apa yang berlaku kepada mayat selepas mati

Ajal dan kematian adalah antara salah satu rahsia yang tak akan diketahui manusia, sehinggalah ia berlaku. Semua yang hidup di muka Bumi ini pasti akan merasainya, sama ada hari ini, esok atau akan datang.

Dan sudah tentu terdapat beberapa perkara yang akan berlaku kepada mayat anda, namun ia tak akan diketahui anda kerana ketika itu anda sudah tidak lagi bernyawa.

iluminasi.com kongsikan 8 perkara yang akan berlaku kepada tubuh manusia selepas meninggal dunia.

1. Membusuk

mayat mereput

Di dunia ini tak ada yang abadi termasuklah mayat manusia yang telah meninggal dunia. Dan walaupun seseorang itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, namun tubuhnya tidak akan terus mati.

Sistem dalam tubuh badan kita akan berhenti berfungsi secara perlahan-lahan. Otak akan terhenti, jantung berhenti mengepam darah dan otot-otot akan berehat, dan membusuk.

Proses membusuk ini berlaku dibantu oleh bakteria yang terdapat dalam badan kita. Disebabkan sistem imun tubuh yang sudah terhenti, ia membuatkan bakteria menjadi tidak terkawal lalu memakan dari dalam.

Satu-satunya bahagian dalam badan yang memerlukan masa yang lebih lama untuk reput sepenuhnya berbanding yang lain adalah tulang.

2. Perubahan warna kulit kepada ungu

livor mortis

Ramai orang yang menyangkakan bahawa setelah meninggal dunia, tubuh badan akan berubah menjadi pucat seperti hantu. Fakta ini tidaklah tepat namun juga tidak salah. Apa yang pasti adalah warna pada mayat akan berubah dan perubahan warna bergantung kepada keadaan.

Sebenarnya, tak semua mayat akan berubah menjadi pucat. Mungkin bahagian yang menghadap ke atas berubah menjadi pucat namun sebaliknya berlaku kepada bahagian bawah, di mana ia akan berubah menjadi warna ungu.

Ini disebabkan oleh jantung berhenti mengepam darah dan darah-darah tersebut akan terkumpul di bahagian bawah, atau dikenali sebagai livor mortis.

3. Menjadi baja penuh nutrisi

tanaman di tanah perkuburan yang subur

Tumbuh-tumbuhan dan tanaman akan menjadi subur jika disiram dan diberikan baja. Bercakap mengenai baja, tubuh badan manusia juga sebenarnya boleh menjadi baja untuk menyuburkan tanaman. Tetapi sehingga kini masih belum ada di mana-mana bahagian dunia yang menjual baja yang diperbuat daripada tubuh manusia.

Setelah tubuh manusia membusuk, ia akan bertukar menjadi baja menyalurkan nutrisi penting kepada tumbuhan sekitar. Jadi tak hairanlah jika banyak tumbuhan di kawasan perkuburan berada dalam keadaan yang sihat dan subur.

4. Kedut pada wajah boleh hilang

kedut wajah hilang selepas mati

Biasanya kedut pada wajah berlaku setelah seseorang itu dimakan usia. Namun pada hari ini ramai juga yang masih muda namun mempunyai kedutan pada wajah.

Salah satu cara untuk mengembalikan ketegangan pada wajah adalah melakukan rawatan yang mahal di klinik-klinik swasta. Namun terdapat satu cara lagi yang boleh membuatkan wajah anda bebas daripada kedutan, iaitu dengan meninggal dunia.

Disebabkan otot berada dalam keadaan relaks, ia membuatkan otot tegang yang membuatkan wajah berkedut menjadi kendur. Dengan ini, kedutan tersebut akan hilang.

5. Melahirkan bayi di dalam kubur

coffin birth

Pernahkah anda tahu tentang istilah "coffin birth" atau melahirkan anak di dalam kubur. Banyak filem seram memaparkan perkara ini dan ia mungkin terjadi jika seseorang wanita itu meninggal dunia dalam keadaan hamil.

Walaupun kejadian ini sangat jarang berlaku, namun ia tidak mustahil. Ketika tubuh badan tidak lagi berfungsi, otot-otot akan berada dalam keadaan berehat, namun gas-gas yang tersimpan di bahagian perut akan keluar membuatkan bayi yang terkandung juga terkeluar.

6. Ereksi

ereksi pada mayat

Agak aneh bunyinya namun ia boleh berlaku. Ereksi biasanya akan berlaku ketika berlaku rangsangan dan ia termasuk dalam perkara yang boleh berlaku ketika seseorang itu telah meninggal dunia.

Akan tetapi, ereksi oleh mayat tidaklah sama dengan apa yang berlaku kepada manusia hidup. Setelah seseorang lelaki meninggal dunia, jantung akan berhenti mengepam darah dan ia akan bergerak lalu terkumpul di bahagian badan yang paling rendah.

Jika tubuh diarahkan ke bawah maka alat sulit akan menjadi bahagian badan terendah, mendorong darah berkumpul di kawasan ini lalu menyebabkan berlakunya ereksi pada alat sulit.

7. Mengerang

mayat boleh mengeluarkan bunyi

Pasti ada yang kurang percaya dengan perkara ini kerana tak mungkin orang yang sudah mati boleh mengeluarkan suara apatah lagi mengerang.

Malah ada yang menganggap mayat tersebut dirasuk hantu. Namun, untuk mayat mengeluarkan suara adalah tidak mustahil.

Setelah meninggal dunia, udara dan gas-gas dalam badan yang terperangkan akan keluar. Dan di antara gas-gas ini, ada yang akan keluar melalui pitas suara. Hal ini menyebabkan mayat boleh mengerang atau berdengkur. 

8. Terkentut 

mayat boleh terkentut

Kentut oleh orang yang hidup dan mayat sudah semestinya tak sama kerana orang yang masih hidup berasa malu apabila melakukannya tetapi tidak kepada mayat.

Seperti yang dijelaskan, tubuh yang sudah tidak bernyawa akan menyebabkan otot-otot berada dalam keadaan relaks, termasuk otot yang menahan kentut.

Dan ia menyebabkan gas dalam perut keluar daripada sistem tanpa sebarang halangan menyebabkan berlakunya kentut. Jika anda berhadapan dengan situasi ini, jangan terkejut dan beranggapan mayat masih bernyawa pula.


tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)