program realiti tv dakwah kristian televangelist

Sudah tidak cukup jari kami untuk mengira berapakah jumlah rancangan realiti televisyen bagi mencungkil bakat-bakat pendakwah Islam generasi baru.

Sehinggakan ketika ini ramai di kalangan masyarakat kita yang dikenali dengan nama PU (pencetus ummah), Da'i, Imam Muda dan beberapa lagi gelaran yang diberikan seperti 'Ustaz Selebriti', pada 'graduan-graduan' rancangan ini walaupun majoritinya terkandas di peringkat awal.

Disebabkan bilangan yang agak ramai, nama-nama ini juga seringkali terpalit kontroversi sama ada bersifat peribadi mahupun lebih teruk; mula melibatkan masyarakat Malaysia amnya.

Lebih malang, apabila kita bercerita berkenaan persepsi terhadap kelompok yang menjadikan populariti gerakan dakwah sebagai kerjaya; situasinya hanya memerlukan seorang terpalit najis, yang akhirnya semua akan rasa tempiasnya.

Lambakan program realiti dakwah

pertandingan realiti tv pendakwah malaysia

Sebagai penonton yang hanya menonton di kaca TV, agak sukar untuk kami mengenalpasti apakah tujuan utama rancangan 'program realiti dakwah' ini diwujudkan di negara kita.

Adakah kerana negara kita benar-benar kekurangan pendakwah berkaliber?

Jika itu hujahnya - maaflah; kita sudah ada ramai nama besar anak-anak tempatan yang menjalankan kerja dakwah. Belum diambil kira individu pendakwah yang hadir dari negara jiran kita turut sama berkongsi usaha mereka.

Jika ingin dikatakan mereka ini (nama-nama besar pendakwah) tidak lagi relevan di mata anak muda, pun turut sama boleh ditepis dakwaannya. Ceramah mereka nyata berjaya menarik minat setiap genap lapisan masyarakat kita, muda tua, kaya miskin hadir tekun bersila.

Adakah kita kekurangan pelapis pendakwah? Ini ada kemungkinannya, namun usaha melahirkan pendakwah generasi baru melalui aturan realiti rancangan televisyen merupakan satu perkara aneh. yang di luar kebiasaan.

Apatah lagi syarat yang dikenakan ke atas bakal calon peserta pula terlalu longgar bagi sesetengah rancangan, sehinggakan sesiapa saja boleh bergelar jadi pendakwah dalam kaca TV.

Dari mana datang idea menggunakan rancangan realiti televisyen untuk menghasilkan pendakwah? Untuk menjawab soalan itu, kita perlu merungkai kembali sejarah gerakan penyebaran Kristian beberapa dekad dahulu.

'Televangelist' pertama dunia

fulton j sheen televangelist

Untuk menceritakan berkenaan rancangan realiti TV berkonsepkan agama, tak sah untuk kita tidak membicarakan peranan yang dimainkan oleh satu kelompok yang diistilahkan 'televangelist', dalam mempopularkan kedudukan penyebaran agama Kristian menggunakan medium televisyen.

Sejarah penggabungan medium televisyen (serta radio) satu masa dahulu sebagai medium sebaran agama, dipopularkan sekitar tahun 1951 oleh seorang paderi bernama Fulton John Sheen yang ketika itu berkhidmat sebagai Bishop di Gereja Roman Katolik Rochester, New York.

Populariti beliau bermula sebagai seorang juruhebah radio yang mempunyai 4 juta pendengar, sebelum diberikan tugas menjadi hos kepada sebuah siri rancangan berjudul 'Life Is Worth Living' bermula tahun 1952.

Rancangan itu ringkas sahaja formatnya, hanya memaparkan Sheen berhadapan dengan kamera bercakap secara spontan tanpa bantuan skrip seolah penonton sedang duduk di depannya, dibantu papan hitam serta ilustrasi bagi memperjelaskan topik yang dibincangkan beliau.

'Life Is Worth Living' bertahan sehingga tahun 1957, mencabar populariti banyak rancangan hiburan era tersebut dan menjulang nama Sheen sebagai seorang pendakwah Kristian yang disegani serta seorang selebriti terkenal - setara dengan legenda hiburan terkenal Frank Sinatra.

Sheen bukan saja menjadi orang penting gereja malahan dia juga menjadi antara selebriti berpengaruh dalam industri hiburan, dicalonkan 3 kali dalam anugerah Emmy pada tahun 1953, 1954 dan 1957, memenangi anugerah personaliti terbaik dalam pencalonan kali pertama beliau.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1979 pada usia 84 tahun.

fulton john sheen first televangelist

Selepas perbincangan panjang selama berdekad lamanya di antara pemimpin tertinggi ajaran Katolik melibatkan perebutan hak mengebumikan beliau, akhirnya mereka  bersetuju untuk mengisytiharkan Fulton John Sheen sebagai salah seorang yang disahkan akan ke syurga, diberikan gelaran Santo.

Ini berdasarkan kepada keajaiban yang telah berlaku pada tahun 2010, selepas ibu bapa kepada bayi bernama James Fulton Engstrom yang mati semasa dilahirkan, mendapati bayi mereka hidup semula selepas memohon pertolongan kepada mendiang Sheen.

Berdasarkan peristiwa itu, gereja Katolik menetapkan tarikh 21 Disember 2019 sebagai tarikh Fulton John Sheen mula digelarkan sebagai seorang Santo (Saint) di kalangan penganut agama Kristian.

