Kebanyakan negara di dunia mengamalkan undang-undang anti pengguguran bayi kerana alasan yang baik. Ia bagi mengelakkan zina atau pergaulan bebas antara lawan jantina. Ada negara yang membolehkan pengguguran sekiranya terjadi beberapa kondisi seperti mangsa rogol, sumbang mahram atau mengancam nyawa ibu dan janin.

Namun, terdapat beberapa negara di mana semua alasan diketepikan. Di negara-negara yang kami akan senaraikan ini mempunyai sejarah dan latar belakang yang berbeza dalam keputusan mereka untuk sama ada mengharamkan atau mengenakan peraturan yang begitu ketat dalam isu ini walaupun ia melibatkan nyawa. Berikut adalah senarai beberapa negara dengan undang-undang pengguguran bayi paling ketat dalam dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Ireland Utara (UK)

penyokong anti pengguguran di ireland utara

Undang-undang di Ireland Utara selalunya agak berbeza dengan negara-negara lain di United Kingdom seperti England, Scotland dan Wales. Ini kerana negara ini mempunyai latar belakang penganut Katolik yang kuat.

Antara undang-undang yang berbeza adalah mengenai pengguguran bayi. Di England, Scotland dan Wales, undang-undang mengenainya agak liberal tetapi di Ireland Utara undang-undang mengenainya adalah antara yang paling ketat di Eropah.

Para ibu di Ireland Utara hanya dibenarkan melakukan pengguguran sekiranya nyawa mereka berada dalam keadaan bahaya sahaja. Kehamilan akibat dirogol dan sumbang mahram perlu diteruskan juga.

Walaupun begitu, sebagai warganegara UK, wanita Ireland Utara adalah bebas untuk melancong ke negara lain di UK dan melakukan pengguguran secara sah di sana. Bahkan, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan akan melakukannya dengan percuma.

7. Poland

kumpulan aktivis pengguguran di poland

Pada masa ini, undang-undang pengguguran Poland adalah antara yang paling mengutamakan nyawa di benua itu. Ia hanya boleh dilakukan sekiranya nyawa ibu dalam bahaya, kes rogol atau janin mengalami kerosakan yang tidak dapat diperbaiki. Walaupun ia lebih longgar berbanding undang-undang Ireland Utara, namun ada sebab mengapa Poland berada di kedudukan yang lebih rendah.

Ini kerana kerajaan Poland dalam usaha untuk terus mengharamkan pengguguran. Ia malah lebih teruk sekiranya ia dilaksanakan kerana rakyat Poland tidak mempunyai kebebasan melakukannya di luar negara seperti rakyat Ireland Utara. Peraturan ketat ini berpunca daripada latar belakang Katolik yang kuat di negara itu.

Namun, cadangan pengharaman pengguguran bayi terpaksa dihentikan setelah bantahan besar-besaran berlaku di 60 buah bandar. Ini menyebabkan Poland yang merupakan salah satu negara yang mempunyai ajaran agama terkuat di dunia itu hampir lumpuh.

6. Mexico

penyokong anti pengguguran di mexico city

Mexico adalah sebuah negara yang sukar dinilai untuk dimasukkan dalam senarai ini. Ini kerana kesemua 31 buah negerinya mempunyai undang-undang yang berbeza mengenai pengguguran bayi. Walaupun ibu negerinya membenarkan pengguguran janin yang kurang daripada 12 minggu, namun terdapat beberapa negeri yang tidak membenarkannya walaupun nyawa si ibu dalam bahaya.

Hanya 13 buah negeri sahaja yang lebih mengutamakan nyawa ibu berbanding janin. Manakala 16 negeri pula menegaskan perlembagaan mereka bahawa kehidupan bermula sejak awal mengandung lagi.

Bagi kes keguguran pula, ujian akan dilakukan untuk memastikan bayi mati sebelum gugur lagi. Jika bayi itu mati selepas keluar dari rahim, ia akan dikira sebagai pengguguran sengaja dan ibu boleh dipenjarakan.

Undang-undang pengguguran bawah 12 minggu yang digunapakai di Mexico City sebenarnya merupakan antara yang paling longgar di seluruh Amerika Latin.

5. Korea Utara

kanak kanak di korea utara

Sejak dari tahun 1950-an, pengguguran bayi adalah sah di Korea Utara. Jadi, mengapa negara komunis ini termasuk dalam senarai ini? Ini kerana sejak Kim Jong-Un naik berkuasa, dia telah memutuskan untuk memperkenalkan undang-undang anti pengguguran. Ramai rakyatnya sendiri yang tidak bersetuju.

