Oleh pada 07 Mar 2022 kategori

Kerusi merupakan salah satu perabot yang penting dalam kehidupan sehari-harian. Anda menggunakannya ketika di pejabat, rumah, tempat awam dan banyak lagi.

Kerusi lama zaman nenek moyang kita; Celoreng hijau formica

Walaupun tidak diketahui dengan tepat bilakah kerusi buatan manusia mula dihasilkan, sejarah mendapati bahawa terdapat arca bertarikh sekitar 2,800 SM. Patung itu menggambarkan seseorang sedang bermain kecapi ketika duduk di atas kerusi dengan empat kaki.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam sejarah yang lebih baru, ahli seni bina sejarah bernama Witold Rybczynski percaya bahawa abad ke-18 adalah zaman kegemilangan kerusi moden. Pada hari ini, kerusi termahal biasanya mempunyai nilai sejarah atau seni. Berikut adalah beberapa kerusi paling mahal di dunia.

8. Egg Chair - RM 36,000 ke atas

Pereka: Arne Jacobsen (Denmark)

egg chair

Perabot unik ini dicipta oleh Arne Jacobsen pada tahun 1958. Arne ialah seorang pereka kreatif Denmark yang terkenal dengan reka bentuk perindustriannya tetapi karya paling popularnya ialah Egg Chair.

Egg Chair rekaan Arne Jacobsen ini sering dianggap sama dengan Ovalia Egg Chair yang direka oleh Henrik Thor-Larsen seperti yang dipamerkan dalam filem Men In Black.

Harga kerusi ini mungkin berbeza-beza tetapi biasanya ia dijual pada harga RM 36,000 ke atas dan boleh mencecah dua kali ganda harga itu bergantung kepada keunikannya.

7. Panda Banquette Chair - RM 145,000

Pereka: Campana Brothers (Brazil)

panda banquette chair

Campana Brothers adalah pasukan pereka dari Brazil. Duo adik beradik ini telah mencipta banyak projek sejak penglibatan mereka dalam bidang ini tetapi rekaan mereka pada 2007 yang dinamakan sebagai "Panda Banquette Chair" adalah projek yang paling menarik perhatian.

Kerusi unik ini menampilkan anak patung panda yang dilekatkan pada bingkai kerusi keluli tahan karat. Campana Brothers telah menghasilkan 25 Panda Banquette Chair tetapi kerusi keluaran mereka yang ke-20 telah terjual pada harga RM 145,000.

6. Chieftain Chair - RM 300,000 ke atas

Pereka: Niels Vodder (Denmark)

the chieftain chair

Chieftan Chair telah dicipta oleh pereka Denmark, Niels Vodder. Neils sebenarnya ialah seorang pembuat kabinet tetapi pada tahun 1949, dia menghasilkan kerusi yang menjadi begitu ikonik pada abad ke-20an.

Khabarnya, kerusi asli yang dihasilkan Niels sendiri ini tidak melebihi 100 unit dan salah satu yang masih wujud pernah dijual melebihi RM 300,000 pada tahun 2019.

Kebanyakan Chieftan Chair ini diperbuat daripada kayu jati tetapi ada juga yang diperbuat daripada kayu walnut dan kayu mahal yang lain.

5. Kerusi Bilik Pentadbiran Kennedy - RM 600,000

Pereka: W. H. Gunlocke Chair Co. (AS)

administration cabinet room

Beberapa hari selepas Presiden Kennedy dibunuh, mendiang isterinya iaitu Jackie Kennedy telah menghadiahkan Presiden yang baru dilantik iaitu Lyndon B. Johnson kerusi di bilik pemerintahan suaminya.

Jackie Kennedy merasakan bahawa ia adalah pemberian istimewa yang merupakan sebahagian daripada mendiang suaminya.

Beberapa dekad kemudian, kerusi itu dijual pada harga RM 600,000 di lelongan Sotheby. Ia dianggap sebagai salah satu perabot klasik yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

4. Kerusi J.K. Rowling - RM 1.6 juta

Pereka: Tidak diketahui (UK)

kerusi jk rowling

J.K. Rowling merupakan seorang penulis kepada buku ikonik Harry Potter yang merupakan siri buku paling laris dijual di seluruh dunia. Namun, tahukah anda dia juga pernah memiliki antara kerusi yang termahal di dunia?

Pada tahun 2016, J.K. Rowling telah menawarkan untuk menjual kerusi yang pernah digunakannya untuk menulis Harry Potter. Kerusi ringkas dengan kaki lurus dan sokongan belakang itu ditandakan dengan tulisan J.K. Rowling iaitu "Saya menulis Harry Potter sambil duduk di atas kerusi ini."

Pakar menjangkakan bahawa kerusi J.K. Rowling akan dijual pada sekitar RM 190,000 sahaja tetapi ia mengejutkan semua orang apabila kerusi itu dijual pada harga RM 1.6 juta.

3. Kerusi Berlengan Tengkorak Emas - RM 2.08 juta

Pereka: Harow (Perancis) 

the gold skull armchair

Kerusi ini kelihatan seperti kerusi yang dimiliki oleh supervillain dalam filem fiksyen. Kerusi ini dihasilkan oleh seorang artis Perancis bernama Harow. Selain perabot, Harow juga turut menghasilkan lukisan dan arca. 

Kerusi Berlengan Tengkorak Emas ini bukanlah satu-satunya hasil kerja Harow yang unik. Menurut laman webnya, Harow pernah menghasilkan Solid Chair iaitu sebuah kerusi yang dihasilkan menggunakan keluli dan konkrit.

Nama Kerusi Berlengan Tengorak Emas ini bukanlah gimik semata-mata tetapi ia turut disaluti dengan emas 24 karat.

2. Lockheed Lounge - RM 15 juta

Pereka: Marc Newson (Australia)

lockheed lounge

Pereka dari Australia ini dianggap sebagai salah satu artis seni terhebat dalam generasinya. Setelah tamat pengajian di Kolej Seni Sydney pada 1984, Marc bekerja dengan pelbagai jenis rekaan seni termasuklah perabot.

Marc menghasilkan 10 unit edisi khas kerusi yang dinamakan Lockheed Lounge dan salah satunya ditampilkan dalam video muzik "Rain" nyanyian Madonna.

Pada tahun 2015, kerusi yang digunakan Madonna dalam video muziknya itu telah berjaya dijual dalam satu lelongan dengan harga RM 15 juta.

1. Kerusi Berlengan Naga - RM 100 juta

Pereka: Eileen Gray (Ireland)

the dragons armchair

Dengan harga RM 100 juta, kerusi ini adalah yang termahal di dunia. Perabot unik ini dicipta antara tahun 1917 dan 1919 oleh pereka Ireland bernama Eileen Gray. Gray dianggap sebagai salah seorang tokoh penting dalam sejarah reka bentuk abad ke-20.

Ciptaan kerusi khas ini telah dihasilkan Gray setelah Perang Dunia Pertama. Kebanyakan ciptaan unik awal Gray termasuklah Kerusi Berlengan Naga ini dihasilkan untuk Madame Mathieu-Levy, seorang penaung seni yang kaya dan terkenal.

Walaupun Kerusi Berlengan Naga ini tidak langsung menyerupai seekor naga, ahli sejarah mengatakan bahawa reka bentuknya itu mendapat nama daripada ikonografi Cina yang mewakili mutiara dikelilingi naga sebagai simbol kekuatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)