Oleh pada 16 Dec 2017 kategori

Dilahirkan dalam keluarga diraja bukanlah sesuatu yang diminta, dan juga bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun banyak kelebihan yang diterima, namun tanggungjawab dan protokol yang perlu dilalui sangatlah mencabar.

Juga, ada di antara mereka yang sanggup melepaskan gelaran diraja, atas sebab-sebab tertentu. iluminasi.com ingin berkongsi 9 individu yang melepaskan gelaran sebagai kerabat diraja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

9. Putera Philip (Greece dan Denmark)

putera philip

Pada 28 Februari 1947, selepas menjadi warganegara British, Putera Philip telah melepaskan haknya sebagai pewaris kepada bukan satu takhta, tetapi dua. Putera Philip sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai putera Greece dan Denmark.

Namun, beliau berjauhan dengan ibu bapanya ketika membesar, dan menghabiskan masa remajanya di sekolah di Scotland. Keputusan melepaska takhta tersebut dibuat dengan mudah oleh Putera Philip bagi meneruskan hasrat beliau untuk menjadi suami kepada Puteri Elizabeth II, iaitu Ratu United Kingdom ketika ini.

Dan kini, beliau adalah sebahagian daripada keluarga diraja paling terkenal di dunia, dan juga merupakan bapa kepada Putera charles, pewaris takhta British.

8. Raja Carol II (Romania)

raja carol ii

Bagi keluarga diraja Romania, Raja Carol II merupakan putera paling nakal. Beliau menjadi satu kekecewaan kepada keluarganya, selepas mengahwini 2 orang kebanyakan dalam hidupnya. Ketika beliau muda, cintanya yang tidak direstui bersama Zizi Lambrino menyebabkan mereka terpaksa kahwin lari, pada tahun 1918.

Namun, perkahwinan yang dikecam ibu bapanya itu tidak bertahan lama, dan telah dibatalkan. Beliau kemudiannya berkahwin dengan dua pupunya, Puteri Helen dari Greece, namun hanya bertahan selama 7 tahun.

Hubungan cinta beliau bersama seorang gadis kebanyakan, Magda Lupescu akhirnya memaksa Raja Carol II untuk melepaskan gelaran diraja dan dibuang dari istana pada tahun 1925. 

Pada tahun 1930, beliau pulang ke istana untuk memerintah Romania, namun sekali lagi dipaksa untuk berundur dari takhta, pada tahun 1940. Akhirnya, Raja Carol II mengahwini kekasihnya, Magda pada tahun 1947.

7. Putera Friso (Belanda)

putera friso

Walaupun tahu bahawa tindakan beliau akan membuatkan Putera Friso, atau nama penuhnya Johan Friso Bernhard Christiaan David, hilang hak untuk menjadi raja Belanda, beliau langsung tidak teragak-agak untuk meminang bakal isterinya, Mabel Wisse Smit. Pasangan ini bertemu kali pertama di Brussels melalui adik Johan. 

Pasangan ini menjadi sangat popular dan disayangi oleh rakyat Belanda walaupun pada mulanya timbul keraguan terhadap latar belakang Mabel. Pada tahun 2004, Johan Friso mengahwini Mabel Smit, dan bekerja di sektor kewangan.

Pada 17 Februari 2012, Johan ditimpa kemalangan ketika bermain ski di Austria, membuatkan beliau berada dalam keadaan koma. 18 bulan kemudian, pada 12 Ogos 2013, Johan Friso meninggal dunia akibat beberapa komplikasi.

6. Puteri Nori (Jepun)

puteri nori

Selepas melangkah keluar daripada pagar istana, namanya bukanlah lagi Puteri Nori, tetapi Puan Sayako Kuroda. Sayako mengambil keputusan untuk melepaska gelaran dan kelebihan sebagai keluarga diraja bagi mengahwini buah hatinya sejak kecil, Yoshiki Kuroda.

Ketika meninggalkan istana, Sayako hanya mengambil sebuah meja, sebuah almari dan juga wang bayaran dari kerajaan bagi melicinkan perlihan hidupnya sebagai orang biasa. Sebagai orang kebanyakan, beliau perlu belajar memandu, menggunakan pengangkutan awam dan keluar membeli-belah sebagai mana orang awam.

Sayako mengakui zaman berasa tidak senang membesar dalam keadaan mengetahui hidupnya sudah diatur untuk mewarisi empayar negara. Ibu beliau mengalami masalah kesihatan serius pada awal 1990-an akibat tekanan hidup di istana.

5. Puteri Cristina (Sepanyol)

puteri cristina

Puteri Infanta Cristina merupakan anak perempuan bongsu kepada Raja Juan Carlos dan Permaisuri Sofia dari Sepanyol. Seperti yang lain dalam senarai ini, Puteri Cristina tidak melepaskan gelarannya dengan rela.

Walaupun laporan mendakwa beliau menyatakan kesediaan untuk melepaskan gelaran dirajanya, namun siasatan penipuan cukai terhadap Puteri Cristina dan suaminya membuatkan adiknya, Raja Felive VI, terpaksa menelefon dan memberitahu bahawa beliau tidak lagi menjadi sebahagian daripada keluarga diraja.