Sejak 2015, Kim telah mengharamkan pengguguran dalam apa jua keadaan. Ramai pemerhati luar yang mendakwa pengharaman ini dilakukan bukan atas etika peribadi Kim tetapi disebabkan penurunan kadar kelahiran yang teruk sejak dia mengambil alih pimpinan kerajaan negara komunis itu daripada bapanya.

4. Chile

kumpulan anti pengguguran di chile

Chile adalah negara pertama dalam senarai ini yang menggunakan larangan mutlak terhadap undang-undang pengguguran tidak kira sama ada ianya berkaitan kes pemerkosaan, sumbang mahram atau kes yang membahayakan nyawa ibu atau bayi.

Pada tahun 1931, pengguguran untuk menyelamatkan nyawa si ibu masih boleh dilakukan. Namun, tidak lama selepas itu negara itu diperintah oleh diktator Pinochet dan semua undang-undang itu diharamkan sepenuhnya. 

Undang-undang yang dilaksanakan Pinochet itu sering dikaitkan dengan penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukannya dan membuatkan rakyat berasa kurang senang tentang perkara itu. Kini, Chile di ambang untuk menilai semula undang-undang pengguguran ketat itu dan memberikan sedikit ruang kepada kes rogol, sumbang mahram dan yang melibatkan risiko nyawa.

3. Malta

para penyokong anti pengguguran di malta

Malta merupakan negara terakhir yang masih mengharamkan pengguguran bayi sepenuhnya walaupun untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Negara kecil yang terkenal dalam sejarah menjadi kubu kuat Katolik itu juga mempunyai beberapa undang-undang lain yang agak pelik.

Penceraian adalah diharamkan di Malta sehinggalah dibolehkan pada tahun 2011 dan anda boleh dipenjara sehingga 6 bulan sekiranya didapati bersalah menghina Katolik. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Malta mempunyi undang-undang pengguguran yang konservatif.

Pada hakikatnya, kebanyakan doktor di Malta beranggapan bahawa membiarkan ibu dan bayi mati bersama adalah sesuatu jenayah moral yang lebih besar. Jadi mereka tetap melakukan apa yang perlu sekiranya ia mengancam nyawa si ibu. Sehingga kini tiada seorang doktor moden di Malta yang didakwa atas pengguguran bagi menyelamatkan nyawa ibu.

2. Nicaragua

penunjuk perasaan di nicaragua

Sebelum tahun 2006, undang-undang di Nicaragua hampir sama dengan kebanyakan negara Amerika Latin yang lain. Walaupun sedikit ketat kerana memerlukan 3 doktor untuk menandatangani prosedur menjalankan pengguguran, namun ia masih sah.

Kemudian, pada 2 November 2006, semuanya berubah. Ia berikutan kempen umum yang dibuat oleh Kardinal Miguel Obando y Bravo yang dihormati oleh diktator Somoza yang mendapat sokongan Amerika dan Ortega yang disokong oleh Komunis. Kini, Nicaragua melarang semua jenis pengguguran bayi.

Apa yang menariknya, sebahagian mereka yang mencadangkan anti-pengguguran ini mendakwa kerajaan terlalu melampau. Pada 2016,  seorang paderi tempatan bernama Rolando Alvarez menggesa agar pengguguran untuk menyelamatkan nyawa ibu dikecualikan. Namun, sehingga sekarang Nicaragua masih kekal sebagai negara yang masih mengharamkan pengguguran sepenuhnya.

1. Republik Dominica

penyokong anti pengguguran di republik dominica

Negara yang mempunyai populasi penduduk sebanyak 10.4 juta orang ini agak berbeza berbanding negara lain dari segi undang-undang pengguguran. Sejak dari tahun 1884, adalah menjadi satu kesalahan walaupun hanya untuk bertanya tentang pengguguran.

Bagi kaum ibu yang yang didapati bersalah melakukan pengguguran, mereka boleh dipenjara sehingga 3 tahun dan kakitangan perubatan yang melakukannya pula boleh dipenjara sehingga 10 tahun lamanya.

Pada 2014, Presiden Danilo Medina telah menamatkan proses rundingan selama 10 tahun bagi meminda undang-undang yang membolehkan pengguguran dilakukan sekiranya berkaitan kes rogol, sumbang mahram atau membahayakan nyawa ibu atau janin.

Akan tetapi, pindaan itu tidak pernah menjadi undang-undang apabila Mahkamah Perlembagaan membatalkannya pada 2015 dengan alasan ia melanggar kod undang-undang negara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)