Oleh pada 30 Oct 2017 kategori

loji janakuasa tenaga nuklear malaysia 2030

Ramai yang sebenarnya tidak tahu tentang sumber utama tenaga elektrik yang digunakan di Malaysia dan ramai juga masih menganggap bahawa sumber utama tenaga elektrik di Malaysia adalah melalui empangan hidroelektrik. Fakta ini sangatlah salah dan menjadi salah faham antara rakyat Malaysia jadi hari ini penulis ingin berkongsi tentang sumber utama tenaga elektrik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mesti ada yang mengatakan "apa kena mengena sumber utama ini dengan tajuk nuklear?" tetapi untuk memahami kebarangkalian Malaysia menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber utama tenaga elektrik, anda sedikit sebanyak harus faham tentang tenaga elektrik di Malaysia sekarang.

Arang Batu Sebagai Sumber Utama Kini

Sumber utama penjanaan tenaga elektrik dihasilkan melalui dua sumber utama iaitu pembakaran arang batu yang menjadi sumber bahan api utama iaitu sebanyak 51% diikuti dengan gas asli termasuk gas asli berbentuk cecair sebanyak 45%. Selebihnya barulah tenaga hidro sebanyak 4%.

arang batu

Malaysia dahulunya menggunakan minyak tetapi disebabkan harga minyak yang tidak menentu, kita terpaksa beralih kepada gas asli dan arang batu. Malangnya, kedua-dua bahan ini juga bergantung kepada harga pasarannya sendiri jadi harganya juga tidak menentu. Gas asli dan arang batu juga mempunyai peningkatan daripada masa ke semasa.

Malaysia mengimport arang batu daripada Rusia, Afrika Selatan, Indonesia dan Australia namun harganya sebenarnya mahal. Ini menyebabkan TNB mengguna teknologi ultrasupercritical (USC) iaitu teknologi jana kuasa yang beroperasi pada suhu dan tekanan di atas titik kritikal air.

Nuklear Sebagai Penyelesaian Kos Tinggi Arang Batu

Masalah janakuasa elektrik ini boleh diselesaikan dengan penggunaan tenaga nuklear untuk menjana kuasa elektrik di Malaysia tetapi ia bukanlah semudah yang kita sangkakan. Kepada yang belum memahami apa itu istilah nuklear, nuklear ini sebenarnya merujuk kepada nukleus atom iaitu inti pusat yang berada di tengah-tengah atom.

tindak balas nuklear 937

Nukleus ini akan melakukan tidak balas nuklear yang boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembelahan nukleus (nuclear fission) dan tindak balas pelakuran nukleus (nuclear fusion). Paling banyak digunakan ialah tindak balas pembelahan nukleus kerana pelakuran nukleus masih lagi dikaji dan dibangunkan untuk penggunaan masa hadapan.

Pelakuran nukleus ini dikatakan boleh memberi jawapan kepada masalah tenaga yang boleh diperbaharui kerana tenaga yang dikeluarkan juga bersih tetapi ia masih lagi dalam kajian dan banyak perkara harus ditimbang berat sebelum ia betul-betul boleh digunakan.

agensi nuklear malaysia

Menurut Agensi Nuklear Negara, kos pembinaan loji nuklear berbeza mengikut keperluan kapasiti penggunaan tenaga selain ia juga melibatkan kos operasi dan kos modal. Pembinaan loji nuklear adalah mahal pada peringkat awal namun penjanaan tenaga elektrik itu sendiri akan menjadi lebih murah berbanding loji arang batu.

Di Malaysia, jika tenaga nuklear digunakan, ia dapat menjimatkan kos operasi untuk menjana tenaga elektrik yang kita guna seharian jika dibandingkan dengan kos operasi arang batu. Sumber tenaga nuklear juga dapat menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara kita kerana jumlah tenaga dihasilkan sangat banyak.

tenaga nuklear 2

Nuklear Lebih Mesra Alam Berbanding Sumber Lain

Sumber tenaga nuklear ini mampu menjamin bekalan tenaga negara yang hari ini banyak bergantung kepada arang batu dan gas asli. Selain itu, ini juga sedikit sebanyak dapat meningkatkan simpanan atau rizab minyak mentah dan gas asli negara kita.

