couple melayu berdiri tepi kapal

Hubungan cinta memerlukan pengorbanan masa, wang dan emosi yang tinggi apatah lagi apabila kita pula ditakdirkan bertemu dan berkenalan dengan seorang individu yang mempunyai permintaan yang tinggi - dalam erti kata lain 'high maintenance.'

Semakin banyak kita berkorban dalam sesuatu hubungan, tak kiralah dalam ikatan perkahwinan atau sekadar berkenal-kenalan, hubungan itu sudah pastilah akan mengubah hidup kita kepada satu bentuk lain. Pasti ramai yang takut hendak meninggalkan sesuatu hubungan apabila kita sudah banyak menghabiskan tenaga membentuk hubungan itu, apatah lagi dalam perkahwinan - yang akan membabitkan masa depan anak-anak andai perkahwinan itu runtuh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, setiap hubungan itu perlu kita kenali hadnya yang membolehkan kita bersabar, kerana kita sendiri tidak dapat nafikan - ada tahap di mana sesuatu perhubungan itu sepatutnya diakhiri kerana pengakhirannya lebih membawa kebaikan. Berikut adalah 4 tanda sesebuah hubungan itu perlu diputuskan bagi memudahkan individu yang terlibat meneruskan hidup mereka.

1. Kemanisan perhubungan itu sudah tidak ada

fattah neelofa

Keserasian dalam perkongsian hidup merupakan elemen penting yang selalu ditekankan oleh mereka yang bercinta, tetapi pada akhirnya kebaikan individu itu jugalah yang akan menjadi penghubung kepada hubungan itu. Rasa sayang, mahu berbuat baik sesama pasangan serta sanggup menerima kekurangan seseorang merupakan tunjang utama kekuatan perhubungan. Bagaimanapun, ada ketikanya sesebuah hubungan itu hilang kemanisannya akibat bermacam faktor sehingga kebahagiaan itu digantikan dengan persengketaan yang berpanjangan. Tidak dapat dinafikan bertelagah adalah satu perkara normal - tetapi apabila sesuatu hubungan itu lebih banyak dihabiskan dengan bertelagah tanpa ada rasa ingin berbaik semula - hanya makan hati dan makan dalam yang tinggal bagi mereka yang terlibat. Apabila sudah sampai ke tahap itu dan tidak ada lagi cubaan untuk berbuat baik sesama kita, lebih baik diputuskan saja hubungan itu.

2. Anda tidak lagi dihormati

pasangan china bergaduh

Rasa hormat merupakan kunci kepada perhubungan. Tidak hormat pula wujud dalam pelbagai cara namun tidak ramai yang mampu menafsirkan atau melihatnya dengan betul. Selalunya perasaan hormat mula hilang dengan perbuatan-perbuatan seperti gemar mengkritik, menipu atau lebih teruk lagi, berlaku curang. Perbuatan-perbuatan ini jelas menunjukkan kurangnya rasa hormat pelaku kepada pasangan. Bagi mereka yang sangsi bagaimana hendak mengenali perbuatan tidak menghormati sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak, cuba buka komunikasi dengan pasangan anda tentang isu ini. Lihat apa reaksi mereka. Sekiranya mereka bersedia berubah, mungkin masih ada harapan untuk hubungan anda. Bagaimanapun, sekiranya mereka hanya tahu menolak kembali semua kesalahan kepada anda atau tidak mempedulikan pendapat anda, itu satu tanda anda sedang kurang dihormati.

3. Anda yang berusaha lebih

suami isteri bertengkar

Sebuah hubungan yang baik, kedua-duanya sanggup berkongsi susah dan senang bersama-sama, supaya tidak ada pihak yang rasa terbeban dengan apa yang perlu ditanggung. Apabila sebuah hubungan itu mula renggang, salah satu pihak pasti akan merasa yang dialah yang selama ini menanggung tanggungjawab sedang pihak yang satu lagi lebih banyak menghabiskan masa untuk tujuan sendiri.

Ini akan menyebabkan satu pihak merasa sakit hati dan satu pihak lagi terlalu gemar mengambil peluang. Seandainya anda ingin mengenal pasti status hubungan anda, cuba buat tak tahu tentang perkara-perkara yang selama ini anda lakukan dan lihat apa reaksi pasangan anda. Jika dia mula memikul beban yang dilihat terabai, harapan untuk hubungan anda nampak cerah. Bagaimanapun, sekiranya pasangan anda nampak seperti tidak mahu berusaha dan nampak lebih selesa sebegitu pula, mungkin dia sebenarnya sedang menampakkan hasrat sebenar beliau.

4. Semuanya ku korbankan untuk dia

aishwariya rai sedih

Setiap perhubungan itu unik dan tidak sama namun ada satu persamaan yang perlu ada dalam setiap perhubungan - ruang untuk kedua-dua individu membesar dan mencapai impian mereka. Setiap pasangan perlu menyediakan ruang bagi keperluan dan aspirasi peribadi serta peluang untuk kedua-duanya mencapainya. Hubungan yang tidak seimbang selalunya berat pada sebelah pihak sahaja, dengan satu pihak lagi terpaksa mengorbankan impian mereka.

Apabila seseorang itu merasakan hidupnya seperti dipergunakan dan terpaksa hidup dalam aturan hidup pasangannya pula, ini akan menyebabkan keretakan berlaku. Jika anda rasa anda tiada ruang untuk diri anda sendiri dalam hubungan anda, beranikan diri anda bersuara menyatakan kemahuan anda. Sekiranya pasangan anda enggan atau bertindak balas secara negatif, besar kemungkinan anda perlu membebaskan diri anda daripada hubungan itu agar anda dapat menjana semula identiti anda sendiri tanpa sebarang sekatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)