Puteri Cristina merupakan ahli keluarga diraja Sepanyol pertama dalam sejarah yang didakwa di mahkamah atas skandal penipuan cukai. Pada Februari 2017, beliau didapati tidak bersalah, namun suaminya, Inaki Urdangarin dijatuhkan hukuman 6 tahun 3 bulan penjara.

Disebabkan maruah diraja yang tercalar, Raja Felipe IV terpaksa menjauhkan diri daripada kakaknya bagi memperbaiki imej keluarga diraja.

4. Putera Lennart Bernadotte (Sweden)

lennart bernadotte

Perkahwinan di antara Lennart Bernadotte dengan kekasihnya, Karin Nissvandt, yang merupakan orang kebanyakan pada tahun 1932, telah menimbulkan kekecohan di Sweden. Tindakan tersebut tidak mendapat restu daripada ibu bapanya dan tanpa kebenaran diraja.

Lennart yang juga merupakan cucu kepada Raja Sweden, Raja Gustaf V terpaksa melepaskan peluang mewarisi takhta pemerintahan Sweden, bagi mengahwini Karin. Pasangan ini terpaksa terbang ke London bagi melangsungkan perkahwinan mereka.

Beliau menganggap dirinya diberikan layanan yang sangat kejam oleh Mahkamah Diraja Sweden kerana perkahwinannya bersama Karin. Karin pula mengalami masalah mental psikosis yang membawa kepada perpisahan pasangan ini pada tahun 1971.

3. Puteri Ubolratana (Thailand)

ubolratana rajakanya

Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi adalah anak sulung kepada Raja Bhumibol Adulyadej dan Ratu Sirikit, keluarga diraja Thailand. Kerana cintanya dan hasrat untuk mengahwini kekasihnya, Peter Ladd Jensen yang merupakan orang kebanyakan, beliau dipaksa melepaskan gelaran diraja.

Namun, pasangan yang dikurniakan 3 cahaya mata ini berpisah pada tahun 1998, membawa kepada kepulangan Puteri Ubolratana ke thailand. Tsunami pada tahun 2004 yang melanda Thailand dengan dahsyatnya, menyebabkan terbunuhnya anak kedua beliau yang mengalami masalah autistik, Bhumi.

Sejak kejadian itu, Puteri Ubolratana menubuhkan yayasan bagi membantu kanak-kanak autisma dan masalah pembelajaran yang lain.

2. Puteri Mako (Jepun)

puteri mako

Pada Mei 2017, Puteri Mako dari Jepun telah mengumumkan pertunangan beliau dengan seorang jejaka yang dikenali ketika sama-sama belajar di International Christian University di Tokyo.

Dan mengikut undang-undang imperial Jepun, pertunangan ini bermakna Puteri Mako harus melepaskan takhta yang bakal diwarisinya, disebabkan oleh tunang beliau, Kei Komura adalah orang kebanyakan.

Keputusan tersebut telah mencetuskan perdebatan yang agak tegang di kalangan pewaris-pewaris takhta. Walaupun beliau bukanlah individu yang akan mewarisi takhta itu, namun bapa Mako berada di kedudukan kedua pewaris takhta empayar Jepun.

Puteri Mako masih belum mendedahkan rancangan hidupnya selepas meninggalkan keluarga diraja. Namun, beliau tak perlu risau kerana ibu saudaranya, Sayako Kuroda, yang merupakan keluarga diraja pertama menjadi orang kebanyakan, boleh memberikan tips-tips menjalani kehidupan sebagai orang kebanyakan.

1. Raja Edward VIII (United Kingdom)

raja edward viii

Perunduran takhta oleh Raja Edward VIII akibat skandal berat dikatakan sebagai pelepasan gelaran diraja paling terkenal di dunia. Ketika masih bergelar putera diraja sekitar tahun 1920-an, beliau mempunyai beberapa hubungan dengan wanita bersuami, seterusnya mencetuskan skandal.

Dan ketika kematian bapanya pada tahun 1936 membuatkan keadaan menjadi semakin teruk. Ketika itu Edward mempunyai skandalnya bersama seorang wanita Amerika Syarikat, Wallis Simpson, dan pada Oktober 1936, Wallis diceraikan buat kali ketiga.

Ia membuka jalan kepada Edward untuk mengahwini Wallis. Perkahwinan mendapat tentangan hebat oleh penasihat-penasihat Edward.  Tindakan untuk mengahwini wanita yang diceraikan itu dikatakan amat sukar difahami kerana beliau merupakan ketua Gereja England pada ketika itu.

Disebabkan tiada jalan lain, akhirnya Edward melepaskan takhta secara terbuka pada 11 Disember 1936. Beliau meninggalkan Eropah keesokan harinya dan takhta itu diambil alih oleh adiknya, George VI. 

Edward dan Wallis disatukan pada tahun 1937 dan tinggal di Perancis, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1972 akibat barah tekak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Diraja, di Windsor, England.




Hakcipta iluminasi.com (2017)