Negara kita pernah dikejutkan dengan kes seorang pelancong luar dari India yang telah jatuh ke dalam lubang di kawasan pejalan kaki secara mengejut yang mengakibatkan dirinya belum dapat ditemui sehingga artikel ini ditulis.
Sebelum kes sama berulang lebih kerap, apa kata kita rakyat Malaysia mempelajari serba sedikit tentang kerosakan pada permukaan jalan yang ada mengikut kategorinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Majoriti antara kita tahu tentang 'lubang' atas jalan, tetapi tahukah anda secara rasmi ada 9 jenis kategori kerosakan yang wujud dan sebahagiannya memberi risiko besar sekiranya tidak diselia.
1. Retak Kulit Buaya
Retak Kulit Buaya atau alligator cracking merupakan satu jenis kecacatan permukaan yang paling kerap dilihat, melalui corak retakan yang bersambung menyerupai corak kulit buaya.
Retak jenis ini berlaku akibat beban trafik yang konsisten, sokongan asas permukaan yang lemah dan mungkin juga disebabkan ketebalan lapisan turapan yang tidak mencukupi.
2. Retak selari
Retak selari atau retak longitudinal adalah retak yang terbentuk selari dengan garisan tengah turapan.
Retak jenis ini berlaku kerana pembinaan sambungan yang tidak baik, pergerakan tanah dan boleh juga terbentuk bila berlakunya satu jenis retakan lain iaitu iaitu retakan reflektif daripada lapisan asas di bawah turapan.
3. Retak transversal
Retak transversal berlaku apabila garis retakan terbentuk secara tegak dan lurus dengan garisan tengah turapan.
Retak ini biasanya berpunca daripada perubahan suhu yang ekstrem, pengecutan asfalt dan juga merupakan sinambungan retakan lain yang berpunca daripada lapisan asas.
Suhu menjadi punca utama kenapa retakan ini berlaku. Apabila suhu berubah mendadak, turapan permukaan mengalami pengembangan dan pengecutan yang tidak sekata seterusnya menyumbang kepada kelemahan struktur.
4. Retakan blok
Anda pernah melihat kerosakan permukaan seperti ini? Inilah yang dinamakan retakan blok.
Retakan blok ialah retak-retak yang membentuk pola seperti blok-blok segi empat disebabkan pengecutan asfalt akibat usia penggunaan, suhu rendah atau berpunca semasa pembinaan lagi, bila berlaku campuran asfalt yang tidak sesuai.
5. Retak tepi
Retak tepi atau edge crack adalah retakan yang terbentuk berhampiran bahagian tepi turapan.
Puncanya pula disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak baik serta ketiadaan sokongan yang mencukupi di bahagian tepi permukaan laluan. Anda perlu tahu, pertumbuhan tumbuh-tumbuhan di bahagian tepi laluan juga mampu mengakibatkan keretakan sebegini.
6. Lopak
Satu lagi kecacatan yang biasa ditemui adalah lopak atau lubang. Dalam bahasa Inggeris, digelarkan potholes.
Lopak terbentuk apabila terdapat rekahan kecil yang akhirnya membentuk mangkuk pada permukaan turapan. Punca utamanya adalah takungan air yang akhirnya mendap menyebabkan keletihan pada asfalt.
Lopak bukan sahaja mengganggu pemanduan, tetapi juga boleh merosakkan kenderaan. Siapa yang pernah kena rim bengkok, memang benci dengan lopak.
7. Retakan pelerai
Retakan pelerai atau raveling crack adalah proses di mana zarah-zarah agregat yang membentuk permukaan turapan mula terlerai, menyebabkan permukaan turapan menjadi kasar dan tidak rata.
Kecacatan ini sering disebabkan oleh usia penggunaan bahan yang mengikat asfalt sudah menjadi semakin lemah dan proses penurapan semula perlu dijalankan. Selain itu penggunaan bahan berkualiti rendah atau pemadatan yang tidak mencukupi semasa pembinaan juga menyumbang kepada masalah ini.
8. Jalan beralun
Jalan beralun atau shoving adalah situasi di mana jalan yang asalnya mempunyai permukaan rata, akhirnya membentuk apa yang diklasifikasikan sebagai jalan berombak atau jalan beralun. Daripada kerosakan itu, boleh wujud masalah-masalah lain seperti lopak, retak dan sebagainya.
'Shoving' boleh ditemui di mana penggunaannya aktif seperti di kawasan persimpangan utama. Selain akibat penggunaan, alunan juga boleh terbentuk akibat kesilapan bancuhan semasa membina permukaan yang menggunakan bahan terlalu halus dan lembut sebagai campuran.
9. Lebihan bitumen
Pernah tak anda berhadapan dengan jalan yang kelihatan terlalu berkilat di beberapa bahagian? Kecacatan ini dinamakan sebagai bleeding, terjadi apabila bitumen iaitu bahan yang digunakan sebagai adunan permukaan jalan diaplikasi secara berlebihan, yang menjadikannya licin atau berkilat.









