P. Ramlee boleh dikatakan seorang seniman yang paling popular dan tak akan dilupakan rakyat Malaysia. Bakatnya dalam bidang hiburan tanah air sukar dicari ganti dan jasanya sangatlah besar. Walaupun sudah beberapa kali menonton filem beliau, masih dirasakan tidak jemu. Begitu besar impaknya kehebatan beliau.
Namun, terdapat banyak cerita mengenai hidup P. Ramlee yang dikatakan melarat ketika penghujung hayatnya. Perkara ini disangkal sama sekali oleh rakan karib Allahyarham sendiri, iaitu komposer terkenal, Dato' Ahmad Nawab.
BESARKAN TEKS A- A+
Ahmad Nawab berasa sangat kesal dengan berita-berita yang tak berasas yang dikeluarkan oleh pihak media, yang langsung tidak mempunyai rujukan. Sebagai salah seorang rakan karib Allahyarham, beliau ingin masyarakat mengetahui cerita sebenar agar beliau terus dikenang dengan cara yang betul dalam temuramah oleh saudara Muhammad Azrul.
Berpindah ke Kuala Lumpur
P. Ramlee berhijrah dari Jalan Ampas, Singapura ke Kuala Lumpur pada tahun 1964. Ketika sampai di Kuala Lumpur, orang pertama yang dicari P. Ramlee adalah Ahmad Nawab. Kedua-duanya berkawan rapat sehinggalah P. Ramlee mengembuskan nafasnya pada 29 Mei 1973.
Menurut Ahmad Nawab, kenyataan rakannya itu hidup melarat di akhir baki kehidupannya adalah sangat tidak benar. Ia memandangkan P. Ramlee adalah satu-satunya seniman yang menerima gaji bulanan oleh syarikat Shaw Brothers sepanjang kariernya di situ.
Jika penggiat seni yang lain dibayar mengikut filem, P. Ramlee pula dibayar secara bulanan, dan bagi setiap filem dihasilkannya, beliau menerima RM25,000. Jumlah itu sangat tinggi ketika tahun 60-an.
Malah rumah yang didiami oleh P. Ramlee ketika itu, sewanya dibayar oleh Shaw Brothers melalui Merdeka Studio. Dan Saloma sendiri bekerja sebagai penyanyi di Hotel Embassy di Pulau Pinang, jadi ia adalah mustahil kewangan mereka menjadi begitu teruk.
"Saya mendengar pelbagai cerita P. Ramlee jatuh sehingga hanya terpaksa makan telur. Saya langsung tak percaya, kerana saya berkawan rapat dengannya sejak beliau berhijrah ke Kuala Lumpur sehingga menghembuskan nafas terakhir" kata Ahmad Nawab.
Ketika P. Ramlee menghembuskan nafas, Saloma memegang satu fail. Fail tersebut berisi polisi insurans bernilai RM100,000.
Berhenti dari Merdeka Studio
Pada tahu 1973, P. Ramlee mengambil keputusan untuk berhenti dari Merdeka Studio dan ingin menubuhkan studio sendiri. P. Ramlee dan Ahmad Nawab kemudiannya berjumpa dengan Datuk L. Krishnan untuk membincangkan projek itu, namun ia gagal.
Kemudian P. Ramlee bertemu dengan seorang lagi rakan baiknnya yang merupakan seorang ahli perniagaan, HM Shah. HM Shah sedia untuk memberikan bantuan dari segi kewangan. Dan ketika itu beberapa lagi seniman turut serta iaitu Salleh Ghani dan Jins Shamsudin.
Namun, Jins Shamsudin mahu menjadi ketua, dan jika beliau menjadi ketua, siapa yang mahu menyumbang dari segi kewangan. Ia menyebabkan usaha P. Ramlee untuk menubuhkan Rumpun Melayu Filem gagal. P. Ramlee kemudiannya kembali ke Merdeka Studio, namun meninggal dunia tak lama selepas itu.
P. Ramlee juga dikenali sebagai seorang yang suka membantu mereka yang memerlukan. Ramai yang datang ke rumah beliau untuk meminta bantuan kewangan terutamanya untuk pulang ke Pulau Pinang. Dan permintaan itu dibantu oleh P. Ramlee.
Kejatuhan disebabkan komplot
Menurut Ahmad Nawab, P. Ramlee mengalami zaman kejatuhan bukanlah kerana filemnya diboikot tetapi disebabkan kekangan yang dihadapi untuk berkarya dan komplot untuk menjatuhkan beliau.
Ketika itu, sebuah kesatuan hendak ditubuhkan oleh Jins Shamsuddin dan dalam masa yang sama mereka mengenepikan P. Ramlee. Namun berita penubuhan persatuan orang Melayu itu diketahui oleh pemimpin utama Singapura, lantas mengarahkan penutupan Shaw Brothers.
Ia membuatkan P. Ramlee terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur (1963) dan diarahkan oleh Shah Brothers untuk menyertai Merdeka Filem.
Dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur, P. Ramlee tidak begitu menyerlah seperti di Singapura, dan karya beliau mula dipertikai. Apa yang menyebabkan filem P. Ramlee tidak menyerlah bukan kerana kehabisan idea atau kurangya teknologi, tetapi disebabkan oleh P. Ramlee tidak mahu mengambil pelakon dari Singapura.
P. Ramlee berkeras untuk tidak mengambil pelakon-pelakon dari Singapura, walaupun mereka sudah terkenal dan banyak membantu menaikkan filem P. Ramlee. Ia mungkin disebabkan oleh P. Ramlee terasa hati dengan pelakon-pelakon itu yang cuba menjatuhkannya ketika di Singapura.
Hanya ada beberapa sahaja pelakon dari Singapura yang diambil oleh P. Ramlee seperti Sarimah dan Siput Sarawak.
Kedua-dua filem Keluarga 69 dan Gelora lakonan Siput Sarawak dan Sarimah dihasilkan menggunakan teknologi yang sama ketika di Singapura. Namun ia dikatakan kurang menjadi kerana P. Ramlee cuba sedaya upayaa untuk menggunakan apa sahaja yang ada di Kuala Lumpur ketika itu.
Semakin hilang sinarnya
Lebih menyedihkan, rasa hormat orang awam kepada P. Ramlee tidak lagi seperti mana beliau terima ketika berada di Singapura. Malah Ahmad Nawab berkata beliau sendiri tidak berasakan seniman berbakat ini sebagai seorang yang hebat ketika di Kuala Lumpur. Berlaku satu insiden yang agak menyayat hati dan masih diingati sehingga kini oleh Ahmad Nawab.
Ketika itu P. Ramlee dan Ahmad Nawab sedang minum di Kampung Baru dan kebetulan malam sebelumnya berlangsung konsert Pop Yeh Yeh di Stadium Negara. Datang seorang lelaki ke kedai tersebut dan beliau ditanya oleh P. Ramlee jika menghadiri konsert tersebut dan bagaimana sambutannya.
Lelaki itu menjawab sambutanya sangat hebat dan meriah lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama konsert seperti itu diadakan di ibu kota. Dan ketika itulah P. Ramlee kelihatan termenung jauh, dan berkata dalam loghat Pulau Pinang:
"Adakah akan ada orang yang akan mengingati aku nanti (selepas mati)?".