Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli
Penyanyi Haqiem Rusli mempunyai sebab tersendiri mengapa dia enggan menghasilkan lagu kepada penyanyi wanita.
Malah Haqiem juga antara penyanyi lelaki yang jarang menayangkan foto bersama kaum wanita di laman Instagram.
Penyanyi remaja berusia 19 tahun itu menegaskan ia adalah prinsip yang dipegang dan dia tidak akan sekali-kali mengubah pendirian itu.
Menjawab soalan yang diajukan wartawan Sudirman Mohd Tahir dalam program Konti Karat, Haqiem memberitahu dia sememangnya tidak akan memuat naik gambar dengan wanita yang menayangkan aurat.
“Bukan nak berlagak alim atau tunjuk bagus tapi saya tidak mahu menjadi punca dosa. Tetapi saya tak pernah membataskan diri bergambar dengan peminat wanita," katanya.
Malah penyanyi lagu Tergantung Sepi itu akui dia kini sedang mengubah diri menuju ke arah kebaikan.
Meskipun industri muzik dilabel ramai sebagai dunia yang melalaikan, namun penyanyi itu percaya kebaikan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara.
Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli
“Saya mahu berubah ke arah kebaikan. Selepas sekolah saya mulai sedar tentang banyak perkara. Ramai yang beranggapan bidang muzik ini melalaikan, tapi sebenarnya banyak cara yang kita boleh lakukan ke arah kebaikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Haqiem yang juga seorang komposer turut bercakap tentang single ketiganya, Jatuh Bangun hasil ciptaannya sendiri dan Omar K.
Lagu itu bakal menjadi salah sebuah lagu dalam album sulung yang masih dalam proses pembikinan. Antara lagu lain yang dimuatkan termasuk empat lagu baru bersama dua single terdahulu, Segalanya dan Tergantung Sepi.
Lebih info dalam temubual bersama Haqiem akan ditayangkan dalam rancangan Konti Karat bersama hos Shuib Sepahtu, bersiaran hari ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima dan Maya HD.
Sumber berita: Astro Gempak