna teknik menyelam sebegini terus pupus selama-lamanya. Terdapat sesetengah tempat yang masih mempertahankan budaya ini sehingga ke hari ini dan salah satunya adalah "Ama".

Pemburu mutiara secara tradisional

pekerjaan tradisi jepun

Dalam bahasa Jepun, perkataan "Ama" membawa maksud wanita laut. Mereka ini adalah golongan wanita yang mencari rezeki dengan melakukan selaman ke dasar laut untuk mencari hasil-hasil laut antaranya rumpai laut, kerang, landak laut, mutiara dan abalone untuk dijual di pasar.

Tanpa pakaian menyelam yang khusus, golongan wanita ini kebiasaannya akan menyelam sehingga sedalam 40 kaki ke dalam air laut yang sejuk. Kebiasaannya, mereka mestilah berkemampuan untuk menahan nafas sehingga sekurang-kurangnya 60 saat pada satu-satu masa.

Tradisi sejak 2000 tahun lalu

penyelam mutiara

Menurut beberapa rekod sejarah, kerja tradisional ini sudah wujud sekurang-kurangnya sejak 2000 tahun dahulu. Ketika era pemerintahan Heian di Jepun (79 sehingga 1185 AD), Ama memainkan peranan untuk mencari makanan laut dan diberikan penghormatan untuk mendapatkan abalone (sejenis kerang) untuk hidangan keluarga pemerintah.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya mengapakah wanita yang dipilih untuk kerja-kerja sebegini. Untuk makluman, wanita dipilih memandangkan mereka mempunyai lapisan lemak tambahan pada kulit mereka yang memberi perlindungan tambahan terhadap air laut yang sangat sejuk.

Secara tradisinya, seseorang Ama hanya memakai fundoshi (kain selikat) dan tenugi (bandana) di kepala untuk mngikat rambut. Sebelum memulakan selaman, mereka akan mengikat tali pada pinggang mereka. Tali ini akan bersambung pada bot yang berfungsi sebagai tali keselamatan.

Apabila selesai kerja mencari hasil laut di dasar laut, mereka akan menarik tali yang diikat tersebut sebagai signal kepada krew di bot untuk menarik mereka segera ke permukaan laut. 

Tradisi ini masih diamalkan di sesetengah tempat di Jepun. Namun, seseorang Ama kini akan memakai kain putih pada badan dan tidak lagi bertelanjang seperti zaman dahulu. Malah, ada juga Ama pada masa kini yang memakai pakai menyelam dan alat bantuan meyelam seperti flipper.

Kerja yang berisiko dan mencabar

penyelam ama veteran

Antara Ama yang sudah berumur tetapi mempunyai tubuh badan yang sihat untuk terus menyelam

Ama biasanya akan bekerja dalam beberapa shif dengan beberapa orang krew dalam sesebuah kumpulan. Kebiasaannya, seseorang Ama akan menghabiskan masa kira-kira 2 jam di dalam air setiap hari. Sekiranya tidak menyelam, mereka akan memanaskan badan dengan berjemur di tepi pantai atau unggun api.

Mengikut undang-undang perikanan tempatan, seseorang individu tidak dibenarkan bekerja melebihi 4 jam pada satu hari. Namun, satu ketika dahulu kebiasaannya seseorang Ama akan berada di dalam air selama 6 - 8 jam lamanya setiap hari.

Pekerjaan sebagai Ama bukanlah mudah. Mereka perlu menyelam tanpa pakaian ke dalam air laut yang sejuk dan bertekanan tinggi (semakin dalam, semakin tinggi tekanan air). Pada masa yang sama, mereka harus berkemampuan menahan nafas dalam tempoh yang lama.

Maka, tidak hairanlah seseorang Ama akan kehilangan berat badan beberapa kilogram ketika musim menyelam yang dibenarkan yang kebiasaannya hanya beberapa bulan sahaja. Tidak hairanlah seorang Ama biasanya memiliki tubuh badan yang sihat dan cergas.

Ianya bukanlah sesuatu yang pelik apabila ramai penyelam ini masih mampu bekerja ketika umur mereka sudahpun mencecah 70 ke 80 tahun. Kebanyakan Ama masih memiliki tubuh badan yang sihat ketika mencapai tahap umur sebegini.

mikimoto k kichi

Sekumpulan Ama bersama usahawan Mikimoto Kōkichi yang mempunyai perniagaan berasaskan mutiara, menjadikan kerjaya in kekal relevan sehingga ke hari ini

Kerjaya sebagai Ama ini biasanya diwarisi secara turun temurun. Kanak-kanak perempuan yang lahir daripada keluarga Ama akan dilatih untuk menyelam ketika masih kecil kecil lagi. Mereka biasanya belajar daripada ibu mereka atau Ama lain yang sudah berumur. Menjelang usia 14 tahun, kebiasaanya mereka sudah berkemampuan untuk menjadi Ama.

Satu ketika dahulu, terdapat ribuan Ama di seluruh Jepun. Namun, jumlah itu berkurangan secara mendadak memandangkan generasi muda Jepun kurang berminat dengan kerjaya ini.

Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2010, dianggarkan terdapat hanya 2000 orang Ama yang ada di Jepun. Majoriti daripada mereka ini tinggal di kawasan Toba dan Shima di negeri Mie. Di kawasan ini, khidmat Ama masih diperlukan lagi oleh syarikat-syarikat pencari mutiara.

Syarikat milik usahawan Mikimoto Kōkichi yang menjual produk hasil daripada mutiara dianggap "penyelamat" kepada tradisi menyelam kerana syarikat ini memerlukan khidmat Ama untuk mencari mutiara dan ini menjadikan tradisi ini masih hidup sehingga ke saat ini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Forbes
  3. BBC News


Hakcipta iluminasi.com (2017)