bandar agloe

Pada tahun 1930-an, sebuah bandar bernama Agloe tiba-tiba muncul dalam peta New York. Ianya terletak berdekatan laluan tanah daripada kawasan Roscoe ke Rocklanda dan berhampiran dengan Beaverkill.

Malah, jalan tersebut juga tidak pernah dilalui oleh sesiapapun. Tiada sesiapapun yang tahu bahawa kawasan bernama Agloe yang berada dalam peta tersebut sebenarnya tidak wujud kecuali pembuat peta itu sendiri.

Usaha mengesan peta cetak rompak

peta cetak rompak

Suatu masa dahulu, tanpa bantuan teknologi percetakan digital, menghasilkan sesuatu peta bukanlah tugas yang sukar dan murah. Syarikat yang menghasilkan peta ini perlulah teliti dalam menyemak setiap nama kawasan dan memastikan lokasinya berada pada koordinat yang betul.

Malangnya, mereka juga terpaksa berhadapan dengan pihak lain yang cuba meniru peta ciptaan mereka. Oleh itu, satu cara khas telah diwujudkan bagi memelihara hasil kerja keras mereka daripada diambil sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi memudahkan sesuatu syarikat mengenalpasti peta atau karya yang dihasilkan itu milik mereka atau tidak, mereka biasanya akan meletakkan satu tanda atau perangkap pada peta atau karya tersebut. Dalam hal ini, kawasan bertanda "Agloe" ini sengaja ditambah pada peta oleh pembuat sebenar peta ini.

Oleh itu, sekiranya terdapat peta yang dijual dan dihasilkan oleh syarikat lain yang mempunyai kawasan bernama Agloe ini, mereka dapat mengetahui dengan yakin bahawa peta tersebut telah dicuri diterbitkan dan dijual tanpa kebenaran mereka. 

Selain nama kawasan palsu, ada sesetengah syarikat yang turut meletakkan nama jalan palsu atau tanda palsu bagi memudahkan mereka mengenalpasti ciptaan mereka. Perangkap-perangkap seperti ini membolehkan pencuri didakwa dengan mudah di mahkamah.

Asal-usul nama Agloe

general drafting co

Nama Agloe ini diletakkan oleh Otto G. Lindberg, Pengarah syarikat General Drafting Co. dan pembantunya, Ernest Alpers pada tahun 1930-an ketika mereka menghasilkan peta untuk bandar New York. Mereka secara sengaja menggunakan nama Agloe, hasil campuran daripada huruf terawal nama mereka.

Beberapa tahun kemudian, sebuah organisasi ternama, Rand McNally telah mengeluarkan peta New York yang didakwa paling lengkap. Paling mengejutkan, kawasan palsu yang diberikan nama "Agloe" turut wujud dalam peta tersebut!

Otto G. Lindberg dan pembantunya terkejut dan pada masa yang sama gembira kerana mereka dengan mudahnya dapat mengenalpasti bahawa peta yang dihasilkan mereka telah dicuri. Peguam yang mewakili Rand McNally bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha mencari alasan untuk mengelakkan anak guamnya disaman.

Kewujudan bandar Agloe yang sebenar

agloe general store

Bagi mendapatkan bukti bahawa kawasan Agloe yang tertulis di atas peta benar-benar wujud, maka peguam Rand McNally telah ke kawasan seperti yang dinyatakan dalam peta. Paling mengejutkan, beliau menemui sebuah kedai yang diberi nama "Agloe General Store".

Apabila diselidik, rupanya nama kedai tersebut diberi berdasarkan nama kawasan yang terdapat dalam peta yang dimiliki mereka yang diberikan oleh pihak Esso. Pihak Esso pula mendapat peta tersebut daripada syarikat General Drafting Co. Oleh itu, pemilik kedai itu beranggapan sekiranya Esso memanggil tempat tersebut sebagai Agloe, maka nama kedainya turut akan diberikan nama sempena nama kawasan tersebut.

Tidak dapat dipastikan apa yang terjadi mengenai kes saman antara syarikat General Drafting Co. dan Rand McNally. Namun, berdasarkan kewujudan kedai tersebut disitu, besar kemungkinan mereka akan kalah dalam pendakwaan di mahkamah. Pada masa kini, kedai tersebut sudah tidak wujud lagi.

Menariknya, 5 tahun yang lalu, kawasan bernama Agloe ini turut dimasukkan dalam Google Map di kawasan yang sama seperti peta yang dihasilkan lebih daripada 80 tahun dahulu. Namun, kini ianya tidak lagi wujud dan pihak Google telah membuangnya.

Pada tahun 2014, pihak US Geological Survey secara tidak rasminya turut memasukkan nama Agloe ini dalam sistem informasi geografi mereka. Kisah ini juga menggambarkan betapa kreatifnya orang dahulu dalam mempertahankan hak cipta karya dan produk mereka.

Namun bagi syarikat General Drafting Co. pula, mereka mungkin boleh dianggap tidak bernasib baik apabila peta mereka bukan sahaja telah dicuri, tetapi mereka juga tidak boleh menyaman si pencuri kerana secara tiba-tibanya, kawasan itu wujud dunia nyata!

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. New York Times


Hakcipta iluminasi.com (2017)