Legasi Fulton J. Sheen diteruskan generasi seterusnya

preacher of la gaya hidup moden paderi

Sehingga kini, acuan yang ditinggalkan Sheen menggabungkan dunia dakwah dan selebriti terus digunapakai generasi pendakwah Kristian muda, sehingga merebak ke serata dunia.

Dalam masa yang sama, wujud kelompok golongan pendakwah yang mengkritik televangelist ini sebagai kelompok yang hanya mengejar populariti, menggunakan medan dakwah Kristian sebagai cara untuk memperbodohkan orang ramai demi kesenangan dunia.

Antara dakwaan paling dibimbangi berlaku pengkritik ini, adalah bagaimana kelompok televangelist sebenarnya dilantik dari luar struktur hirarki ajaran Katolik/Kristian yang telah ditetapkan, sehingga akan menyebabkan berlakunya penyebaran doktrin atau ajaran yang bertentangan dengan ajaran sedia ada.

hidup mewah pendakwah kristian

Dalam zaman moden pula, kritikan paling kerap kedengaran pihak yang kurang senang dengan gerakan televangelist adalah disebabkan penggabungan elemen-elemen duniawi dan materialisme yang diterapkan dalam konteks ajaran Kristian, bagi memudahkan penerimaan masyarakat terhadap ajaran yang cuba diketengahkan.

Pada tahun 2013, pengenalan siri realiti TV 'Preachers of LA' dikritik masyarakat Kristian kerana cuba menormakan kehidupan mewah ibarat bintang-bintang rap terkemuka, sebagai sesuatu sasaran yang perlu cuba dicapai semua penganut Kristian.

Rumah agam dan kereta mewah, penerbangan kapal terbang persendirian yang ditaja pihak gereja semuanya dipaparkan secara terbuka bagi menzahirkan rasa kagum penonton, diharap teruja melihat seorang pendakwah mampu hidup senang sedemikian rupa.

Kritikan itu yang berakar umbi sekian lama sangat lantang disuarakan; sehinggakan wujud satu istilah khas disebut hanya untuk menentang usaha televangelist berdakwah; digelarkan sebagai 'Celebrity Christianity.'

Kenapa kami menceritakan tentang televangelist Kristian?

dai syed kontroversi

Pasti ramai tidak jelas kenapa kami menulis panjang berkenaan gerakan televangelist Kristian - sedangkan sejak awal kita sebenarnya bercerita berkenaan Da'i, Pencetus Ummah, Imam Muda, Ustazah Solehah, Ustaz Selebriti dan sebagainya.

Ini kerana semua kritikan yang sering kita hamburkan kepada 'pendakwah-pendakwah Islam' di Malaysia ini sebenarnya hampir sama saja kisahnya dengan apa yang berlaku di kalangan televangelist Kristian di luar sana.

Ada ahli masyarakat kita mengkritik golongan pendakwah ini 'kaki demand', mengenakan bayaran tinggi, mahu dilayan seperti bintang rock yang semua kemahuannya perlu diikut. Disiplin tiada. Hidup mahu mengejar kebendaan. Jual muka. Guna 'pangkat' untuk publisiti. Selalu berhadapan masalah peribadi.

Persoalannya adalah - kenapa kita di Malaysia masih mahu giat mahu meneruskan usaha untuk melahirkan selebriti-selebriti pendakwah Muslim yang berpengaruh - walaupun kita sudah tahu kesan buruknya lama kelamaan akan menjadi lebih besar berbanding faedah yang masyarakat kita perolehi?

Yang lebih memilukan hati, hampir setiap bulan ada saja kontroversi berkait Da'i, PU atau Imam Muda yang jelas hanya meruntuhkan persepsi baik masyarakat kepada ikon-ikon yang cuba dilahirkan ini.

peserta pencetus ummah astro

Kita boleh melihat sisi positifnya bagaimana ramainya pelapis pendakwah ditonjolkan serta dijulang sebagai ikutan, namun fokus kita harus kembali kepada platform atau kaedah mereka itu diangkat sebagai pendakwah yang berkaliber.

Wajarkah kita terus menggunakan siri realiti televisyen untuk melatih dan melahirkan pendakwah generasi baru yang akhirnya mula kabur identitinya, lebih bersifat selebriti dahulu, pendakwah kemudian?

Itulah yang telah berlaku kepada televangelist Kristian sehinggakan elemen duniawi mula diutamakan dalam mesej-mesej mereka selepas populariti mula menjadi aspek yang lebih penting untuk dimiliki.

Usaha untuk menggunakan televisyen bagi melahirkan pendakwah agama yang berkesan perlulah dilakukan dengan mengambil kira kekuatan peribadi pendakwah itu serta tahap kebolehan yang dimilikinya.

Bagi penulis, suasana itu tiada dalam format realiti TV.

Jika pendakwah dirantai dengan skrip, ditetapkan apa yang perlu ditutur, apa perlu diajar setiap minggu sehinggakan dia sendiri hanyalah penyampai kepada sesuatu yang bukan datang dari hatinya - mungkin lebih baik format rancangan sedia ada dirombak semula atau dimansuhkan terus.

Jika dirasa ada keperluan diteruskan, perketatkanlah dahulu syarat pemilihan peserta itu.

Kita tidak mahulah Da'i, PU, Imam Muda dan sebagainya terus dicop sebagai golongan bermasalah yang sering terpalit kontroversi dalam segala aspek hidup seperti rumahtangga, kehidupan peribadi dan juga hubungan sesama manusia.

Berani guna gelaran di depan nama, hidup mestilah lebih berhati-hati. Seorang pendakwah haruslah keluar daripada acuan tabiat seorang selebriti.



Hakcipta iluminasi.com (2017)