Sumber foto: New Straits Times / Iqmal Haqim Rosman
Menurut siasatan polis, abang kandung mangsa dera berumur 9 tahun yang meninggal dunia, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, dipercayai juga menjadi mangsa sifat tidak berperikemanusiaan bapa mereka.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad memberitahu bahawa suspek mengaku mendera anak lelakinya yang berumur 11 tahun itu, namun tidak seteruk yang diberikan ke atas Allahyarham Nur Aina Nabihah.
"Hasil siasatan polis, suspek mengaku turut memukul kanak-kanak lelaki itu yang tinggal bersamanya," ujarnya semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson semalam.
Nur Aina Nabihah meninggal dunia pada 31 Januari lepas, dipercayai kerana didera bapa kandung dan ibu tirinya. Keputusan bedah siasat kemudiannya mengesan mangsa cedera pada buah pinggang, ususnya terkoyak dan patah tulang rusuk.
Oleh itu, pasangan suami isteri itu yang masing-masing berumur 35 dan 34 tahun, ditahan reman 7 hari sehingga semalam bagi tujuan membantu siasatan.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret semalam, mengizinkan reman pasangan tersebut dipanjangkan 7 hari lagi untuk membenarkan pihak polis melengkapkan siasatan.
Majistret Siti Khariah Abdul Razak, mengizinkan permohonan terbabit yang dilakukan oleh Inspektor Muhammad Firdaus Abd Razak selaku pembantu pegawai penyiasat.
Sumber berita: BH Online