Mungkin anda pernah mendengar "cakap-cakap" bahawa orang yang mempunyai masalah penglihatan biasanya mempunyai daya pendengaran yang lebih baik daripada manusia biasa. Sejauh manakah benarnya dakwaan ini?

Jawapannya? Ya dan tidak.

Pertama sekali, adalah penting untuk kita mengetahui bagaimanakah bunyi boleh terhasil dan bagaimanakah bunyi ini boleh diproses oleh otak kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sensasi suara berlaku apabila getaran dari bunyi masuk ke telinga kita dan menyebabkan struktur halus seperti rambut kecil yang disebut sel rambut di dalam telinga kita bergerak dan bergetar.

Sel-sel rambut ini kemudiannya mengubah pergerakan ini menjadi isyarat elektrik yang dihantar ke otak untuk diproses. Sejauh mana seseorang dapat mendengar bergantung pada seberapa utuh sel-sel rambut ini.

Setelah hilang, sel-sel ini tidak akan tumbuh semula dan perkara ini tidak ada bezanya bagi orang yang mempunyai masalah penglihatan atau buta. Jadi, berdasarkan fakta ini, bermakna orang buta secara umumnya tidak dapat mendengar dengan lebih baik daripada manusia yang lain.

Keunikan individu buta

visual cortex 948

Walau bagaimanapun,  orang buta sering kali mengatasi orang yang tidak buta dalam tugasan berkaitan pendengaran misalnya seperti mencari sumber bunyi. Untuk memahami perkara ini terjadi, kita perlu melihat di luar organ deria, iaitu apa yang berlaku dengan otak dan bagaimana maklumat daripada deria diproses olehnya.

Persepsi berlaku apabila otak menafsirkan isyarat yang diberikan oleh organ deria kita dan bahagian otak yang berlainan bertindak balas terhadap maklumat yang datang dari organ deria yang berbeza.

Setiap bahagian otak memproses informasi yang berbeza. Terdapat bahagian yang memproses maklumat visual (visual cortex) dan bahagian yang memproses maklumat suara (auditori cortex). Tetapi apabila pancaindera/informasi seperti penglihatan hilang, otak secara automatiknya melakukan sesuatu yang luar biasa - menyusun semula fungsi bahagian otak ini.

Pada orang buta, bahagian visual cortex menjadi sedikit "bosan" tanpa input visual dan mula "menyusun semula" dirinya sendiri, menjadi lebih responsif terhadap maklumat dari pancaindera yang masih ada. Oleh itu, orang buta mungkin kehilangan penglihatan tetapi ini menjadikan keupayaan otak yang lebih besar untuk memproses maklumat dari deria lain.

Perbezaan orang tua dan muda

anjing bantuan orang buta

Seperti yang diperkatakan di atas, otak berkemampuan untuk "menyusun semula" kemampuan dirinya apabila seseorang itu buta. Walau bagaimanapun, kemampuan ini juga sebenarnya bergantung pada tahap umur seseorang individu itu kehilangan deria penglihatannya - sama ada sejak kelahiran, ketika masih kecil atau apabila sudah berumur. 

Otak dapat menyusun semula dirinya pada mana-mana fasa kehidupan, termasuklah ketika dewasa. Namun, semasa kecil otak lebih mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini kerana semasa kecil otak masih berkembang dan proses "menyusun semula" organisasi otak menjadi lebih mudah,

Oleh itu, orang yang buta sejak usia kecil menunjukkan tahap penyusunan semula otak yang jauh lebih besar (bermakna deria pendengaran mereka lebih "tajam"). Oleh itu, orang yang menjadi buta di awal kehidupan cenderung mengalahkan orang yang tidak buta dan juga orang yang menjadi buta di lewat usia, dalam ujian pendengaran yang dijalankan. 

Echolocation

Bagi memahami bagaimana otak "menyusun semula" kemampuan dirinya apabila seseorang itu buta, anda akan kagum apabila orang buta mampu melakukan satu teknik yang digelar "Echolocation ".

Secara ringkasnya, echolocationn adalah satu kemampuan bagi orang yang buta untuk membuat anggaran jarak/lokasi dan saiz objek di sekeliling mereka. Dengan menghasilkan bunyi "klik" dengan mulut mereka dan mendengar gema yang dihasilkan, orang buta dapat mencari atau mengagak objek di persekitarannya.

Dalam dunia haiwan, echolocation adalah teknik yang digunakan oleh kelawar, ikan lumba-lumba dan haiwan lain untuk menentukan lokasi objek menggunakan bunyi yang dipantulkan. Ini memungkinkan binatang bergerak di dalam kegelapan sehingga mereka dapat menavigasi, memburu, mengenali rakan dan musuh dan menghindari halangan.

orang buta pendengaran lebih baik

Keupayaan ini berkaitan rapat dengan aktiviti otak di visual cortex. Sebenarnya, visual cortex pada "echolocator" individu buta bertindak balas terhadap maklumat bunyi dengan cara yang hampir sama dengan maklumat visual dalam penglihatan. Dengan kata lain, pada "echolocator" individu buta, deria pendengaran telah menggantikan penglihatan di otak pada tahap yang sangat besar.

Namun, perlu diketahui bahawa orang buta tidak secara automatik menjadi pakar echolocator. Sama ada seseorang individu buta dapat mengembangkan kemahiran seperti ini bergantung pada masa yang dihabiskan untuk mempelajari teknik ini.

Malah, orang yang tidak mempunyai masalah penglihatan juga dapat mempelajari kemahiran ini dengan latihan yang cukup tetapi orang buta mungkin akan lebih pantas belajar - manfaat daripada otak mereka yang disusun semula dengan lebih cekap akibat limitasi yang ada pada deria mereka. 

Kredit:

  1. The Conversation
  2. Science Daily
  3. Smithsonian Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)