Trend menghisap 'vape' atau 'rokok elektronik' sudah menjadi satu kegilaan masyarakat Malaysia ketika ini, apatah lagi dengan teknik pemasaran yang giat dijalankan menyebut bahawa 'vape' ini merupakan alternatif lebih baik berbanding rokok tembakau biasa.

Di sana sini dapat dilihat alat vape yang lebih kecil serta menggunakan sambungan jenis 'pod' menjadi popular, sudah dijual di kedai-kedai runcit - berbeza dengan demam vape sebelum ini yang gagal menembusi pasaran sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

bahaya vape pod nano

Tetapi beberapa laporan yang baru saja didedahkan, menunjukkan kepercayaan penghisap vape bahawa hobi yang mereka lakukan itu tidak berisiko - sebenarnya tidak berasas. Ini kerana di Amerika Syarikat, negara terawal di mana demam 'vape' berasaskan sistem pod bermula - kes-kes kematian sudah pun dilaporkan berlaku.

Walaupun baru dalam skala kecil, tetapi kekerapannya semakin lama semakin bertambah pula.

Bilakah kes-kes kematian dilaporkan berlaku?

kematian melibat vape

Budaya menggunakan peralatan 'vape' sudahpun bermula lebih sedekad lamanya, namun laporan berkenaan peningkatan penyakit disebabkan tabiat itu, hanya mula dilaporkan pada tahun 2019.

Satu siasatan oleh jabatan kesihatan di Illinois dan Wisconsin mendapati wujudnya satu kumpulan anak muda seramai 53, dengan purata usia 19 tahun mengalami masalah kesihatan akibat pernafasan. Kesemuanya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi dan separuh daripada mereka memerlukan mesin untuk bernafas.

Dilaporkan mereka mengalami masalah batuk, sakit dada dan sesak nafas sebelum disahkan perlu ditahan di hospital. Beberapa orang antara mereka mengalami masalah cirit birit, letih, demam dan hilang berat badan.

Setelah dimasukkan ke hospital - majoriti pesakit didapati mempunyai simptom yang serupa; sindrom kesukaran pernafasan di mana paru-paru mereka didapati sudah dipenuhi dengan cecair, menyebabkan oksigen gagal disalurkan ke anggota tubuh.

Berapa orang sudah dijangkiti?

imbasan x paru paru

Sehingga bulan September 2019, laporan rasmi merekodkan 450 orang jumlah pesakit sedang dirawat disebabkan oleh tabiat menghisap vape, merangkumi 33 negeri di Amerika Syarikat.

Setakat ini, jumlah mereka yang telah meninggal dunia belum dapat disahkan tetapi jumlah yang sudah dilaporkan adalah seramai 3 orang. Majoriti mereka yang telah meninggal dunia dilaporkan berusia dewasa dan belum ada laporan memetik kematian berlaku di kalangan anak muda.

Kenapa kematian berlaku?

bahaya nikotin vape salt nikotin

Sehingga kini belum ada pengesahan mengapa vape menyebabkan kematian. Bagaimanapun, kajian yang dijalankan FDA Amerika Syarikat mendapati wujudnya hubungan di antara minyak yang dihasilkan daripada unsur vitamin E acetate, terkandung dalam produk vape. Minyak itu dipercayai dihasilkan daripada bahan marijuana, penyebab utama kes yang menyebabkan kematian.

Walau demikian, setakat ini pihak kesihatan Amerika Syarikat belum dapat mengenalpasti punca sebenar kes-kes kematian - sama ada disebabkan oleh pengguna mencampurkan ganja ke dalam vape mereka atau pengeluar produk tidak berdaftar sendiri menggunakan bahan tersebut, tanpa mereka ketahui kesannya.

Apakah risiko yang bakal dihadapi penghisap vape?

kandungan cecair dalam darah

Beberapa kumpulan media sudahpun mengeluarkan kenyataan untuk memberhentikan semua aktiviti pengiklanan yang melibatkan produk vape, khasnya yang berjenama Juul. Ini disebabkan oleh satu laporan yang dikeluarkan pada 6 September 2019 oleh New England Journal of Medicine yang memperincikan beberapa kes kematian yang berlaku, tanpa berselindung.

Seorang pemuda berusia 21 tahun yang tidak pernah mengalami masalah kesihatan menghadapi masalah batuk, sakit dada, muntah-muntah dan mudah pening. Pada mulanya dia diberikan rawatan untuk melawan penyakit pneumonia yang dipercayai disebabkan oleh kehadiran bakteria.

Bagaimanapun, keadaan beliau semakin kritikal sehingga tiub perlu dimasukkan ke dalam dada, bagi membolehkan dia terus bernafas. Kajian yang dijalankan ke atas sampel cecair daripada paru-paru pemuda itu mendapati tidak wujud jangkitan bakteria. Selepas lebih 7 hari dirawat, kandungan cecair yang badan dalam paru-paru beliau mula menurun membolehkan tiub bantuan pernafasan dikeluarkan. 2 minggu selepas diterima masuk, pesakit dibenarkan keluar.

jenis jenis vape pod

Laporan berkaitan pemuda itu menyebut bahawa berlakunya kerosakan pada bahagian dinding paru-paru beliau, dengan kehadiran unsur yang dinamakan sebagai 'lipid' menyebabkan wujudnya kekangan dalam saluran paru-paru untuk berfungsi dengan sempurna.

Sampel yang diperolehi juga menunjukkan wujudnya banyak tompokan-tompokan minyak berwarna merah, berbentuk O (oil red O stain); sama seperti kes-kes lain yang berlaku di beberapa buah negeri. Buat masa sekarang, penyelidik masih lagi dalam proses mengesahkan penemuan awal mereka tetapi kehadiran unsur 'lipid' dalam sampel, menunjukkan kemungkinan tinggi sakit yang dirasai berpunca daripada tabiat pengambilan vape oleh pemuda tersebut.

Rujukan:

Teenager hospitalized after vaping with THC: "My lungs are like a 70-year-old's"

Pulmonary Lipid-Laden Macrophages and Vaping




Hakcipta iluminasi.com (2017)