Tenaga nuklear juga sebenarnya tidak mencemarkan alam sekitar jika dibandingkan dengan tindak balas yang berlaku dalam menghasilkan tenaga-tenaga lain. Ini kerana tindak balas nuklear tidak mengeluarkan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global dan perubahan iklim. 

Gas rumah hijau paling banyak dikeluarkan oleh pembakaran hidrokarbon iaitu apabila negara kita membakar arang batu dan gas asli untuk menghasilkan tenaga. Ini pencemaran yang teruk kepada bukan sahaja Malaysia tetapi bumi kita sendiri kerana gas rumah hijau ini menyebabkan pemanasan global yang menyebabkan ais di kutub cair.

pencemaran nuklear

Peratusan Kemalangan Yang Lebih Rendah

Namun demikian, tenaga nuklear juga mempunyai kekurangannya tersendiri. Antaranya, pengendalian jana kuasa nuklear harus diberi perhatian yang tinggi kerana risiko kemalangan di loji janakuasa nuklear ini boleh menyebabkan kematian yang dahsyat. Secara statistik, peratusan kemalangan yang berlaku di janakuasa nuklear masih lagi rendah jika dibandingkan dengan loji kuasa lain.

Antara masalah lain ialah penempatan loji harus diambil kira kerana ia tidak boleh dilakukan di tempat-tempat yang berdekatan dengan penduduk kerana jika berlakunya kebocoran radiasi, ini akan menjejaskan nyawa penduduk yang tinggal berdekatan loji ini.

Pelupusan sisa nuklear dan radioaktif juga perlu diambil kira kerana ini boleh menyebabkan masalah pencemaran yang boleh menggugat kesihatan rakyat Malaysia. Pembuangan sisa-sisa ini seharusnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan dan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

bom atom

Penjanakuasa Nuklear Tidak Sama Seperti Bom Atom

Selain itu, tenaga nuklear juga dikaitkan dengan bom nuklear yang mampu membunuh ramai orang dengan mudah. Sebenarnya banyak salah faham bagi isu ini kerana tenaga nuklear boleh digunakan ke arah kebaikan seperti jana kuasa elektrik tetapi terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mencipta bom atom kerana mahu menyebabkan kemusnahan.

Disebabkan kos operasi tenaga nuklear lebih murah berbanding tenaga lain, banyak negara yang bercadang untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai satu alternatif. Negara-negara asia tenggara tidak terkecuali dalam mengadakan cadangan untuk memulakan pembinaan loji nuklear.

Loji tenaga nuklear mengambil masa daripada 5 hingga 15 tahun untuk disiapkan jadi banyak negara yang tidak melepaskan peluang untuk mengambil peluang ini. Vietnam telah bercadang untuk mengadakan loji kuasa nuklear sejak 1995 lagi tetapi cadangan hanya muncul pada tahun 2006. Ia dijangka akan beroperasi pada tahun 2018 menurut berita Utusan.

tenaga nuklear malaysia

Thailand Mungkin Bakal Memiliki Loji Tenaga Nuklear Lebih Awal Dari Malaysia

Thailand dikatakan bakal menyiap bina loji berkeupayaan 1000MW pada tahun 2021 tetapi terdapat beberapa isu yang berlaku. Pada 14 Mac 2011, Perdana Menteri Thailand mengarahkan Menteri Tenaga Negara untuk membuat kajian semula selepas berlakunya bencana nuklear di Fukushima. Pada 2012, Menteri Tenaga Thailand merangka draf pelan yang melihatkan fasiliti nuklear akan beroperasi pada tahun 2026. 

Dalam berita oleh Malay Mail Online, Ketua Eksekutif bagi Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC), Mohd Zamzam Jaafar berkata, Malaysia mungkin akan mempunyai jana kuasa nuklear sendiri pada tahun 2030.

Beliau berkata lagi, Malaysia telah berbincang dengan Agensi Tenaga Atomic Antarabangsa (IAEA) dalam menilai untuk membina loji kuasa di sini. Terdapat tiga fasa proses penilaian dan kita berada di tahap yang pertama iaitu fasa dalam membuat keputusan. Fasa kedua ialah pembinaan dan ketiga ialah fasa operasi.

sumber:

  1. Utusan Online
  2. Malay Mail Online
  3. Utusan Online



Hakcipta iluminasi.com (2017)